Follow je lah..


Jumaat, 27 Februari 2009

Sivakumar Hero Hindustan Kita

Itulah Sivakumar, Speaker Dewan Undangan (DUN) Perak yang tegas, konsisten, dan berani. Jerat yang dipasang oleh Najib terlepas pula kepada Sivakumar menyebabkan kerajaan haram BN Perak tidak kukuh. Kehadiran Sivakumar di saat akhir menewaskan 'penyangak-penyangak' persis seorang hero dalam filem hindustan atau lebih terkenal dengan istilah 'Bollywood'.

Setelah Nizar ditendang BN, Nizar percaya ia tidak mampu bangkit seorang diri bagi menyelamatkan Perak dari terus dicabuli. Atas sebab itu, seluruh adun dari Pakatan Rakyat bersatu dan menyusun cara yang nyilu sekali untuk mengembalikan kuasa rakyat.

Zambry, MB haram ini yang disebut-sebut juga sebagai 'mamak' masih tidak berpuas hati dengan tindakan Sivakumar menggantung diri dan konco-konconya. Maka mereka bertindak pada 3 Mac 2009 nanti untuk merempuh dewan undangan negeri ketika semua adun yang sah sedang mengadakan sidang tergempar.

Segagah manakah Zambry ini? Jika mereka benar-benar tekad untuk merempuh sidang dewan, maka wajib ada FRU untuk menghalang mereka. Sebagaimana FRU yang menghalang rakyat Perak beberapa minggu lalu, maka begitu jualah terhadap Zambry dan konco-konconya. Tetapi, berat rasa hati untuk mempercayai FRU akan tunggu di depan dewan negeri bagi mengahalang Zambry sebab polis ini sentiasa kamcing dengan mereka.

Pedulilah apa pun, FRU mesti turun halang mereka yang tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan ini. Kerana itu perintah Speaker DUN. Siapakah Speaker DUN itu? Sekali lagi diingatkan dia ialah Sivakumar.

Sivakumar telah menetapkan tarikhnya, dan dua usul paling penting akan dipanjangkan. Pertama ialah mengesahkan jawatan MB buat Nizar dan kedua membubarkan DUN. Kedua-dua usul ini sangat besar impak dan momentumnya pada negeri dan negara. Semuanya ini tidak akan berlaku jika katak-katak itu tidak melompat.

Sivakumar datang pada saat akhir bagi menyelamatkan keadaan. Biasalah seorang hero hindustan pada awalnya akan kalah serta ditangkap oleh polis-polis Bombay yang sudah dimakan suap. Selepas itu, dia keluar dari kekalutan itu untuk menyelamatkan orang-orang kampungnya dari dianiaya dan dizalimi. Akhirnya, hero berjaya dan pergi menemui kedua-dua mak ayah mereka meminta restu. Ayo ma, ayo pa....!

Khamis, 26 Februari 2009

Haha..Pemuda UMNO Kena Cucuk!

Nak tergelak pun ada melihat perangai pemuda UMNO yang menurut mereka mereka tidak celaka. Benar perkataan 'celaka' itu agak kasar tetapi itu hanya pada persepsi sahaja. Andai perkataan 'celaka' ditambah imbuhan 'ke.....an' menjadilah kecelakaan. Tetapi perkataan kecelakaan tidak pernah dianggap kesat malah digunakan dalam Buletin Utama.

Apabila dicucuk oleh Karpal Singh, dengan label bahawa pemuda UMNO celaka, semua puak-puak mereka 'melompat'. Masing-masing menjadi emo tahap gaban dan ini terbukti. Jika nak cari bukti bahawa mereka kirim dua butir peluru, itu masalah mereka dengan Karpal sahaja yang tahu benar atau tidak.

Baru sekali dicucuk, semua sudah melatah dan sudah buka langkah untuk bersilat. Siap jumpa di luar dewan untuk tunjuk keutuhan melayu UMNO mereka ala samseng gitu. Mereka kuat melawan si tua yang cacat, tetapi apabila diajak berdebat contohnya isu PPSMI, tiba-tiba menjadi bacul (simpan keris dalam sarung, hehe...)

Berlainan dengan kejantanan Karpal. Sekalipun sebanyak 100 laporan polis kepadanya, beliau sememangnya tidak 'melompat' kerana beliau itu lumpuh. Beliau tidak mudah melatah tatkala mendapat laporan polis yang banyak daripada laporan polis pertama sehinggalah yang ke seratus. Karpal seperti kapal yang berlayar tenang, tidak karam lagi tenggelam. Boleh jadi juga Karpal ini jenis manusia yang tak makan saman.

Namun, tidak pelik juga andai selepas ini Karpal akan ditambah 100 lagi saman baru kerana menghina pemuda UMNO serta memfitnah mereka. Setiap pemuda bahagian buat satu laporan maka cukuplah untuk melambakkan lagi kertas laporan polis di balai polis berdekatan. Apa punya hal la macam ni punya hal.

Ergh, sekarang jangan main-main dengan pemuda UMNO, mereka tengah bersemangat untuk bulan Mac ini, pemilihan UMNO. Darah tengah gemuruh dan semua tengah semangat. Maklumlah mereka ini akan dihantar ke tempat pilihanraya kecil sebagai agen gerak khas UMNO. Wei, pemuda UMNO pantang di cabar kau tau tak!!!? Sebab Presiden dia dulu ada cakap, ingat lagi tak?

"Saya pantang dicabar!"
Hahahaha..

Untuk melihat video gelagat mereka, sila klik di sini.

Rabu, 25 Februari 2009

Bom Jangka Untuk BN


Kini sudah pasti ada pilihanraya pada bulan April, suatu perang politik yang dikira sengit juga. Dalam perkiraan kini sudah ada dua bukit dan satu batang. Iaitu Bukit Gantang, Perak, Bukit Selembau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak. Namun, mungkin juga tidak dinafikan ada lebih tiga pilihanraya buat masa ini. Kemungkinan itu ada di pilihanraya di Bukit Lanjan dan di Negeri Perak seluruhnya.

Yang pasti, ada tiga tempat sekarang. Antara tiga tempat itu, yang menjadi perhatian tentunya kerusi Parlimen Bukit Gantang dan barulah Bukit Selembau seterusnya Batang Ai. Dengan melihat senario atau suasana politik negara, politik hampir kucar-kacir. Puncanya ialah dari Barisan Nasional.

Kalau di Perak, rakyat bangkit memarahi BN. Tambahan pula dalam satu kajian, rata-rata rakyat tidak bersetuju dengan cara rampasan kuasa yang dilakukan BN. Sekarang kita sudah ada senjata untuk menyerangnya. Senjata yang bernama bom jangka.

Lihatlah bagaimana satu persatu perangkap yang mereka pasang buat Pakatan Rakyat, hari demi hari akan memakan mereka sendiri. Jikalau difikirkan secara bernas, untuk menghadapi 3 pilihanraya ini, persiapan paling utuh mesti digerakkan tidak kira PR ataupun BN dalam bulan Mac.

SPR yang memilih bulan April sebagai pilihanraya kecil secara serentak bagi dua bukit tidak akan memberi apa-apa manfaat yang besar kepada BN pun. Ini kerana BN atau UMNO pada masa ini sedang sibuk dengan pemilihan calon. Mereka berebut di dalam parti (pemilihan calon) dan di luar parti (calon pilihanraya kecil). Maka apakah keyakinan mereka untuk memberi kosentrasi seratus peratus pada tiga pilihanraya kecil nanti yang pasti pada masa yang sama PR memberi perhatian padanya seratus peratus.

Senang kata, BN akan kalah dalam semua pilihanraya kecil nanti. Setuju? Setuju atau tidak itu terpulang kepada masing-masing. Tetapi lihatlah mood negara dan rakyat yang berlaku kini sejak dari PRU-13. Boleh jadi sebarang bentuk serangan politk dari BN itu kepada PR akan menguntungkan PR sahaja.

Pilihanraya kecil ini sebenarnya tidak kecil. Ia seumpama bom jangka (tetapi bukan C4) yang akan meledak. Jika BN kalah, dan ketika itu Najib sebagai Presiden partinya, beliau mesti meletak jawatan Presiden itu sepertimana yang telah mereka lakukan kepada Abdullah. Setuju?

Selasa, 24 Februari 2009

Ke London Mencari Bala

Belum cukup setengah bulan MB Kontroversi (sesetengah orang menyebut MB Haram) sudah pergi makan angin di London. Sambil-sambil minta bantuan negara penjajah itu, sambil-sambil itu lah juga mereka makan-makan dan berceria-ceriaan. Khabarnya pergi ke sana untuk menegakkan benang yang basah dan mencari peluang untuk terus halalkan yang haram.

Jika dahulu dalam sejarah Tanah Melayu, kebanyakan Raja dan Sultan yang meminta bantuan daripada orang Inggeris akhirnya melayanglah tanah tumpah mereka. Apakah masih releven lagi ibrah ini buat zaman kini. Percaya kepada orang luar dalam suatu pemerintahan umpama harapkan pagar, pagar makan padi.

Zambry and the gang sudah hilang arah lagi parah. Kerajaan baru yang mereka ingin laksanakan penuh dengan tentangan dan kebencian. Kerajaan PR Perak tidak begitu mudah atau senang melepaskan negeri itu kepada bangsa melayu yang lupa sejarah itu. Mereka akan bertembung dari dalam dan luar mahkamah untuk memastikan kerajaan bukan pilihan rakyat tidak mendapat mandat.

Bagi orang Islam, mencari perlindungan daripada orang kafir dan mengenepikan orang beriman adalah umpama menempah malapetaka yang besar. Pelindung dan penyelamat kita bukanlah dari mereka yang telah menghalalkan darah umat Islam di bunuh di Iraq dan sebagainya. Inilah kelemahan besar kerajaan haram Perak apabila meminta bantuan dari negara asing.

Adakah kerajaan haram seperti ini boleh dipercayai dan apatah lagi ditaati? Sudah lenyapkah pengamal undang-undang hebat di negara kita sehingga akhirnya sanggup menggadai maruah Perak kepada bangsa asing? Inilah UMNO. Pastinya pergi mereka ke sana atas restu Abdullah dan Najib. Siapa pengkhianat bangsa?

Menyentuh soal ini, kebijaksanaan kepimpinan Nizar terserlah. Munajat perdana dijangka akan diadakan sebagai usaha terbesar menyelamatkan kebenaran. Biar mereka meminta bantuan si kafir dan kita hanya meminta bantuan dari ALLAH. Sultan, hakim, peguam, dan undang-undang tidak empunya apa-apa, kerana semuanya dibawah perancangan ALLAH.

Andai akhir nanti, kebenaran memihak kepada PR, rakyat akan menang dan terserlah sejuta kehinaan dari dosa BN kepada Sultan dan rakyat. Biarlah mereka menegakkan benang basah sehingga ke London sekalipun, kerana tidak mungkin kelak mereka tidak akan dihambat dari negeri mereka sendiri.

Ahad, 22 Februari 2009

SPRM X BPR = 2 X 5

'Saya yang menurut perintah'. Dahulu namanya Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama pedomannya di mana ada selagi di bumi Malaysia. Inilah cerita sebuah keluarga yang taat atas nama 'saya yang menurut perintah'.

Adik beradik SPRM ini ialah SPR dan PDRM. Semuanya mereka hanya menurut perintah. Apabila melakukan sesuatu, penguatkuasaan umpanya, pekerja bawahan dia akan menjawab " ini arahan dari pihak atasan / saya menurut perintah". Taat biar bertempat, taat kepada makhluk selagi mana tidak menyuruh kepada perkara yang maksiat dan mungkar.

Boleh jadi mungkar itu kerana cenderung kepada orang yang zalim. Menuduh orang itu kononnya ada rasuah. Tidak apalah jika itu kerja mereka, iaitu menguatkuasakan undang-undang. Akan tetapi apabila tindakan dilakukan dengan memilih bulu, asyik-asyik Pakatan Rakyat yang dibantai, ini apa kes?

Kadang nampak mereka ini macam berpakat dengan kerajaan BN dan sememangnya banyak kita nampak kecenderungan mereka ke arah BN. Apakan daya, kami makan gaji dan kami menurut perintah. Sikap tidak profesional dan pilih bulu amatlah berleluasa dalam arena politik negara. Jika mereka berterusan sebegini, kelak ia bakal mengancam kestabilan negara.

Ketua SPRM ini ialah Ahmad Said Hamdan yang sudahpun main gertak-gertak dengan MB Selangor. Belum habis nak main gertak, anak beliau sudah kena tangkap oleh polis Australia atas sebab seludup pornografi. Nah, Tuhan dah tunjuk siapa sebenarnya yang betul dan siapa yang buruk. Kalaulah Ahmad Said Hamdan ini buat kerja betul-betul, kan dapat rezqi berkat dan anak-anak pun tidak buat malu muka mak bapak.

SPRM harapan yang Di-Pertuan Agong. Buat kerja betul-betul bukan hanya rebranding dan kobar-kobar. Buanglah otak lama ganti otak baru. Buat kerja untuk negara kerana rakyat bukan buat kerja kerana menurut perintah. Dah jadi suruhanjaya buat kerja hendaklah berjaya.

Siasat siasat Pakatan Rakyat juga, tapi UMNO jangan di lupa. Tangkap yang rasuah dua tiga ratus ringgit tapi yang berbilion-bilion dan berjuta ringgit duit rakyat senyap macam tak salah. Kalau nama pencegah, ingatlah mencegah itu lebih baik. Bukan dah buat rasuah baru nak cegah, baik tak payah letak nama pencegah. Nak letak nama apa pulak ya selepas ini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan