Follow je lah..


Rabu, 7 Mei 2008

Selamat Datang Ke Penjara

Berani kerana benar, takut kerana salah. Laluan ke penjara adalah antara simpang laluan bagi seorang pejuang. Mereka yang berjuang melawan musuh yang bacul. Kerana kuasa ditangannya, dia berhak membuat sesuka hati atas kehendaknya.

Takut menghadapi kebenaran bererti benar membuat kejahatan. Kebenaran musuhnya kejahatan, kekejaman, dan kezaliman. Inilah azam Raja Petra (Raja Blog) yang dapat dilihat. Jika ingin bertarung, mari kita bertarung!

Raja Petra bukan sebarangan orang. Langkahnya ke penjara adalah langkah kesumat. Mencari keadilan dan demi menjulang nama baik Malyasia di mata dunia. Kes Altantuya usah disembunyikan lagi. Malaysia hilang imej baik kerana ini.

Shaaribuu yang kecewa dengan kelancaran proses keadilan adalah petanda bahawa sesuatu sudah tidak kena. Raja Petra memberi momentumnya. Impaknya kes Altantuya kembali hangat dan sehingga membakar telinga beberapa orang.

Laluan ke penjara untuk sesiapa sahaja. Tetapi bukan untuk peraba berkolar biru. Mungkin untuk para blogger lagi. Universiti Jeriji Besi melahirkan pejuang yang kental dan berani. Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, M.Manoharan, Mat Sabu, dan ramai lagi adalah lepasan Universiti Jeriji Besi. Yang menggerunkan nakhoda BN sehingga keris Panca Warisan tidak lut menikam dada pejuang.

Bukan kita yang menghumbankan neraka. Kerana mereka pasti akan menghumbankan kita ke neraka dunia dahulu. Neraka yang kekal adalah untuknya. ALLAH pasti menghumbankan orang yang zalim ke neraka.

Sokongan untuk Raja Blog agar terus cekal menempuhi detik-detik gelap di dalam sel. Banyakkan berdoa kepada Tuhan kerana dirimu dizalimi. Doa orang yang dizalimi maqbul oleh Tuhan. Jangan ingat pembunuh itu boleh lepas!

Nargis Myanmar Nangis

Myanmar bergegar. Ketika itu semua orang berasa takut melihat ribut yang ganas dan menggila merempuh segala satu yang berada di sekitar delta Negeri Myanmar. Ini termasuklah Yangon, Ayeryarwady, Bago, Mao, dan Kayin iaitu tempat terjejas teruk. Manusia, haiwan, tumbuhan, dan harta semuanya berterbangan ditiup kuat oleh Taufan Nargis.

Begitu banyak nyawa yang hilang dalam sekelip mata. pada tahun 1991, Bangladesh pernah kehilangan 138 000 nyawa kerana taufan. Tiada siapa yang dapat menyangka kedahsyatannya begitu rupa sehingga membunuh puluhan dan ratusan ribu nyawa manusia. Insan yang muda atau tua, sihat atau sakit, bala Tuhan tidak bermata.

Hari ini, anak kehilangan ibu bapa, dan ibu bapa kehilangan anaknya. Bekalan air dan elektrik serta laluan jalan terputus. Keadaan di sana seumpama kawasan peperangan ataupun sebuah kawasan yang diserbu oleh gajah-gajah yang naik minyak. Tiang tumbang, atap tercabut, cermin pecah, dan akhirnya rumah runtuh.

Ketika taufan bertiup kencang, kami tidak dapat mendengar suara apa-apa melainkan deruan angin sama seperti deruan enjin sebuah kapal terbang. Mereka yang terselamat berdiri di tepi-tepi dinding sambil berpaut pada besi atau seumpamanya. Masa itu degupan jantung sekencang taufan meniup. Kelihatan waktu itu gugusan angin bergerak seperti 'tentera-tentera' Tuhan meluru masuk kejalan-jalan lebar dengan bengis dan garang . Barulah kini kami tahu hanya Tuhan sebaik-baik tempat untuk kami berpaut.

Jika puluh ribuan mausia mati seperti khabaran, lihatkan mana mayatnya. Marilah kita mengambil iktibar. Hanya dengan seketika bala, deritanya bakal sepanjang zaman.

Barat(Acheh) sudah dan utara(Myanmar) pun sudah. Laut Cina Selatan ada di timur terbuka luas menanti tetamu yang tidak diundang. Malaysia yang halus seperti lidi, jika disepak ombak, hilang lenyap dari peta.

Selasa, 6 Mei 2008

Amy Rockers Sanjung Ulama'

Ku Di Halaman Rindu

Di tengah kepekatan malam
Berdiri aku di halaman rindu
Dihembus kenangan lalu

Menjelma seraut wajah
Sekuntum bunga yang pernah ku puja
Tapi layu akhirnya

Ingin ku tembus tembok silam
Dan membaiki kesilapan kita
Yang tiada kita rasa

Dahulu maaf tak bererti
Darah muda menguasai diri
Gitu mudah membenci

Ku di halaman rindu
Hanya berteman bunga yang layu
Ku di halaman rindu
Tiada harum tiada madu

Oh kesalku membeku di kalbu
Oh sayangku penawar rindu
Oh kasih ku hanyalah untuk mu

“Saya meminati tok guru dengan imej dan personaliti beliau sebagai seorang tokoh agama serta pemimpin yang hebat, kenapa harus takut dengan label-label yang berbau politik."
-Amy Otai Rock

Kalau Salah Tolong Tunjukkan

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah adalah payung kepada Negeri Perak melindungi rakyat dibawahnya. Kebijaksanaan dan keperihatinan yang disembah oleh Tuanku membuktikan Istana sentiasa peka dengan masalah negara.

Krisis yang telah selesai iaitu kes petukaran Jamry Sury, Pengarah Jabatan Agama Perak (JAIP) membuktikan bagaiamana kerajaan Perak menyelesaikan isu dengan baik tanpa ada sebarang konflik ataupun penderhakaan kepada Istana.

Kerajaan di bawah kepimpinan Nizar bersungguh-sungguh memastikan semuanya memberi kerjasama kepada pentadbiran negeri demi rakyat. Sungguhpun tidak didedahkan perkara sebenar kenapa Jamry ditukar, yang kita maklumi Jamry gagal memberi kerjasama. Jamry ditukar!

Lantas setelah ditegur oleh pihak Istana, dengan rasa rendah diri tanpa bongkak, Nizar sedia menarik balik perintah petukaran yang dikeluarkan. Nizar menghormati kuasa Sultan dan telah mengadap memohon maaf kehadapan Raja Muda Perak. Seterusnya Istana memberi jaminan dan memberi penyelesaian yang adil bagi kedua-dua pihak.

Jauh sekali bagi Nizar untuk memberontak atas perintah Istana yang bertentangan dengan arahannya. Tidak memboikot dan mengaku kesilapan diri. Andai ini kesilapan bagi Nizar, maaf dipohon. Selaku MB baru, kalau ada salah tolong tunjukkan.

Cerita ini mesti dijadikan teladan. Toleransi yang ditunjukkan bahawa kita orang Melayu berbudaya sopan. Siapa yang bersalah harus memohon maaf dan jadi iktibar bagi masa akan datang. Teladan ini adalah cerita teladan bagi Dolah dan pemimpin UMNO Terengganu khususnya jika mereka mahu membacanya.

MMMM...UMNO

Semangat bangsa Melayu tidak boleh dinafikan dan dihalang. Bangsa Melayu mempunyai sejarah dan hak mereka sendiri. Kehadiran UMNO pada awalnya adalah dilihat seperti wajar berteraskan intipati perjuangan mereka ketika itu yang mahu membela orang Melayu. Bagaikan tema UMNO 'Dulu, Kini, dan Selamanya'. Tetapi kini, UMNO sendiri sudah goyah. Selamanya, adalah tidak lagi.

Gerangan apa pula Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) yang ditubuhkan di Johor, kubu 'terakhir' UMNO itu. Formula menyatukan Melayukah? Lupakan sahaja jika ingin menyatukan umat Melayu dan ketuanannya dengan formula jika bukan formula Islam.

Kaum Aus dan kaum Khazraj mereka dahulu bermusuhan sebelum kedatangan Islam. Selepas kehadiran Rasulullah dalam hijrahnya ke kota Yathrib (Madinah), baginda membawa wacana pembaharuan baru. Itulah wacana Islam. Akhirnya, Aus dan Khazraj bersatu membentuk satu persaudaraan baru yang dinamakan golongan Ansorin. Mereka hidup aman dan saling bergantung antara satu sama lain serta berkasih sayang.

MMMM ini nampaknya ingin membela nasib orang Melayu dan apa bezanya mereka dengan UMNO? Tidakkah melakukan satu kerja yang bertindih? Jika begitu keadaanya, janganlah buang masa dan duit buat kerja yang sama. Apakah MMMM dibawah UMNO? Mungkin jawapannya ya, tetapi bayang-bayang UMNO itu sahaja disembunyikan. Ini kerana UMNO barangkali pada pandangan MMMM telah gagal memainkan peranannya.

Jika gaya MMMM sama seperti UMNO, membela melayu dan tidak menjadikan Islam sebagai teras, penubuhan MMMM tetap tidak berjaya dan hanya menambahkan lagi kekusutan orang Melayu sepertimana Islam Hadhari. UMNO lah yang mengkhianati bangsa. Lihat anak melayu sekarang di bandar-bandar. Mengecewakan. MMMM mesti selar UMNO sebelum berangan-angan hendak memuafakatkan Melayu.

Ahad, 4 Mei 2008

Barang Senang Naik, Gaji Susah

Sekarang ini seumpamanya tidak tahu mahu makan apa lagi demi menjimatkan wang pendapatan yang tidak naik-naik lantaran kenaikan harga barang. Makan nasi, beras naik harga, makan mee, mee pun naik harga, makan roti? Tepung gandum memang dah lama naik dan mamak roti canai pun sudah kaya-raya.

"Saya juga merasa dukacita dgn kenaikan harga runcit beras untuk 10 kg. minggu lepas saya beli beras jati tempatan dgn harga RM23,90mmsenalam saya lihat harganya RM28.00...saya terpakasa menukar keberas yg kurang baik dgn harga 24.00/10kg. disinilah saya melhat BN telah gagal untuk melawan kenaikan harga bagi membela nasib rakyat yg sejumlah besarnya adalah berpendapatan rendah. olih itu saya berharap rakyat sedar perkara ini dan sama-sama kita nilai kembali peranan BN ini."- Mamat

"Saya ebagai pemborong beras bumiputra islam ingin menyatakan harga beras yang ada sekarang tak kekal di jangka akan naik lagi minggu depan atau 2 minggu lagi dalam 1kg 20-30 sen lagi,ini di sebab kan bernas tidak mengeluarkan lagi beras tempatan 15% kerana kerajaan tidak benarkan bernas naik harga untuk beras tempatan,pengilang -pengilang padi swasta sekarang tidak keluar beras kerana mereka merasai harga beras munkin bole naik lagi ....bila nak reda aku rasa selagi bernas tak main kan peranan utama dia supaya memberi beras sebanyak munkin oleh pemborong ,selagi tu harga beras masih naik"- Pencai

Dua keluhan di atas adalah keluhan rakyat yang mungkin tidak dirasai oleh golongan elit seperti golongan atasan BN. Mereka yang hidup selesa dan mewah mana mungkin merasai setiap keperitan hidup golongan bawahan. Namun bagi mereka (pemimpin BN) hanya mampu berdegar-degar kononnya memperjuang nasib rakyat.

Inilah hadiah dari BN atas kejahilan pengundi BN juga. Permintaan gaji minimum RM900 telah ditangguhkan atau dalam bahasa pasar kita katakan "nanti dulu lah". Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terus melahirkan kehampaan atas penangguhan tuntutan mereka itu. Tanggal 7 Mei 2008 nanti, Parlimen sekali lagi akan mecatat sejarah apabila mereka berhasrat untuk mengadakan bantahan di sana. Tahniah.

Kata Dolah sambil memerli, MTUC boleh buat demostarsi walaupun 100 kali, tapi gaji tidak akan naik juga. Inilah ketegasan seorang Perdana Menteri dengan harapan moga-moga Dolah tahulah apa padahnya berkata demikian.

Pada masa yang sama, projek yang berjuta hingga berbilion ringgit boleh diluluskan dengan serta merta. Projek kereta api di Terengganu mencecah RM 990 juta dan isteri Khir Toyo di dakwa mengambil RM 9.9 juta dengan mudah diperuntukkan dan dihabiskan. Tetapi permintaan gaji minimum RM 900 ini, agak sukar diluluskan dan banyak pula karenahnya.

Kehidupan di kota raya jika berpendapatan RM 900 umpama cukup-cukup makan sahaja. Tetapi itupun 'Alhamdulillah'. Maka demikian rakyat boleh bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan jika diluluskan kerana sekurang-kurangnya kos hidup diringankan sedikit. Permintaan MTUC itu adalah permintaan rakyat Malaysia tetapi bagi mereka ia tiada keutamaan. Nanti dulu lah!..


Sabtu, 3 Mei 2008

Mufti Perlis Sudah Diterima?

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (DRMAZA), Mufti Perlis ini sering kali mengeluarkan kenyataan-kenyataan berhubung isu sosial. Setiap kenyataannya akan diikuti dengan respon dari pelbagai pihak samada para ilmuwan Islam atau masyarakat umum. Biarpun begitu, beliau tetap beristiqamah dalam memberi pandangan.

Sebelum ini, banyak juga kenyataan beliau yang bercanggahan dengan pemahaman masyarakat. Sekali-sekala juga beliau menambahkan salah faham masyarakat terhadap sesuatu isu yang beliau sendiri ketengahkan. Hatta ramai juga teman seperjuangan sepertinya menyangkal beberapa pandangan beliau. Ini termasuklah sebahagian dari isu-isu bidaah, berdemostrasi, khalwat, kursus perkahwinan, dan pelbagai lagi.

Jika dahulu mungkin ada ideanya ditentang oleh sebahagian orang-orang alim dan masyarakat, tetapi pada masa terdekat sekarang, tidak kurang juga kenyataan beliau semakin relevan. Hatta kenyataannya juga disokong oleh kumpulan atau individu.

Salah satunya ialah beliau telah mengirim surat kepada media (TV3). Dalam suratnya beliau memberi peringatan dan nasihat demi kebaikan media tersebut. Beliau memberitahu bahawa media perlu menyiarkan laporan dengan adil dan saksama kerana media memainkan peranan yang penting dalam masyarakat. Laporan itu termasuklah dalam melaporkan berita politik dan sebagainya.

Selepas itu, beliau sekali lagi menegur TV3 yang menganjurkan Jom Heboh. Sebagaiman kita tahu, Jom Heboh atau nama lamanya Sure Heboh pernah ditegur oleh Mufti Perak. Mufti Perlis ini menyatakan beberapa aktiviti yang tidak memuaskan dari segi konteks Syariat perlu dihentikan. Malah beliau juga menyelar sikap sebahagian artis yang tidak matang dalam persembahan mereka. Dalam erti kata lain, beliau tidak mahu apa-apa persembahan yang lari dari konsep akhlak dan hukum-hakam Islam dilaksana lagi.

Beliau juga telah menegur pemimpin-pemimpin Malaysia, Islam Hadhari, dan pengumuman kemasukan Islam bersandarkan ilmu dan hujahan yang baik. Ikuti sajaknya di sini.

Di negara kita tidak ramai Mufti yang bersuara dengan lantang demi kebaikan Islam sepertinya. Jika ada mungkin seorang dua sahaja. Suara Mufti perlu di jalur lebarkan agar dengan harapan ulama' dan umara' dapat bersama-sama menjaga umat. Bagi Mufti Perlis yang berusia 37 tahun ini, beliau boleh terus bersuara dengan hikmah dan berhati-hati mudahan-mudahan masyarakat mudah faham kehendak sebenar Islam.
(klik pada surat untuk membaca surat di atas)

Jumaat, 2 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین -٤

(Diterbitkan setiap Jumaat)

Imam Al-Ghazali ada berkata: " Orang yang ditinggal mati oleh anaknya atau salah seorang saudara dekatnya, hendaklah menganggap orang yang lebih dahulu meniggal dunia itu ibarat orang yang lebih dahulu sampai di destinasi ketika sedang musafir. Jika dia menganggap orang yang lebih dahulu mati sedemikian, nescaya dia tidak akan dibuai kesedihan. Sebab dengan cara itu dia tahu bahawa suatu ketikanya akan sampai dia juga dijemput ajal. Sesungguhnya maut itu hanyalah masa waktu sahaja. Jika ajal maut itu dianggap satu destinasi dalam perjalanan, maka seseorang yang ditimpa musibah tidak akan berasa gelisah dan bersedih hati."

Kita biasa melihat bayi yang lahir menangis ketika dilahirkan dan ahli keluarga gembira meraikan. Tetapi apalah nasib jika di saat kematian kita, kita tetap menangis kerana kurangnya amalan untuk ke negeri akhirat dan ahli keluarga kita menangis kerana kehilangan kita. Tiada berguna air mata apabila nyawa telah dicabut dari jasad meninggalkan jasad yang kaku.

Siapakah jasad itu? Jasad itu ialah "ini". Yang sedang menulis, melihat , membaca, mendengar, dan duduk. Jasad lah yang melalui segala kesakitan atau keindahan bersama roh. Malah jasad menjadi 'teman setia' kepada roh selagi kita jasad bernyawa. Namun apabila sampai waktu ajalnya, jasad terpaksa 'menangisi' dan mengucapkan selamat tinggal seta ucapan 'semoga berjaya' kepada roh yang akan melalui liku-liku perjalanan yang getir selepas kematian.

Jasad kita akan disemadi ke dalam kubur di ruang liang lahad. 'Teman setia' itu sudah tidak dapat menemani roh lagi dan jasad akan perlahan-lahan terurai menjadi tanah. Tangan yang bisa dilihat sekarang akan menjadi makanan bagi ulat-ulat mayat dan begitulah seterusnya untuk seluruh anggota badan yang lain. Tiada yang kekal, semuanya akan terurai dan akhirmya tiadalah jasad di muka bumi ini.

Buat rakan-rakan dan teman, Al-Khansa' pernah berkata dalam syairnya mengenai tangisanmu atas pemergian seseorang:
"Seandainya bukan kerana ramai orang yang menangis di sekeliling atas (kematian) saudara-maranya, pasti aku telah membunuh diri (kerana menyangka hanya aku seorang diri yang merasa sedih), akan tetapi aku menghiburkan diri dengan cara bersabar."

"Bersabarlah wahai temanku, ini adalah janjiNya."

Khamis, 1 Mei 2008

Blog Mahathir

Budaya blog kini terus meresap keseluruh rakyat Malaysia. Alhamdulillah dengan penyertaan Tun Dr. Mahathir ke dunia penulisan blog menjadikan dunia ini lebih popular dan diterima serta diiktiraf. Inilah dikatakan 'Dunia di hujung jari' dan semuanya hanya menekan papan kekunci (keyboard) dari jari anda .

Dengan tulisan, mampu menggoncang keadaan. Buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Menjadi PM, adalah dari tulisan. Seorang pelajar berusia 19 tahun yang terselamat dari saman Karpal berkaitan 'Darah Karpal Halal Dibunuh' adalah dari tulisan yang ditulis di shoutbox sahaja. Sekarang, segalanya dari tulisan, dari tulisan lahirlah karya-karya agong.

Mencari Muafakat Dalam Parlimen



Video di atas adalah sedutan dari paparan secara langsung dari RTM1 kepada seluruh rakyat Malaysia. Peluang keemasan itu telah digunakan sebaiknya oleh semua ahli Parlimen Pakatan bagi menggempur Parlimen tersebut.

Kelantangan beberapa 'Otai' (ahli Parlimen yang berpengalaman) seperti Kit Siang, Karpal, dan selainnya adalah suatu yang dijangkakan. Malah kelantangan lebih hebat daripada ahli Parlimen BN. Mereka bersuara demi kebenaran dan ketelusan dalam perbahasan, itulah mereka pendekar sejati yang sedang bertarung.

Bagi ahli Parlimen yang baru, mereka perlu lebih banyak mempelajari dan memahami rentak gaya dalam perbahasan. Ini kerana di dalam Parlimen, perang lidah, adalah lumrah. Sekalipun disekat untuk bersuara, tetapi kita perlu juga bersuara. Suara kita adalah suara rakyat.

Muafakat adalah penyelesaian dalam banyak perkara. Kebijaksanaan dan keadilan mestilah diberikan sebaiknya oleh Speaker Parlimen. Beliau jua seorang yang baru, dan masih belum dapat mengikut rentak perbahasan Parlimen bertaraf kelas satu.

Kita sentiasa memberi semangat kepada semua ahli Parlimen Pakatan untuk berdaya dan teguh berdiri menahan hujah dan menangkis serangan. Mental mesti kuat dan buat mesti tepat. Itulah perumpamaannya.

Rintihan Pekerja/Buruh

Kehidupan sebagai buruh sangat berbeza dengan kehidupan seorang eksekutif. Buruh memerah keringat dan eksekutif memerah idea. Jika semuanya digarab dengan baik akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos, dan tenaga. Hidup pula akan lebih sejahtera.

Sememangnya hari ini antara objektifnya untuk menghargai pekerja yang telah bekerja maksimum selama 365 hari. Namun cuti ini hanyalah satu langkah kecil bagi membela nasib ataupun menghargai pekerja. Sesungguhnya cuti pada hari bekerja akan lebih berhasil jika kebajikan pekerja terus dikaji dan ditingkatkan dari masa ke masa.

Baru-baru ini, kesatuan sekerja yang bertemu Dolah adalah gara-gara sistem kini yang tidak membantu pekerja. Pada saat kenaikan harga mendadak pada minyak, beras, mee, tepung, air dan sebagainya semuanya merupakan keperluan asas manusia, kita harus bijak menanganinya. Kini kerajaan yang sedia ada bertungkus-lumus membela nasib rakyat. Tidak kira kerajaan BN atau kerajaan Pakatan Rakyat.

Walhasil, kedua-dua kerajaan yang ada perlu membentuk ketumbukan yang padu dan bersaing dalam memacu lebih kuat ekonomi negara. Dominasi mereka dalam perkara yang utama akan menjadi ukuran dari rakyat.

Sebenarnya masih banyak yang tidak kena lagi berkaitan pekerja atau lebih persis buruh di Malaysia. Ada tenaga yang dikerah pada tempat yang bukan sepatutnya dan ada yang diambil hak-hak mereka sebagai pekerja. Pekerja yang bekerja keras untuk mendapat sesuap nasi tetapi jika periuk nasi ditabur pasir, manakan perolehi nasinya.

Kerja yang halal membawa rezqi yang halal. Jauhilah dari kerja yang haram dan syubhat kerana kelak pintu keberkatan rezqi akan tertutup. Rezqi yang halal memaqbulkan doa dan menyihatkan badan. Bekerja dengan tangan sendiri lebih baik dari meminta menadah tangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan