Follow je lah..


Jumaat, 11 April 2008

Gelita Mata Anwar

Gelita 14 atau Black 14 ialah nama bagi mengingati peristiwwa buruk dalam sejarah Malaysia di era pemerintahan kuku besi Tun Dr. Mahathir. Merenung kembali 9 tahun yang lalu, Anwar Ibrahim telah dizalimi dan dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun. Belum cukup 15 tahun, beliau dibebaskan. Pada tahun ini sekali lagi perhimpunan akan diadakan di Kampung Baru. Kehadiran dijangka beribu-ribu ramainya. Kita akan berpeluang mendengar pidato sulongnya selepas kemenangan dalam PRU-12. Berikut adalah butiran:

Zaman kegawatan pada tahun 1999 kita telah hadapi susah dan payah bersama. Ramai aktivis ditahan dan ditangkap. Kebebasan media juga telah disekat. Alhamdullillah, kesusahan yang dihadapi , dianugerahkan dengan kemenangan 5 negeri 1 wilayah. Reformasi yang bergema pada 9 tahun lalu masih bergema sehingga kini.

-R-E-F-O-R-M-A-S-I-

فذکر ان الذکر تنفع المومنین ١

(Mulai Jumaat tarikh ini, ruangan zikrulmaut akan dimasukkan ke blog ini, Insya-ALLAH)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). "
Al-Jumu'ah: 8

  • Sudahkah aku bersedia untuk bertemu dengan ALLAH Taala saat ini?
  • Berapa banyakkah bekalan yang telah ku bawa untuk persediaan berhadapan denganNya kelak?
  • Apakah bekalan yang ku bawa semakin berkurang lantaran kejahilan melayani kehinaan dunia ini?
"Lontaran soalan yang menyentak diriku di khayalan kehidupan ini. Kerana ku pasti akan pergi jua, meninggalkan sebuah persinggahan."

Kematian adalah kesudahan jalan cerita bagi setiap kehidupan. Walaupun bersembunyi di dalam konkrit besi yang tebal, kematian pasti akan datang mengundang. Biarpun datangnya tidak diundang, tetapi datangnya memerlu persediaan. Berlarilah sehingga ke hujung bumi ini, kematian pasti datang kepada menemui kita.

Saat perpisahan antara roh dan jasad adalah sebuah perpisahan yang menyedihkan. Umpama meninggalkan sebuah kereta yang cukup berjasa dan berjuta kenangan kepada kita. Tetapi kini adalah meninggalkan jasad yang terkujur kaku. Setiap pergelangan pada sendi akan mengucapkan 'selamat tinggal' masing-masing sesama mereka. Berpisahlah pergelangan kaki dengan diantara kedua-duanya dan begitulah jua tangan di antara kedua-dua sendinya.

Perpisahan ini adalah peprisahan yang sementara. Apabila di mahsyar, kaki dan tangan akan bertaut sesama mereka dan bertemu kembali sebagai saksi di Mahkamah Rabbul Jalil. Penyaksian yang jujur dari anggota badan membuktikan segala perbuatan kita di dunia ini. Mulut telah tertutup kunci. Memikirkan tatkala kita itu, atas semua perkara yang telah ku lakukan, ketika tangan dan kaki ku mula berkata-kata, air mataku jatuh ke pipi.

Khamis, 10 April 2008

Entri Ke- 100

Alhamdulillah dengan keizinanNya sebanyak 100 entri telah diterbitkan di blog sujudterakhir. Blog ini yang telah dibina pada 1Muharram 1429 Hijrah sehingga pada tarikh malam ini 4 RabiulAkhir 1429H berjaya mencatat 100 entri dan hit menghampiri 5000. Mudah-mudahan usaha menambah baik tulisan saya ini sentiasa seiring dengan kemajuan teknologi multimedia yang sangat pesat.

Tanpa sokongan dari saudara dan saudari mungkin tidak semangat saya akan terus semarak seperti ini. Menyedari saya adalah 'junior blogger' saya sentiasa mengalu-alukan syor dari saudara dan saudari.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Tidak dinafikan penulisan blog hari ini telah menjadi budaya baru bagi rakyat kita. Kerajaan juga mengakui kehadiran dan kepentingan blog dalam memacu pembangunan atau pentadbiran negara. Selagi kita dipihak yang benar, beranilkan diri! Kata pepatah, berani kerana benar dan takut kerana salah.

Saya sekali lagi menghargai semua pengunjung blog ini samada pengunjung tetap ataupun pengunjung yang berziarah. Doa dan semangat yang diberikan akan disimpan dalam sanubari. Kritikan dan teguran akan dijadikan ramuan muhasabah dalam kehidupan saya. Semoga tulisan saya memberi manfaat kepada diri saya terutamanya dan semua pengunjung dan yang paling penting amalan ini diterima oleh ALLAH. Wassalam, terima kasih.

Rabu, 9 April 2008

Isu Binatang Itu Di Sepang

Isu 'binatang' itu ialah isu yang tidak sedap disebut dan memualkan. Harapnya dengan isu semasa itu yang sedang menjadi buah mulut, saudara memahami binatang apakah yang di maksudkan ini.

Seperti biasa media perdana UMNO akan terus menyerang semua negeri PR. Hidup mereka tidak tenang selagi kedengkian mereka bersarang pada segala usaha PR membangunkan negeri dan memberi khidmat kepada rakyat. Dengan harapan kerajaan negeri PR goyah lebih-lebih lagi apabila mempermaikan sentimen agama dan perkauman.

Penternakan 'binatang' itu dilihat sebagai satu dosa yang paling besar oleh mereka. Lebih besar dari dosa Lina Joy yang mana BN-UMNO tidak langsung memberi perhatian akan kes itu. Sememangnya mereka mengetahui, Malaysia bukan hanya didiami oleh orang-orang Melayu, tetapi ada juga orang-orang Cina. Dalam konteks ini, keadilan mestilah diberikan sebaiknya kepada mereka sewajarnya. Maka jika kerajaan Selangor menunaikan hak orang-orang Cina, ia adalah sebahagian dari keadilan.

Isu ini adalah hasil najis yang dibawa oleh BN Selangor dan PR Selangor terpaksa membersihkan sebaik-baiknya. Penafian Khir adalah penafian berhelah. Najis BN Selangor ini mestilah dibersihkan jika tidak ia akan membawa kekotoran kepada negeri Selangor.

Projek 'binatang' ini perlu diteruskan oleh kerana Khir yang meluluskannya pada 30 Januari 2008. Maka kini tanggungjawab kerajaan PR ialah memastikan projek itu mematuhui peraturan dan tidak mendatangkan pencemaran sepertimana yang berlaku di Melaka dan Negeri Sembilan apabila BN gagal menguruskan kandang itu sebaiknya.

Negeri Selangor sebuah negeri maju maka perlu menguruskan segalnya mengikut rentak kemajuan. Dalam menguruskan kandang 'binatang' itu, teknologi dari Jerman telah dibawa sebagai manual pengurusan. Pengurusan dari Jerman ini telah dikaji dan dianalisa mempunyai tahap kecekapan dan kebersihan. Lebih baik mempunyai kandang yang termaju daripada mempunyai kandang yang uzur dan jijik sehingga boleh merebak penyakit dan virus Nipah seperti yang berlaku di Negeri Sembilan.

Kemelut yuang berlaku ini langsung tidak memberi ruang kepada kerajaan negeri Selangor membuat penerangan. Apa yang sebaliknya berlaku, suara-suara NGO dan sebagainya yang diberi peluang untuk bersuara. Kesempatan untuk kerajaan negeri memberi penerangan telah dirampas dan akhirnya rakyat menerima maklumat yang tidak tepat. Kesimpulannya, peranan rakyat sekarang ialah jangan merujuk kepada satu pihak sahaja apabila berhadapan situasi seperti ini.

Selasa, 8 April 2008

Majlis Kesyukuran


Sabah dan Sarawak telah mengemukakan beberapa tuntutan dan mungkin juga ugutan kepada Dolah. Dalam tempoh seminggu, Dolah telah terpaksa pergi ke Sabah sebanyak dua kali untuk merungkaikan kemelut di Sabah. Setelah kemenangan BN yang tipis, rekod menunjukkan bahawa banyak kemenangan disumbang dari BN Sabah dan Sarawak. Sungguhpun demikian, Kota Kinabalu dan Kuching yang merupakan ibu negeri bagi negeri-negeri tersebut bukan lagi milik mereka.

Pucuk dicita ulam mendatang. Begitulah dapat menjelaskan bagaimana Sabah mahupun Sarawak yang banyak membantu BN pusat untuk terus kekal memerintah berdasarkan majoriti mudah. Persampadan semula akhirnya seperti jerat memakan tuan. Kemengan yang disumbangkan kepada BN pusat bukanlah kemenangan percuma begitu sahaja. Melihat tuntutan BN Sabah, mereka telah membuat beberapa tuntutan yang meresahkan Dolah dan sekutunya.

Antaranya ialah ingin menambahkan lagi bilangan anggota dalam kabinet Dolah, memberi sokongan kewangan atas nama pembangunan dan lain-lain lagi. Sebelum ini, kabinet dari Sabah dan Sarawak tidak ramai, tetapi apabila BN Sabah dan Sarawak meraih banyak kerusi Parlimen, rupa-rupanya ada udang di sebalik batu pada kemenangan itu.

Paling membebankan Dolah untuk melakukan pertimbangan ialah menambah lagi bilangan menteri yang dari Sabah dan Sarawak. Sekaligus perkara ini akan mengganggu keseimbangan barisan kabinet ilham Dolah Badawi. Itulah suratannya. Semenanjung Malaysia kini merupakan paksi kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana kejayaan PR memenangi negeri-negeri strategik memeberi peluang kepada BN Sabah dan Sarawak. Jika Putrajaya pada PRU lepas jatuh kepada PAS, maka tamparan hebat buat Dolah yang mungkin memaksa Dolah untuk berpindah pusat pemerintahan di Sabah atau Sarawak.

Semalam, majlis kesyukuran diadakan dengan menjemput Dolah selaku Presiden. Majlis Kesyukuran seperti itu hanya sindiran atau ingatan buat Dolah akan tuntutan-tuntutan mereka itu. Jika dilihat pada gambar diatas, majlis kesyukuran itu seperti majlis makan malam sahaja. Dalam erti kata lain, majlis itu tidak dijalankan dengan penuh Islam Hadhari.

Pada masa yang sama, bertempat di Mines, kediaman Tun Dr. Mahathir (TDM), TDM tidak meninggalkan peluang untuk mengadakan majlis kesyukuran juga. Alhamdulillah, majlis yang dijalankan kelihatan lebih Islamik, dan meriah. Wajah keceriaan jemputan dapat terpancar. Jelas sekali, majlis kesyukuran TDM ini berbeza dengan majlis kesyukuran Dolah di Sabah. Antara aktiviti yang dijalankan di kediaman TDM ialah solat berjemaah, doa, dan jamuan. Kemesraan yang diberikan oleh tuan rumah menambahkan lagi rasa kasih dan sayang sesama mereka.

(Sila klik di sini untuk melihat lebih banyak gambar)

Isnin, 7 April 2008

Superdet Selamatkan UMNO

Tun Dr.Mahathir Mohamad (TDM). Kata-katanya boleh menggoncang politik kerana beliau ialah seorang mantan Perdana Menteri Malaysia. Sikap dan pemikiran beliau boleh dikatakan kritis dan kadang kala melampau jua. Umur beliau juga panjang sekalipun telah beberapa kali mengalami pembedahan jantung. Selagi sihat, selagi itu beliau akan bersuara. Kata-katanya dahulu semasa memegang jawatan Perdana Menteri sentiasa dibenarkan oleh ahli UMNO mahupun arahannnya itu jelas zalim. Selepas persaraan beliau, suaranya masih didengari dan beliau tetap mempunyai taring yang masih belum tumpul.

Serangan politik yang dikenakannya kepada Dolah merupakan serangan yang terang dan jelas. Dolah perlu letak jawatan dan Dolah lemah! Itulah antara mesej yang dihamburkan kepada Mr.Clean, Dolah Badawi. Dolah yang lebih mempunyai ciri-ciri 'gentleman' atau tidak agresif sepertinya, menelan sahaja kata-kata pahit dari TDM. Setelah terlalu banyak menelan yang pahit, kini tekak Dolah tidak mampu lagi menahannya akhirnya muntah.

Umpan yang dipasang oleh TDM sudah terkena ikannya. Maka tali joran tegang kerana tarik menarik antara pemancing,TDM dengan seekor ikan besar dianalogikan sebagai Dolah. Apabila Dolah mula memberi respons kepada kecaman TDM, hubungan mereka berdua mula tegang dan panas. "Kau kata aku, aku kata kau"

Bagi melawan hujah dari TDM, Dolah menggunakan teknik pecah tembelang. Rahsia-rahsia yang berprofit terlalu tinggi didedah oleh Dolah dengan niat agar orang tahu yang TDM pun bukanlah orang yang baik-baik semasa mentadbir Malaysia. Namun, TDM tidak pernah gentar dengan setiap kritikan kepadanya. Sedangkan semasa beliau masih menjadi PM dahulu di kritikan hebat beliau telah terima, masakan kini hanya seorang Mantan PM. Oleh itu, bagi TDM, permainan politiknya bersama Dolah sudah mula kerana kata-kata pahitnya kepada telah tersahut Dolah.

Secara tidak langsung, kedudukan Presiden UMNO ini sudah goyah. Apakah Dolah 'Si Lembik' akan berundur jua? Cabarannya terlalu hebat sekarang. Ada dua tokoh yang sentiasa mengintai setiap kelemahan pentadbirannya. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Itulah seteru Dolah yang berbisa. Apakah Dolah sudah memberi signal akan berundur dengan mengatakan Najib sebagai penggantinya? Khairy juga sudah lama membisu ke udara. Sepatutnya Khairy di saat ini membela bapa mertuanya itu selantang-lantangnya kerana Dolah adalah 'bapa mertuaku'.


"Saya akan terus mengkritik dan mengecam selagi Abdullah tidak berhenti melakukan perkara yang menyebabkan UMNO kalah."
-Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia

(Klik di sini untuk melihat respons Dolah semalam)

Ahad, 6 April 2008

Selepas Digugurkan (menarik)

apasaje

1) Dato Sri Jamaluddin Jarjis dilihat kehulu-kehilir di pasar borong pekan Rompin, dilaporkan dia dilihat membuat "deal" dengan Ah Chong iaitu seorang Tokey ikan terkenal di pekan rompin. Segala teka-teki terdedah apabila dia dilihat menjual ikan dengan rakan baiknya Rammasami Karuppiah!!!


Novel Ayat-Ayat Saya

Laris macam pisang goreng panas berhubung novel Ayat-Ayat Cinta di pesta buku PWTC. Tetapi 'Ayat-Ayat Saya' bukannya novel cerita. Ia adalah SAYA, ayat-ayat SAYA.

SAYA, pendek sahaja perkataan tetapi boleh menggambarkan pelbagai jika disambung dengan pekataan lain selepasnya. 'SAYA' lebih mencerminkan kepada peribadi seseorang itu dan untuk dirinya. Tidak kurang juga perkataan ini sering digunakan oleh Dolah.

Satu ketika dahulu, kurang lima tahun yang lalu...

"Bekerja bersama SAYA, bukan untuk SAYA"

Selepas dapat isteri baru dia berkata pula,

"Dia (isteri baru) boleh jaga SAYA."

Namun selepas beberapa tahun selepas itu, apabila kredebelitinya dan kepimpinannya dipertikai, dengan penuh yakin, beliau berkata:

"SAYA pantang dicabar!"

Selepas PRU-12, diminta melepaskan jawatan Perdana Menteri, ulangnya lagi,

"SAYA Perdana Menteri."

"SAYA tidak akan lari"

"SAYA ada di sini."

Dan akhbar Utusan semalam, yang terbaru sekali katanya:

"SAYA bertanggungjawab"

Bercelaru juga melihat apakah tidakan yang dikatakan Dolah itu sebagai bertanggungjawab itu sebenarnya. Kebiasaan dan adat bagi suatu kepimpinan, jika kepimpinannya telah terlalu lemah, maka tindakan yang dikira bertanggungjawab ialah letak jawatan. Akan tetapi, cara pemikiran dan penerimaan Dolah terhadap signal dari rakyat serta orang bawahannya terhadap kelemahan pimpinannya adalah berbeza. Beliau menyifatkan tanggungjawab itu ialah, walaupun kalah, "SAYA tidak perlu letak jawatan sebab SAYA Perdana Menteri dan tidak perlu lari sebab SAYA ada di sini, kan SAYA bertanggungjawab". Inilah Perdana Menteri SAYA.

Tidak wajar acapkali menggunakan perkataan 'saya' demi isu negara dan kepimpinan. Ini akan dilihat Dolah seorang diri dalam menerajui negara dan semuanya dia berkuasa. Harus diingatkan, bahawa 'saya' tidak kukuh jika dibanding dengan 'kami' atau 'kita'. Maksudnya, Dolah tidak boleh lagi menggunakan perkataan 'saya' kerana sekarang Dolah tidak kuat dan perlu kepada gagasan atau pakatan. Seperti pembangkang, dengan Pakatan Rakyat mereka.

Kemungkinan beliau seperti ini (asyik bersaya) kerana Dolah diasak hebat dari dalam parti sehingga ke kabinetnya sendiri. Maka dengan itu beliau terpaksa mempertahankan peribadinya sendiri. Maka lahirlah 'ayat-ayat saya' yang berasaskan kepada kata ganti diri pertama iaitu 'saya'. Bersatu Dolah pun tidak teguh, belum bercerai UMNO sudah roboh. Novel Ayat-Ayat Saya tiada di pasaran dan usahlah mencarinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan