Follow je lah..


Memaparkan catatan dengan label sujudterakhir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sujudterakhir. Papar semua catatan

Selasa, 15 Mac 2011

Semua Reaktor Nuklear Sudah Meletup

[sumber gambar: reuters]

Masih lagi berkisar tragedi Tsunami di Jepun..ia teralu membimbangkan kerana ia antara hidup dan mati. Isu ni menjadi topik hangat di blog ini.

Menurut satu sumber , kesan tsunami lebih membimbangkan kepada masyarakat dunia, termasuk negara kita!

Khamis, 26 November 2009

Salam Aidil Adha 1430H


Sujudterakhir mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Raya Haji dan Raya Qurban. Qurban atau korban dalam bahasa Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah.

Dalam hari raya ini, ada kita yang terpaksa berkorban untuk bersusah dan menerima nasib yang tidak diingini. Sudah menjadi resam kehidupan sejak dari zaman dahulu lagi, aspek pengorbanan sangatlah penting tanpa mengira masa.

Harapnya kita juga sedia berkorban lebih-lebih lagi berkorban untuk Islam. Mampukah kita meninggalkan harta dan keluarga andai itu adala pra-syarat sebuah pengorbanan. Kita belum tahu jawapannya selagi mana kita belum diuji.

Semoga hari raya ini akan membanyak kita bertakbir (membesarkan ALLAH) termasuklah pada hari tasyrik. Besarkanlah ALLAH dalam percakapan, perbuatan, dan juga hati. Selamat berkorban andai tiba masanya nanti.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Khutbah Jumaat Lagi Utama Dari Ucapan Najib Hari Ini

Persidangan UMNO yang sedang hebat dan berdegar-degar sedang berlangsung kini di PWTC yang paling penting bagi mereka (ahli UMNO)itu ialah ucapan Presiden mereka iaitu dari Najib Razak. Presiden akan berucap dua kali, iaitu permulaan dan pergulungan.

Biasalah, Najib apabila berpidato terjerit-jerit dan semangat waja. Bagaikan ini gelanggang mereka punya dan hanyalah mereka pendekar terhebat di nusantara. Namun tetapi dikalangan mereka jika diajak berdebat, lintang pukang mencari alasan dan tidak ada keberanian.

Apapun hari ini hari Jumaat, sebelum mereka mendengar pergulungan dari Najib, kita wajib mendengat khutbah Jumaat. Khutbah ini tidak kira disampaikan oleh siapa dikalangan yang layak, wajib kita mendengar dengan taat dan diam. Jika ada yang berkata-kata semasa khatib berkhutbah, maka hilanglah pahala Jumaatnya.

Dalam khutbah, telah terkandung beberapa rukun yang tidak boleh ditinggal. Antaranya menyeru supaya semua orang Islam bertaqwa kepada ALLAH. Inilah yang lebih utama daripada menyeru supaya orang melayu bersatu.

Negara kita majoriti orang melayu beragama Islam. Ini bermakna jika kita memperjuangkan Islam, secara tak langsung bangsa melayu akan menjadi satu bangsa yang mulia. Oleh itu, tidaklah boleh menyatakan jika hancurnya UMNO maka hancurlah melayu. Ini satu fikiran yang ortodok lagi jumud.

Tidak bersalah jika kita mendengar ucapan Najib sambil bercakap-cakap atau pun sedang makan minum. Mendengar ucapan Najib lebih tertumpu pada melayu sahaja berbanding apabila menyebut Islam, ia tertumpu kepada seluruh aspek kehidupan.

Sabtu, 26 Julai 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-١١

Kita akan mati pada bila-bila masa. Entahkan esok atau lambat lagi. Hakikatnya setiap yang hidup seperti kita sekarang kelak kita akan mati. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat lari daripada kematian itu.

Kita harus bersedia setiap masa akan bagaimanakah mati kita nanti. Persiapan itu ada pada dua wajah iaitu persediaan hati dan fizikal. Kesemua ini sangat penting bagi kita yang bergelar seorang insan.

Dari segi fizikal, kita mampu meperolehinya, setiap orang yang mati akan diselimuti kain kafan. Maka kain tu akan menjadi pakaiannya tatkala tinggal di alam perkuburan. Itulah harta yang dibawa kedalamnya,

Persedian hati bukan semua boleh dimiliki. Hati yang penuh rahsia tidak mungkin dapat diketahui oleh insan lain tatkala kematiannya. Maka hati inilah yang sangat penting. Biarlah kematian kita berada dalam keadaan kita redha kepada ALLAH dan ALLAh redha kepada kita.


Hidup yang kekal adalah di hari akhirat nanti. Pada masa itu kita berpeluang untuk menikmati nikmat yang selama-lamanya. Di situlah negeri atau kehidupan kita yang sebenar. Cuma untuk memperolehi itu, kita perlu berkerja kuat untuk mendapat redha Ilahi.

Jumaat, 4 Julai 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-١٢

Kita boleh membilang hari, bulan, dan tahun umur yang telah kita lalui. Kita meraikan setiap tahun apabila genap setahun usia kita. Dan kita pula menanam azam untuk meniti tahun yang seterusnya.

Dalam membilang hari yang telah kita lalui, kita tidak dapat membilang hari yang bakal kita lalui. Ini kerana tarikh atau masa berakhirnya usia kita tiada sesiapa yang tahu melainkan ALLAH. Urusan ALLAH lah yang mencipta kita untuk melata di bumi ini dan urusan ALLAH jualah yang menamatkan usia kita.

Marilah kita menyerahkan diri sepenuhnya akan hakikat ini. Siapakah kita yang dapat menikmati kehidupan ini jika tidak diizinkan ALLAH? Kehidupan ini adalah pinjaman kerana kita belum dikembalikan lagi. Apabila tiba waktu untuk kita dikembalikan, ingatlah itu adalah amanah.

Sudah menjadi resam, barang yang dipinjamkan dengan baik mestilah dipulangkan dengan baik. Amatlah buruk sikap kita jika kita meminjam dan memulangkan pinjaman itu dengan penuh kelompangan. Itu tandanya, kita tidak lagi amanah.

Apabila tiba waktu kita pergi, pulanglah pinjaman itu sebaiknya. Berikan senyuman pemanis muka dan wajah redup menarik minat empunya pinjaman. Ketika kita meninggalkan alam ini, kita tidak lagi berhutang kepadanya, tetapi kita berterima kasih.

Nyawa yang Engkau berikan pinjaman ini, telah aku gunakan sebaik-baiknya. Kini aku pulang semula kepada Mu dalam keadaan yang baik. Aku mahu berterima kasih, kerana dengan barang pinjaman ini jua, aku beroleh Syurga Mu.

Jumaat, 20 Jun 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-١١


Tenang dirasai apabila dapat berikitikaf di dalam masjid sementara menanti masuknya waktu solat. Sambil itu membaca lembaran Al-Quran. Kemudian berdiri bersama imam untuk menunaikan solat berjemaah dan sesudah itu pula duduk berdoa meminta kepadaNya.

Ketenangan dapat dirasai ketika itu. Namun semua yang dilakukan hanyalah pada waktu kesempatan yang diberikan olehNya. Sebelum nyawa ditarik, kita mampu berbuat demikian seperti mana hari ini.

Hari ini kita dapat mellihat alam dan merasai keindahannya. Seraya kita rasa bersyukur apabila mendapat nikmat berkali-kali. Semua ini dirasai selagi mana kita masih bernafas dengan tenang. Situasi sekarang sebenarnya suatu yang seketika tetapi bakal mekar selamanya dalam kenangan.

Kenangan yang berlalu mampu lagi dikenang. Namun apabila kita berada di penghujung waktu ajal, kenangan yang lalu bagaikan tidak mahu lagi bersua dengan kita. Keadaan kita yang tidak keruan menyebabkan kita lupa pada kenangan itu. Sekarang kita berhadapan dengan sebuah cerita yang baru, yang akan meninggalkan semua kenangan itu.

Rasailah apa yang kita rasakan sekarang. Bagi kita semua, kita telah diberi dua pilihan untuk merasai yang enak atau yang pahit. Dalam enak ada pahit dan dalam pahit jua ada enaknya. Apa yang dirasai sekarang adalah kenangan pada kemudian hari tetapi pada kemudian hari adalah kekal dirasai.

Kita mudah terpedaya dan tertipu dengan dunia sebelum kita berjumpa akhirat. Kita lemah bukan? Oleh itu, kita perlu bertaut pada tali yang kukuh. Jika tautan ingin dilepaskan, berfikirlah dahulu. Kerana kita perlu tahu ada satu masa apabila kita lakukan, kita tidak dapat kembali lagi bagi membaiki keadaan.

Jumaat, 13 Jun 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین- ·١


Tidak sama sekali pengalaman berada di dunia dahulu dan kini berada di alam kubur. Dahulu aku bebas bergerak ke mana sahaja arah yang ingin ku kehendaki tetapi sekarang di sinilah sahaja aku berada. Tempatnya yang muat-muat sekujur diriku.

Dahulu aku boleh tidur lasak di atas tilam. Apabila atas tanah kini, badan sudah dibedung dengan kain putih dan tempat pula sempit. Apabila dihimpit, tulang rusuk ku bersilang-silang dan bertautan. Sangat ngeri pengalaman ini.

Siang dan malam bagi ku sama sahaja. Tiada langsung lubang yang mampu untuk ku mengintai siang atau malam di luar sana. Di sini hanya sentiasa gelap gelita ditambah lagi dengan mataku yang sudah tertutup rapat. Bagaimana untuk ku mendapat cahaya jika beginilah keadaannya.

Aku seorang diri sahaja. Tiada kawan untuk ajak bersembang atau bersiar-siar apatah lagi untuk bermuzik. Tempat ini sangatlah sunyi. Jiran-jiran sentiasa ada tetapi masing-masing sedang sibuk menerima perkiraan amalannya. Kau kau, aku aku.

Sakit sebenarnya sepanjang aku menetap disini. Kesakitan sentapan malakul maut belum sembuh. Itu lah yang paling sakit. Selain badanku menjadi ulaman ulat-ulat dan kadang kala kala jengking, memang terasa kesakitannya.

Dari tanah aku dijadikan kepada tanah aku kembali. Hancur badan dikandung tanah. Dengan keadaan aku sebegini, aku malu untuk berjumpa sesiapa kenalan ku. Lumrahlah, mataku sudah ditebuk, perutku pecah, dan isi badanku terdedah. Ah, aku tidak sanggup lagi menceritakan fizikal aku ini. Biarlah aku di sini. Seorang diri. Tolong!!!

Jumaat, 6 Jun 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین- ٩

Rambut yang panjang ini telah disisr rapi setelah semua badan segar kembali dari mandi. Air yang mengalir membasahi badan tadi digosok perlahan oleh tangan. Setiap sudut anggota dicucuri air dan setiap kelipat juga dibasahi juga. Kekotoran yang ada pada badan jatuh mengalir ke bawah bersama air mandian itu. Inilah mandian terkahir bagiku.

Badan yang berat ini diiring ke kanan dan ke kiri kerana badan ini sudah terbujur kaku. Perlahan demi perlahan perut diurut-urut agar sisa najis di dalam perut ini keluar dengan lancar. Malah cerita-cerita pelik yang pernah ku dengari dahulu tentang wujudnya ulat yang keluar dari badan ketika diurut menjadi aku berasa takut. Namun apa lagi yang boleh dilakukan, jika ulat yang keluar sekalipun dari rongga hidung,telinga dan mata, aku sudah kaku dan kelu.

Sungguh sejuk air yang mengalir dan betapa malunya aku tatkala dibukakan pakaian dan hanya berlapik kain kasar menutup aurat ku sahaja. Jika ditiup angin, pasti terungkaplah keaiban diriku. Tukang mandi, segerakan mandi ku ini kerana aku begitu sakit. Peralahan-lahanlah menggerakkan tubuh ku ini kerana kesakitan sentapan nyawa masih aku terasa.


Sehelai kain putih sedia menanti sebagai pakaian ku. Kini pakaian yang ada dalam almari tidak ada satu pun yang sudi menemaniku seorang diri dalam kubur. Hanya kain kafan inilah menjadi temanku. Sebanyak 3 helai menjadi balutan. Pakaianku ini tiada sebarang jahitan melainkan hanya ikatan.

Pakaian putih ini kemudian berdebu dan bersalut tanah dan lumpur tatkala aku dimasukkan ke dalam kubur, rumah baruku, Ak dihantar ke sini dan tiada kuasa untuk aku melarikan diri mahupun melwana mereka yang beriya-iya menghantarku ke perkuburan. Sudah tiada indahnya lagi pada pakaian ini melainkan hanya menanti untuk dirobek oleh ular, kala jengking, dan ulat. Kain ini makin hari makin reput, maka terdedahlah diriku kembali menjadi santapan sang ulat. Ulat kenyang dan menegeluarkan najisnya. Dari sebuah badanku yang tegap akhirnya menjadi najis sang ulat. Aku adalah dirimu.

Jumaat, 30 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین- ٨

Bagaikan menyedari diri berlumpur dengan dosa yang umpama najis bagaimana ingin menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Dalam keadaan hati yang cukup kotor berdaki dan busuk menyengit, sudah pasti tiada siapa pun yang mahu berkehendak berjumpa dengan manusia yang seperti itu.

Maka begitulah, sebelum kita pulang ke akhirat untuk bertemu Tuhan, maka awal-awal lagi di dunia ini kita perlu membersihkan diri kita. Umpama mencuci baju yang asalnya putih tetapi telah legap dengan lumpur. Mestilah disental sekuat-kuatnya baju itu supaya hilang segala kekotoran itu.

Bagaimana membersihkan dosa jika tidak dengan taubat? Sebagai seorang hamba betapa perlunya dia bertaubat dalam setiap saat. Ini kerana pada saat yang tidak diduga, dia mungkin dipanggil pulang. Pulang ke alam barzakh sebelum bertemu syurga atau neraka.

Dalam sebuah hadith yang mahsyur, sabda Nabi Muhammad S.A.W., "Kubur itu boleh menjadi taman dari taman Syurga atau jurang dari jurang api neraka."

Bersihlah dirimu dari dosa sebelum ia menjadi tiket untuk kita menjejak kaki ke neraka ALLAH. Sebuah tempat yang palimg tidak diingini tetapi di situlah laluan yang mudah ke arahnya. Jadikan taubat sebagai penyelamat dari terus ke sana.

Biarlah baju itu koyak demi membersihkan kekotoran yang degil akibat kuatnya disental. Hanya baju yang putih berseri dan bersinar layak untuk mengadap ALLAH yang Maha Mulia. Semoga ALLAH membuka hidayah kepada pintu hati kita.

Jumaat, 23 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-٧

Menziarahi kubur adalah cara yang paling baik untuk mengubati kerasnya hati yang mana tidak mungkin dilembutkan dengan cara yang sebelumnya. Kehadiran seseorang ke kubur akan memberi pengajaran serta kesan yang cepat kepadanya.

Menghadirkan diri untuk menziarah perlu menghadirkan hati bersama. Mudahan-mudahan hati akan tersentuh dengan tanah yang dipijak kerana kelak tanah inilah yang akan menjadi 'rumah' bagi insan.

Rasulullah pernah bersabda "Ziarahilah kubur, kerana ia akan mengingatkan mu kepada kematian" (Muslim)

Perhatikanlah semua manusia, perjalanan mereka di atas bumi akhirnya akan berakhir di dalam kubur. Maka insan yang manakah dapat melarikan diri dari kematian, hatta Firaun yang mengaku dirinya Tuhan, pun dicabut nyawanya.

Ar-Rifa'i berkata " Setiap orang yang takut kepada sesuatu pasti akan menghindar, kecuali kubur. Tiada orang yang takut kepada kubur, kecuali ia akan datang kepadanya. Ia selalu menunggumu tanpa kenal jemu. Dan engkau akan masuk kepadanya, tanpa pernah kembali selama-lamanya."

Mari kita merenung, nasib saudara kita ini,
  • Dahulunya ia begitu menikmati pemandangan yang dilihat, kini matanya telah tertutup.
  • Dahulu perkataannya fasih, kini cacing tanah telah memakan mulutnya.
  • Dahulu ia tertawa, kini giginya hancur terbenam tanah.
Fikirkan dan renungkanlah nasib saudara kita ini dan ingat jua yang kita juga adalah bakal menghadapinya pada bila-bila masa. Wallahua'lam.

-Isi dipetik dari buku Malam Pertama Di Alam Kubur

Jumaat, 16 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-٦

Sekali bala turun ke ruang alam ini maka sesiapa sahaja boleh mengena. Tidak kira tua atau muda, berdosa atau tidak berdosa smuanya sama sahaja. Kedahsyatan malapetaka yang telah berlaku kurang dalam dua minggu di China dan Myanmar, memberi pengajaran.

Atas itulah tujuan bala supaya manusia dapat mempelajarinya. 8000 sehingga 10000 orang telah tebunuh dalam kedua-dua bencana ini. Sebidang padang bola sudah pasti tidak dapat memuatkan kesemua mayat ini untuk dikuburkan tetapi memerlukan sebuah kota sebagai kubur!

Gambar yang pertama di atas adalah gambar menunjukkan bangunan yang runtuh ekoran gempa bumi 7.8 skala Ritcher di China. Tiada sesiapa yang dapat menahan batu besar jatuh ke bumi membungkus ratusan dan ribuan mayat. Usaha mencari dan menyelamat berapa peratuskah dapat membantu yang terperangkap jika keadaan makin sukar hari demi hari.

Keadaan sama di Myanmar tetapi bentuknya berbeza. Gambar kedua ialah gambar seorang anak yang tidak berdosa merenung jauh nasib dirinya yang mungkin telah hilang ibu bapa dan rumah untuk bermain. Lihatlah rumahnya di belakang yang ranap. Aduh, tersentuh jiwaku.

Bersabarlah atas segala ujian ALLAH dan ALLAH tidak akan mensia-siakan kesabaran kita. Sampaikanlah berita gembira ini kepada orang-orang yang sabar. Mudah-mudahan terubat jiwanya.

Jumaat, 9 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-٥

Perpisahan yang sebenar ialah apabila kita diasingkan ahli syurga dari ahli neraka. Perpisahan itulah yang meletakkan dua darjat, iaitu darjat syurga dan darjat neraka. Ahli syurga dan ahli neraka yang berpisah tidak akan mempedulikan lagi sesama mereka kerana ketentuan telah ditetapkan oleh Tuhan.

Apabila jasad disemadikan di dalam perut bumi, itu hanyalah perpisahan yang sementara. Hanya amalan yang boleh menyatukan dua insan yang telah berpisah selepas kematian. Jika ada anak atau ahli keluarga yang ditinggalkan, dan ketika itu kita telah mati, kita tahu bahawa mereka berada dalam kesedihan dan ada juga yang menangis.

Namun tangisan dan kesedihan adalah sementara. Apabila suria terbit dari timur, maka bumi bercahaya kembali mengganitkan kegelapan. Harta milik kita telah diagihkan, nama digugurkan dalam senarai jawatan, dan yang tinggal hanyalah gambar yang di simpan di dalam almari.

Sayang sekali harta yang banyak tidak dapat menemani kita di alam perpisahan itu. Tiada hiburan dan tiada rakan taulan yang dapat mengisi masa lapang kita di alam perpisahan itu. Mengharap hanya kepada doa anak dan amalan kebaikan yang telah diajar atau harta yang telah dilaburkan untuk saham akhirat.

Kita yang mati, dihantar ke sebuah alam yang lain. Bukan kita yang mahu meninggalkannya tetapi kitalah yang ditinggalkan selepas tamat majlis pengkebumian. Perlahan derap tapak kaki meninggalkan rumah baru kita lalu mereka makin lama hilang dari pandangan. Suasana di atas kubur kembali menjadi sunyi dan sepi.

Bilakah kita akan bertemu lagi di saat ini? Kita sentiasa mengharapkan pertemuan untuk kita hidup kekal selamanya. Kita hendak bertemu dan bertanya khabar disamping menikmati hidangan yang tidak pernah kita dapati di alam kehidupan sebelum ini. Pastikan tiba saat itu pada masanya. Nantikanlah.

Jumaat, 2 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین -٤

(Diterbitkan setiap Jumaat)

Imam Al-Ghazali ada berkata: " Orang yang ditinggal mati oleh anaknya atau salah seorang saudara dekatnya, hendaklah menganggap orang yang lebih dahulu meniggal dunia itu ibarat orang yang lebih dahulu sampai di destinasi ketika sedang musafir. Jika dia menganggap orang yang lebih dahulu mati sedemikian, nescaya dia tidak akan dibuai kesedihan. Sebab dengan cara itu dia tahu bahawa suatu ketikanya akan sampai dia juga dijemput ajal. Sesungguhnya maut itu hanyalah masa waktu sahaja. Jika ajal maut itu dianggap satu destinasi dalam perjalanan, maka seseorang yang ditimpa musibah tidak akan berasa gelisah dan bersedih hati."

Kita biasa melihat bayi yang lahir menangis ketika dilahirkan dan ahli keluarga gembira meraikan. Tetapi apalah nasib jika di saat kematian kita, kita tetap menangis kerana kurangnya amalan untuk ke negeri akhirat dan ahli keluarga kita menangis kerana kehilangan kita. Tiada berguna air mata apabila nyawa telah dicabut dari jasad meninggalkan jasad yang kaku.

Siapakah jasad itu? Jasad itu ialah "ini". Yang sedang menulis, melihat , membaca, mendengar, dan duduk. Jasad lah yang melalui segala kesakitan atau keindahan bersama roh. Malah jasad menjadi 'teman setia' kepada roh selagi kita jasad bernyawa. Namun apabila sampai waktu ajalnya, jasad terpaksa 'menangisi' dan mengucapkan selamat tinggal seta ucapan 'semoga berjaya' kepada roh yang akan melalui liku-liku perjalanan yang getir selepas kematian.

Jasad kita akan disemadi ke dalam kubur di ruang liang lahad. 'Teman setia' itu sudah tidak dapat menemani roh lagi dan jasad akan perlahan-lahan terurai menjadi tanah. Tangan yang bisa dilihat sekarang akan menjadi makanan bagi ulat-ulat mayat dan begitulah seterusnya untuk seluruh anggota badan yang lain. Tiada yang kekal, semuanya akan terurai dan akhirmya tiadalah jasad di muka bumi ini.

Buat rakan-rakan dan teman, Al-Khansa' pernah berkata dalam syairnya mengenai tangisanmu atas pemergian seseorang:
"Seandainya bukan kerana ramai orang yang menangis di sekeliling atas (kematian) saudara-maranya, pasti aku telah membunuh diri (kerana menyangka hanya aku seorang diri yang merasa sedih), akan tetapi aku menghiburkan diri dengan cara bersabar."

"Bersabarlah wahai temanku, ini adalah janjiNya."

Jumaat, 25 April 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین ٣

Berapa banyak kematian telah berlaku sana-sini di sekeliling kita. Kematian itu adalah janji Tuhan yang benar dan tiada keraguaan padanya. Tiada manusia yang kekal hidup lama melainkan semuanya akan berakhir dengan sebuah kematian. Sedarlah bahawa kita sekarang sudah kesuntukan masa untuk mengumpul segala amalan sebagai bekalan bertemu ALLAH yang Maha Esa. ALLAH yang menghidupkan dan ALLAH jualah yang mematikan sesiapa sahaja. Bacalah firman ALLAH ini mudah-mudahan tersingkap seribu keegoan yang ada pada diri kita:

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
Ali 'Imran:27

Kita telah disibukkan dengan urusan kehidupan sehingga kerap terlupa bahawa kehidupan akan berakhir dan bahawa kehidupan kedua selepas kematian. Sedangkan kita ketahui, kehidupan selepas kematian adalah kehidupan yang kekal abadi berbanding di sini.

Persediaan kepada sebuah negara abadi adalah bermula dari sekarang. Apabila kita mendengar berita kematian dari kalangan orang yang terdekat daripada kita, kita akan mudah berasa sayu dan terus bersimpati. Kita rupa-rupanya juga adalah senasib dengan mereka yang telah pergi itu.

Lihatlah bagaimana orang menunggu di sepanjang barisan di sebuah kaunter contohnya. Barisan yang panjang sedikit demi sedikit menjadi pendek apabila seorang demi seorang yang menunggu giliran dipanggil namanya. Begitulah jua giliran kematian kita yang semakin pendek selepas seorang demi seorang menemui mati.

Kita memohon Tuhan agar dimatikan dalam keadaan khusnul-khatimah (sebaik-baik kesudahan) kerana panggilan kematian itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin ada yang dipanggil dengan kasar dan mungkin juga ada yang dipanggil dengan penuh penghormatan. Tiada manusia yang suka namanya dipanggil dengan kasar maka begitulah tiada manusia yang mahu nyawanya disentap kasar.

Jumaat, 18 April 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین ٢

(Ruangan zikrulmaut diterbitkan setiap hari Jumaat)

"Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya). "
Al-An'am: 61


Semalam masih segar dalam ingatan ketika mana ALLAH menyelamatkan hambanya dari segala sebuah petaka bahaya. Sedang ketika aku membawa kereta sebelum melalui dari jalan lurus melalui sebuah simpang tiga, aku melihat cermin belakang kereta seperti mana yang diajar oleh ayaha. Ayah selalu berpesan semasa memandu, liarkan mata melihat semua sudut arah dan cermin supaya lebih berwaspada.

Dari cermin belakang kelihatan sebuah lori besar yang biasa digunakan untuk mengangkat perabot bergerak dari belakang sebelah kiriku. Kereta yang ku pandu semakin hampir ke persimpangan tiga tersebut dan berbetulan lampu hijau diarah simpang kanan itu menyala. Maka kereta dari arah simpang tersebut bergerak memasuki laluan lurus yang sedang dilalui ini. Sebuah kereta Iswara aeroback hitam yang berada dari simpang kanan cuba merapat masuk secara terburu-buru ke laluan arah kereta ku seolah tiada melihat cermin sisinya yang kereta ku hampir di kirinya.

Setelah itu, kereta itu merapati ke arah kereta ku. Jantung berdegup kencang kerana ku tahu kereta ini akan melanggar kereta ku. Lantas tangan kanan menekan hon kereta selama beberapa saat buat peringatan kepada pemandu Iswara itu. Kerana kereta itu rapat sangat ke kiri kereta ku, aku terpaksa memulas kiri stering kereta sedangkan ku tahu bahawa ada sebuah lori besar berada disebelah kiri menantiku untuk dirempuh.

Aku terselamat dari dilanggar dan melanggar kerteta Iswara tersebut tetapi aku tahu bahawa aku belum selamat dari sebuah lori besar diseblah kiri ini. Setelah aku mengelak dari kereta Iswara aku kini perlu mengelak lori besar laju yang jaraknya kurang dua saat dari kereta ku. Hendak atau tidak untuk terselamat dari lori itu, aku perlu memulas stering ke kanan supaya tidak hancur depan kereta ku dan kereta aku tidak berpusing-pusing menghentaam tembok dan kereta Iswara terbabit.

Kereta ini tersepit antara lori dan kereta Iswara. Pendek kata, jika tidak ku hentam kereta mungkin aku dihentam lori dan menjadi pilihan untuk ku memilih yang mana. Jawapanku ialah aku tidak mahu menjadi mangsa kemalangan dan itulah doa ku ketika keadaan panik sedemikian.

Apabila aku memulas kekanan, Ya ALLAH, aku bersyukur pada mu kerana engkau masih memanjangkan usia muda ku ini dan menyelamatkan harta (kereta) ku ini dar remuk dan kemek dari rempuhan lori dan kereta. Keretaku selamat dan terus meluncur kehadapan sambil aku berasa trauma dalam 30 minit berikutnya. Lori itu terus laju meninggalkan aku.

Tuhan, kau seolah-olah telah menghidupkan ku dari sebuah kematian. Kematian yang datang mengejut tanpa cepat atau lewat sesaat kepada setiap hambanya. Aku tahu pengajaran Tuhanku ini, supaya ku tahu betapa besarnya erti ingin hidup dikembalikan di dunia selepas sebuah kematian.

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). "
Al-Mu'minun:99

Jumaat, 11 April 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین ١

(Mulai Jumaat tarikh ini, ruangan zikrulmaut akan dimasukkan ke blog ini, Insya-ALLAH)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). "
Al-Jumu'ah: 8

  • Sudahkah aku bersedia untuk bertemu dengan ALLAH Taala saat ini?
  • Berapa banyakkah bekalan yang telah ku bawa untuk persediaan berhadapan denganNya kelak?
  • Apakah bekalan yang ku bawa semakin berkurang lantaran kejahilan melayani kehinaan dunia ini?
"Lontaran soalan yang menyentak diriku di khayalan kehidupan ini. Kerana ku pasti akan pergi jua, meninggalkan sebuah persinggahan."

Kematian adalah kesudahan jalan cerita bagi setiap kehidupan. Walaupun bersembunyi di dalam konkrit besi yang tebal, kematian pasti akan datang mengundang. Biarpun datangnya tidak diundang, tetapi datangnya memerlu persediaan. Berlarilah sehingga ke hujung bumi ini, kematian pasti datang kepada menemui kita.

Saat perpisahan antara roh dan jasad adalah sebuah perpisahan yang menyedihkan. Umpama meninggalkan sebuah kereta yang cukup berjasa dan berjuta kenangan kepada kita. Tetapi kini adalah meninggalkan jasad yang terkujur kaku. Setiap pergelangan pada sendi akan mengucapkan 'selamat tinggal' masing-masing sesama mereka. Berpisahlah pergelangan kaki dengan diantara kedua-duanya dan begitulah jua tangan di antara kedua-dua sendinya.

Perpisahan ini adalah peprisahan yang sementara. Apabila di mahsyar, kaki dan tangan akan bertaut sesama mereka dan bertemu kembali sebagai saksi di Mahkamah Rabbul Jalil. Penyaksian yang jujur dari anggota badan membuktikan segala perbuatan kita di dunia ini. Mulut telah tertutup kunci. Memikirkan tatkala kita itu, atas semua perkara yang telah ku lakukan, ketika tangan dan kaki ku mula berkata-kata, air mataku jatuh ke pipi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan