Follow je lah..


Sabtu, 2 Mei 2009

Merapatkan Sof Kita


PAS masih kuat dan diterima di Malaysia sebagai satu perjuangan untuk menegakkan negara Islam. Tanpa PAS, mungkin tiada parti yang berteraskan Islam untuk membawa sebuah gerakan dakwah. Kerana Islam sebagai tunjanglah, PAS sentiasa relevan dan mendapat banyak kejayaan.

Berikutan sebelum ini dengan beberapa perbezaan pandangan, tafsiran, dan bahasa telah berlaku sedikit kecalaruan. Kita tidak harus terus menerus dalam kekusutan dan tiada kekusutan yang tidak dapat dirungkaikan. Isu melaga-lagakan antara dua pemimpin tertinggi PAS tidak wujud kerana selagi mereka menyuruh kepada kebaikan, kita wajib taat.

Dalam mana-mana organisasi pun, cadangan ada masa ia diterima dan ada masa ia ditolak. Sesuatu cadangan akan melalui beberapa tingkatan pengkajian dan pentilitian dari semua sudut. Itulah yang PAS biasa lakukan. PAS tidak hanya berurusan dengan ahlinya sahaja, tetapi semua rakyat Malaysia yang berbagai latar belakang. PAS untuk semua. Di sinilah akan terasahnya kebijaksanaan PAS.

Sof yang berlubang akan diisi oleh Syaitan. Maka rapatkanlah sof-sof antara kita. Kita tidak pernah bercerai semasa solat dan kita dipandu pula oleh seorang imam. Bersama-sama ruku' dan sujud. Cerminan solat inilah harus dijadikan kafiat kita dalam berjemaah.

Seseorang yang menjadi imam adalah mereka yang paling layak dari segi alim dan akhlaknya. Dan makmum yang dibelakangnya perlulah dikalangan mereka yang alim juga untuk menegur silap jika imam tersalah. Kita tetap sama di hadapan ALLAH dengan tanggungjawab yang cukup berat sedang dipikul.

Jawatan: Antara Rebutan Di Dunia Dan Bebanan Di Akhirat

Khamis, 30 April 2009

Kerana Babi Dizalimi

Bala dari Tuhan adalah kerana kezaliman yang dilakukan oleh manusia sendiri. Dengan menyaksikan video yang ada di bawah, anda dapat lihat kekejaman manusia kepada haiwan. Tanpa perikemanusiaan.

Video 1 (18 SG)
Video 2 (18 SG)

Walaupun Islam mengharam babi dan anjing untuk dibela atau makan, tetapi Islam menyuruh umatnya untuk berlaku baik dengan semua makhluk ALLAH. Tidak kira haiwan yang halal, ataupun yang haram.

Kisah seorang pelacur memberi minuman kepada anjing dalam satu riwayat, telah menunjukkan bahawa kita perlu berbuat baik kepada haiwan mengikut haknya. Haiwan adalah makhluk yang diciptakan ALLAH. Mereka mempunyai deria, perasaan, dan ada juga perhubungan.

Semua makhluk adalah ciptaan ALLAH. Takutilah makhluk yang dizalimi, kerana mereka tiada hijab antara dia dan ALLAH untuk berdoa. Sabda Nabi Muhammad S.A.W.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Takutlah doa orang yang dizalimi sekalipun ia seorang kafir kerana sesungguhnya tidak ada halangan di antara doanya dengan Allah”.

Riwayat Ahmad

Dari sebab itu, ALLAH menurunkan bala kepada sesiapa sahaja. Berdoalah agar diberi perlindungan dari balaNya.

Rabu, 29 April 2009

Inilah Kebijaksanaan Tuanku Sultan


Kes menentukan siapa MB Perak yang sah akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Secara langsung ia menolak nafsu Zambry yang mahu beliau diisytihar sebagai MB yang sah. Dalam erti kata lain, kalau Zambry ini bukan MB Haram, dia ialah MB Syubhah.

Jika dalam Islam sekalipun kita dinasihat meninggalkan perkara yang syubhah dan apatah lagi benda yang jelas haramnya. Berlaku konflik MB di sini sangat mencelarukan namun ia terkandung sebuah cerita yang tersirat.

Jika mahkamah berpaksi kepada kebenaran dan keadilan, tidak mungkin Pakatan Rakyat akan kalah dalam perbicaraan ini. Sudah terang lagi bersuluh hatta rakyat kebiasaan pun boleh menilai dan memberi pandangan mengenai siapa yang MB Perak sebenarnya. Apapun, keputusan mahkamah untuk meneruskan perbicaraan di sambut baik. Semoga negara kita terselamat dari kezaliman.

Modal Zambry itulah, dia mendapat perkenan Sultan Perak. Kita tidak tahu apa yang mereka bincang dan bagaimana Tuanku Sultan sebagai berada di 'atas' politik untuk membuat pertimbangan memberi perkenan kepadanya. Sultan, sebuah institusi yang tertinggi di Malaysia amatlah bijak dan tidak sesekali berfikiran pendek.

Perbicaraan yang akan berlangsung ini akan berlalu hari demi hari. Tuanku Sultan Perak sebagai bekas Ketua Hakim Negara amatlah mahir dalam apa sahaja yang dibicarakan dan susur galur perbicaraan ini. Kita yakin kebenaran akan terbukti dan terserlah kebijaksanaan Tuanku nanti.

Nizar ialah MB yang sah, mendapat mandat rakyat. Maka terserlah siapa yang haram dan siapa yang membuat onar selepas itu. Biar satu negara tahu bahawa BN adalah parti yang cukup tidak profesional dalam politik akibat kemelut ciptaan tangan-tangan mereka sendiri. Di sinilah kebijaksanaan Tuanku Sultan untuk membezakan antara yang haq dan batil.

Ingatlah titah Sultan kepada Nizar,
"Bersabarlah, sesungguhnya ALLAH bersama dengan orang-orang yang sabar".
Daulat Tuanku!

Selasa, 28 April 2009

Andai Selsema Babi Tiba Di Malaysia

Jangan pandang ringan apa yang telah berlaku di Mexico. Baru kita tahu di Mexico mempunyai kandang babi. Malaysia pun ada juga kandang babi juga dan tak kiralah di Selangor, Melaka, atau mana-mana kerana ada orang yang makan binatang ini dan permintaan luar negara.

Islam sudah mengajar umatnya haram untuk memakan babi. Kerana ada segolongan manusia yang bukan Islam memakannya, penternakan binatang ini dilihat sebagai keperluan dan membawa keuntungan jua, tetapi bukan untuk orang Islam lah. Islam tidak pernah mengambil sebarang keuntungan atau manfaat daripada babi. Biarpun dalam soal darurat, memakan babi adalah pilihan terakhir untuk meneruskan kehidupan dan makannya pun sekadar yang perlu sahaja.

Babi ialah haiwan tidak pernah menitik berat soal kebersihan akhirnya bala kepada semua manusia. Penyakit yang datang daripada bintang itu tidak mempunyai 'mata' sepertimana bala yang turun tidak bermata dan akan mengena sesiapa sahaja tidak kira orang itu yang memakan babi atau tidak. Selsema Babi adalah satu contoh bagaimana bahayanya malapetaka angkara babi.

Virus ini bukan sahaja boleh merebak melalui udara, malah boleh merebak dengan sentuhan seperti bercium dan berpelukan. Kaedah memakai topeng muka bukanlah senjata ampuh untuk mengekang penyakit pandemik ini. Ia mampu merebak sekelip mata dan membunuh dengan hanya beberapa hari.

Sehingga tulisan ini ditulis, Mexico mencatatkan kematian 149 orang dan 2000 orang lain pula dipercayai sudah terkena serangan. Kecanggihan senjata dan teknologi negara Amerika masih tidak dapat mengalahkan 'tentera ALLAH' yang bergerak dengan halus dan penuh terancang.

Seluruh dunia menjadi kalut dan takut termasuklah negara kita. Tiada sesiapa yang boleh menjamin bahawa ia tidak akan sampai ke sini kerana di Kanada, Spain, dan Scotland sudah pun terkena. Pada masa ini kita harus bersedia dengan soal pencegahan pada peringkat negara dan tidakpun sekurang-kurangnya pada peringkat kita dengan meningkatkan pengetahuan mengenai penyakit itu. Sikap pandang remeh pada wabak ini akan merugikan diri sendiri.

Jika penyakit ini berlaku di negara kita, apa yang berlaku di Mexico itu sama akan berlaku di negara kita. Sekolah terpaksa ditutup, tiada yang mahu pergi bekerja, ekonomi bertambah lumpuh, dan hospital juga bukan lagi tempat yang selamat. Kita mampu memantau kemasukan mereka yang datang ke negara kita tetapi ada burung yang berterbangan membawa virus ini turut memasuki negara tanpa siapa yang tahu dan menahannya.

Kembali kepada negara kita, sampai bila negara perlu membela babi? Pelbagai penyakit yang datang dari binatang itu perlu diambil iktibar. Apa yang Islam larang itu ada kebaikannya tetapi kerana gelap nafsu, membawa parah. Apa kejadahnya makan babi.

Dari Abu Salamah bin Abdur Rahman r.a katanya dia mendengar Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak ada penularan”, kemudian ditambahkannya pula, “Jangan mendekatkan yang sakit kepada yang sihat.”

(Muslim)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan