Sepatutnya berdasarkan yang kita pernah fahami dahulu, hanya dua orang sahaja akan dinobatkan sebagai angkasawan negara. Terbukti iaitu Dr. Sheikh Muzaffar dan Dr. Faiz Khalid telah berjaya melepasi pelbagai ujian dan saringan untuk bergelar seorang angkasawan.
Sungguhpun demikian, daripada dua itu, hanya seorang sahaja yang berpeluang berlepas dan berada di angkasa raya. Dr. Sheikh Muzafar ataupun terkenal dengan panggilan Dr. SMS telah menjejak kaki ke ruang angkasa itu. Manakala sahabatnya Dr. Faiz, tidak lagi. Beliau harus menanti giliran seterusnya untuk dipanggil ke sana.
Kewujudan beberapa orang dari ahli politik menyarankan agar program angkasawan kedua ini dikaji semula. Ini bererti, perancangan untuk melancarkan atau menerbangkan Dr. Faiz ke angkasa mungkin berhadapan dengan pembatalan ataupun penangguhan. Keadaan ini menyebabkan seolah Dr.Faiz tidak berpeluang ke sana dan rakyat seolah sudah ditipu lagi.
Manakan tidak, jika dahulu sudah merancang dan menetapkan begini dan begitu, akhirnya sebaliknya yang terpaksa berhadapan. Tidak ada suara sokongan dari mana-mana ahli politik setakat ini yang terus menyokong agar program angkasawan kedua ini diteruskan hatta bekas menteri MOSTI dahulu yang ala emosi itu. Akhirnya, Dr.Faiz sahaja yang menyuarakan isi hatinya semasa menghadiri satu program di Perlis baru-baru ini. Jika makin lambat beliau berlepas, makin tinggi risikonya untuk tidak layak lagi ke sana atas faktor usia, kesihatan, dan kecerdasan.
Biarpun begitu, adakah rakyat telah mendapat manfaat yang besar dari kejayaan Dr.SMS mencapai ke langit? Ujian-ujian eksperimen sains yang dilakukan tidak mendapat perhatian meluas dari media tatkala Dr.SMS pulang ke negara. Hanya menjadi hebohan ialah Dr.SMS orang Malaysia sudah berjaya sampai ke ISS itu sahaja. Dimana hasilnya? Hasilnya ialah ada cerita-cerita Dr.SMS menjadi kaya raya.