Melihat semula corak sosio ekonomi rakyat Malaysia secara umum sekarang, keadaan tidak memberangsangkan. Keadaan parah ini banyak dilihat selepas PRU-12. Janji-janji manis BN bagaikan sudah bertukar menjadi kelat.
Keputusan BN yang menang dalam pilihanraya tidaklah memuaskan dan ini tidak dapat dinafikan hatta presidennya sendiri. Gelombang biru sudah hilang kuasanya dan tidak berdaya melawan gelombang dari pembangkang. Wang pelaburan BN untuk menang besar dalam pilihanraya seperti yang diangan-angankan berkecai dan sia-sia. Kata mereka juga, BN sudah dikhianati.
Luka kekalahan BN masih tidak terubat lagi. Rasa tidak puas hati dari pencapaian buruk masih membuak-buak. Rasa tidak puas hati itu hendak sahaja rasanya dibebankan kepada rakyat kerana rakyatlah yang sudah tiada citarasa lagi kepada BN.
Sebabnya rakyat tidak mengundi BN, dan BN telah hilang lima negeri. Lagi-lagi di Kelantan, wang tambang pulang untuk pengundi mengundi di negeri tersebut tajaan BN membawa kehampaan kepada BN akhirnya. BN lagi teruk kalahnya di Kelantan berbanding PRU sebelumnya. Rakyat tidak mengenang budilah kiranya.
Maka rakyat perlu diajar dan dihukum. Kekalahan BN bukanlah percuma dan harus dibayar. Natijahnya rakyat perlu membayar dengan harga minyak yang mahal. Rakyat harus terima hukuman ini. Ini salah rakyat yang menyebabkan BN kalah.
Selain itu, harga beras yang naik juga adalah satu bentuk 'punishment' . Rata-rata keperluan asas rakyat telah dibebankan kerana kekalahan BN. Lebih memeritkan lagi, ketika rakyat sedang terbeban dengan masalah duit, gaji CEO TNB dikali gandakan 100%. Ini tidak sensisitif kepada rakyat namanya. Selain itu, program RM 1juta untuk satu emas di sukan Olimpik juga tidak sensitif pada situasi rakyat.
Projek rakyat terus tergendala selepas ini. Contohnya dua projek mega RMK-9 di Pulau Pinang yang dihentikan menjadi bayaran kepada kekalahan BN. Di tambah lagi dengan itu, projek hidroelektrik Bakun sedang terencat. Kerencatan ini kerana Sime Darby Bhd. sudah tawar hati kepada projek itu. Supaya kerajaan tidak rugi berbilion-bilion ringgit, mahu sahaja diserahkan projek itu kepada sekutu rapat kerajaan, TNB.
Dalam diam, rakyat dihentak kepalanya dan dilaga-laga. Ada ubi ada batas, sebab kalah kau kena balas. 'Barulah kau tahu...Padan muka kau" kata mereka dengan gembira. Rakyat bertambah-tambah geram!