Follow je lah..


Sabtu, 22 Mac 2008

Hikarat Hang Tuah Din


Sudah jadi cerita seperti Hang Tuah dan Hang Jebat pula kali ini dalam UMNO. Ikutilah kisah Hang Tuah Din dan Hang Jebat Li ini. Ceritanya begini, di sebuah kota yang bernama Kota Amenusia terdapat sebuah Kerajaan Barisanlingkup yang diketuai seorang Sultan bernama Sultan Mah Dolah. Menyedari bahawa Sultan Mah Dolah telah banyak melakukan kelemahan terutama membiarkan negeri di bawah jajahannya diserang oleh Kerajaan Rakayakita, maka Hang Jebat Li tidak boleh tahan lagi. Dalam masa yang sama, Tuan Bendahara Kerajaan Barisanlingkup turut merasa kesan kelemahan pemerintahan Sultan Mah Dolah. Tuan Bendahara, Tun Sri Maha telah menghasut Hang Jebat Li untuk menderhaka kepada Sultan Mah Dolah itu. Ini bertujuan bagi menyelamatkan Kerajaan Barisanlingkup dari terus lemah dan diserang dari pihak musuh kelak.

Berita penderhakaan dikalangan pembesar telah di dengari oleh Hang Tuah Din. Hang Tuah Din berpendapat Hang Jebat Li seperti menangguk di air yang keruh. Malah, seluruh rakyat jelata Kerajaan Barisanlingkup kini setia bersama dengan Sultan Mah Dolah konon-kononnya. Buktinya Permaisuri Rafada dan Dato' Bentara Radzi sudah tiada lagi. Mereka adalah pengancam Sultan. Hang Tuah Din telah menyampaikan khabaran ini kepada Sultan Mah Dolah. Apabila ditanya adakah Sultan tertekan, jawab baginda "Tiada, tiada sesiapa tekan beta, beta akan teruskan perjuangan."

Perjuangan Sultan kini menuju kehancuran sebuah kerajaan, melainkan Sultan diganti oleh seorang yang lebih layak . Sultan sebenarnya kesepian, tiada permaisuri dan tiada menantu kesayangannya. Menantu baginda Datuk Kari telah lari menuju ke sebuah pulau di percayai ke Pulau Temasik setelah negeri-negeri hebat diserang. Akhirnya, Sultan Mah Dolah dengan buntunya menitahkan agar Hang Tuah Din membunuh sahaja Hang Jebat Li menggunakan keris Taming Sari. Banggalah Hang Tuah Din itu.

Hang Tuah Din umpama pucuk dicita, ulam mendatang manakala Sultan Mah Dolah umpama orang yang mengantuk disorong bantal. Hang Tuah Din memberikan bantal kepada baginda Sultan agar Sultan tidak perlu gundah gelana dan boleh beradu nyenyak disamping puteri-puterinya. Maka beradulah Sultan Mah Dolah di Istana Mahligai Jaya tatkala Hang Tuah Din memulakan langkah.

Hang Tuah Din sebenarnya bukanlah berani. Hang Tuah Din dan Hang Jebat Li telah berjanji untuk bertarung di sebuah perhimpunan agong khas rakyat. Semua rakyat jelata bersorak menyokong pahlawan mereka masing-masing. Hang Tuah Din disokong oleh pemuda-puteri dan Hang Jebat Li disokong oleh rakyat berketurunan orang-orang gua.

Bermulalah pertarungan dan senyap seketika seluruh rakyat. Hang Tuah Din menjulang keris Taming Sarinya. Sebelum Hang Tuah Din sempat menghunus ke dada Hang Jebat Li, lantas Hang Jebat Li berkata:

"Apa kau mahu membunuh ku?"

Hang Tuah Din menjawab dengan pantas, "Ya, seperti titah tuanku Sultan . Aku adalah pendekar dan Sultanku pantang di cabar!"

Hang Jebat Li tersengeh-sengeh. " Hai Tuah Din, masihkah kau ingat pada Hang Mukhriz anak bendahara Tun Maha? Dia lebih awal menderhaka pada Sultan daripada ku."

Jawab Hang Tuah Din" Tentu aku ingat setiap muka penderhaka-penderhaka."

Selepas itu Hang Jebat Li pun menengking di muka Hang Tuah Din. Berketar-ketarlah lutut Hang Tuah Din.

"Dahulu kau berapi-rapi cakap kau akan bunuh Hang Mukhriz"

"Tapi, hahahahaha...Kau bacul!" Gelak ketawa Hang Jebat Li.

Merah padam muka Hang Tuah Din kerana malu dikatakan bacul dan memanglah benar kata-kata Hang Jebat Li. Hang Tuah Din tidakpun membunuh Hang Mukhriz sebaliknya hanya cakap-cakap api sahaja.

Seluruh rakyat bersorak kembali dan ramai juga yang ketawa. Riuh rendah dewan itu, perkataan 'bacul' di dengar sana sini. Akhirnya, Hang Tuah Din menangis dan lari pulang ke hutan kerana malu. Menurut riwayat, sejak dari itu, Hang Tuah Din tidak pernah keluar-keluar dari hutan dan berkawan dengan orang-orang dari hutan.

Jumaat, 21 Mac 2008

UMNO! Cepat-cepat Buat Kerja

Kepada semua pemimpin dan ahli parlimen mahupun ADUN dari parti BN-UMNO, cepat-cepatlah mulakan kerja membantu rakyat. Usahlah berkelahi mengenai jawatan dan bergaduh sesama sendiri. Ini akan memalukan lagi parti anda yang telah kalah teruk dengan aib itu. Biarlah sesiapa pun yang hendak meletak jawatan sebagai tanda tanggungjawab. Seperti mana Sheikh Radzi dan Khir Toyo memilih untuk meletak jawatan mereka sebagai tanda mereka sedar dan peduli atas kelemahan mereka. Tindakan itu harus dipuji dan boleh dilabel sebagai 'gentleman'.

Sungguhpun wanita UMNO telah disisihkan oleh Dolah, umpama habis madu sepah dibuang jadikanlah itu sebagai pengajaran. Pengajaran bahawa di dalam politik BN siapa pun anda hatta Perdana Menteri atau Presiden jika anda sudah tidak dikehendaki , anda akan dicantas. Inilah nasib Rafidah dan yang lain. Sama seperti Ku Li yang kini secara umum mencabar Dolah untuk menggantikannya sebagai Presiden UMNO setelah melihat kecacatan dalam kepimpinan. Ku Li seorang politikus yang banyak pengalaman dan merupakan satu barisan veteran dengan Tun Mahathir. Ku Li layak cantas Dolah. Beliau menyatakan , jika Presiden UMNO masih berdegil tidak mahu turun dari jawatan itu dan beliau tidak boleh mencabar Presiden, tukarkan sahaja nama jawatan itu kepada jawatan presiden seumur hidup.

Sebahagian penyokong dan ahli UMNO juga terus menunjukkan ke'kanak-kanak'an mereka selepas kekalahan menerusi demonstrasi yang kononya ingin membela Sultan Melayu dan Orang Melayu. Bagi Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS, katanya UMNO pergilah buat demonstrasi kerap dan acapkali supaya rakyat boleh benci kepada mereka. Maklumlah perhimpunan haram mereka mendapat layanan yang baik dari polis. Kita sudah tiada masanya sebenarnya untuk berkumpul di Komtar ataupun Shah Alam dan berdemonstarsi atas masalah yang provokasi, sekarang kita mempunyai banyak kerja untuk membantu dan menaikkan taraf hidup rakyat. Inilah janji kita sebelum pilihanraya dan kita akan tunaikan.

Lihatlah Menteri Besar Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor yang baru dilantik. Tanpa membuang masa mereka terus memberi keutamaan komitmennya kepada rakyat. Cukai, saman-saman, dan sebagainya yang dikenakan oleh kerajaan BN telah mereka mansuhkan. Kerajaan Barisan Rakyat akan memberi air percuma kepada penduduk negeri tersebut. Walaupun bukanlah percuma 100%, tetapi mereka sekurang-kurangnya mengurangkan bebanan rakyat selama ini. Istimewa buat peminat bola sepak negeri Kedah terutamnya, kerajaan Negeri Kedah telah berbesar hati memberi tiket percuma kepada penyokong Kedah bagi menyaksikan perlawanan pasukan mereka melawan pasukan terbaik dalam liga sebagai penghargaan kepada rakyat. Inilah yang dikatakan kerajaan dari rakyat untuk rakyat dan bukannya kerajaan dari rakyat untuk keluarga.

5 negeri ini bakal menyaksikan banyak lagi kemampuan mereka dan akan menjadi negeri model. Hasrat mereka untuk menerbitkan akhbar dari Barisan Rakyat dilihat sebagai tepat pada masanya. Berbanding dengan 8 negeri lain, tiada perubahan dan masih statik. Lebih malang lagi di Terengganu, tiada Menteri Besar angkara BN. Keadaan ini cukup berbahaya sekali kerana dapat melumpuhkan ekonomi negeri tersebut dan menyebabkan pelabur cabut lari.

Hentikanlah permainan tarik-tali di dalam UMNO. Sesiapa yang hendak letak jawatan atau teruskan jawatan itu 'mereka punya pasal lah'. Sekarang adalah masa untuk menunaikan janji kepada rakyat. Dan yang janjinya juga, UMNO sudah tidak seperti dulu lagi. Mari kita bekerja.

Khamis, 20 Mac 2008

Madinah Akan Terus Bercahaya

Salam Maulidur Rasul buat semua Muslimin di mana anda berada. Sunnah yang terbesar ialah sunnah perjuangan baginda yang akan berterusan sehingga akhir zaman. Semoga rasa cinta kita kepada Baginda kembali mekar dan segar pada hari yang bersejarah ini. Rasulullah ialah insan sempurna fizikal dan rohnya. Mudah-mudahan syafaatmu kami terima.

Jabir bin Samrah, ia berkata; "Aku pernah melihat Nabi pada suatu malam terang benderang (bulan bersinar dan tidak ada awan) di mana ketika itu di badan baginda terdapat pakaian berwarna merah. Aku memerhati baginda dan memerhati bulan secara bergantian, maka aku mendapati sesungguhnya baginda pada pandanganku lebih indah dari bulan". (Riwayat Imam at-Tirmizi dan ad-Darimi)

Gambar di dalam Kaabah:

Rabu, 19 Mac 2008

Kurang Ajar Betul

Tidak tahu mengapa tiba-tiba Peguam Negara, Ghani Patail berani mencampuri urusan dalaman Negeri Terengganu Darul Iman dan tidak negeri-negeri lain seperti Perlis, Perak ataupun Kelantan. Memetik katanya dalam akhbar Utusan 19 Mac 2008, urusan perlantikan Menteri Besar Terengganu tidak boleh dicampur tangan oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin. Tambahnya lagi, apabila Sultan Mizan di angkat menjadi Agong, maka baginda tidak mempunyai kuasa sebagai Raja Negeri seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara. Ujarnya, berdasarkan kepada Perkara 34 (1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka tidak boleh menjalankan fungsi sebagai Raja Negeri Terengganu melainkan sebagai Ketua Agama Islam. Maka perlantikan Menteri Besar adalah dalam bidang kuasa Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Di Raja.

Siapakah Pemangku Raja Terengganu itu?

Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda adalah putera Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, iaitu Yang Di Pertuan Agong ke-13. Gambar yang tertera di atas ialah gambar Pemangku Raja Terengganu yang sedang mengadap Tuanku Sultan Mizan sebagai dimasyhurkan Pemangku Raja Terengganu.

Pemangku Raja Terengganu masih usia muda dan belum mukallaf. Maka menurut syarat (2) Fasal 16 AA Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua) yang memperuntukkan bahawa sekiranya Pemangku Raja ialah Waris Ganti yang belum Mukallaf, Duli Yang Maha Mulia Sutan hendaklah melantik suatu Majlis Penasihat Pemangku Raja untuk menjalankan kewajipan Pemangku Raja. Ahli Majlis Penasihat itu ialah adinda Sultan Mizan, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, bapa saudara Sultan Mizan, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ismail dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman. Malah sebagai Pemangku Raja Terengganu berhak menerima nasihat daripada ayahanda baginda iaitu Sultan Mizan dalam melantik Menteri Besar. Lebih mengukuhkan lagi kuasa Sultan, adalah wajar ahli Majlis Penasihat terdiri daripada kerabat Di Raja Terengganu. Sebagai kerabat, pendirian Sultan mestilah dihormati kerana baginda masih Sultan Terengganu yang sah menurut undang-undang.

Tindakan Ghani Patail mengeluarkan kenyataan di dalam media telah mencabar kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong kerana kenyataanya akan menyinggung perasaan Istana dan terdapat kepentingan-kepentingan. Beliau walaupun sebagai Peguam Negara yang merupakan seorang rakyat Sultan dalam perlembagaan haruslah menghormati kedaulatan Tuanku Sultan. Masalah dalaman Istana adalah sulit dan beliau tidak berhak membuat kenyataan kepada umum seperti itu demi menjaga perasaan Istana dan Tuanku Sultan. Tindakannya mengajar atau menegur atau mengingatkan Istana secara umum sebegitu menjatuhkan maruah dan menghina Sultan Mizan. Sedangkan Istana telah pun mempunyai hakim besar dan pentafsir undang-undang sebagai rujukan undang-undang dan tidak memerlukan peguam negara melainkan jika di atas jemputan baginda.

Keadaan yang genting di Terengganu kini kerana ketiadaan Menteri Besar adalah memberi mesej bahawa Istana Terengganu telah memainkan peranan yang aktif dan bertanggung jawab sepenuhnya dalam memerintah negeri di bawah daulat baginda. Seharusnya rakyat dan termasuklah orang-orang UMNO menyokong Sultan Terengganu. Idris Jusoh bekas Menteri Besar harus memohon ampun kepada Sultan sekiranya beliau tidak dilantik oleh Istana. Inilah balasan Idris dari Tuhan kepadanya di atas apa yang dilakukannya sebelum ini kepada rakyat dan negeri Terengganu. Baginda sebagai pelindung rakyat akan memastikan Menteri Besar yang baru benar-benar menjalankan amanah Sultan.

Raja-raja Melayu adalah berdaulat dan lambang ketuanan Melayu di bumi ini. Selagi mana tindakan Istana benar dalam peraturan Islam, selagi itulah sebagai rakyat mestilah menurut titah baginda. Sultan Mizan sebagai Ketua Agama Islam berhak mencampuri segala urusan termasuk politik tanpa sebaang syarat kerana Islam itu meliputi semua aspek kehidupan dari sosial, politik, keselamatan, dan pelbagai lagi. Rakyat akan bersama Tuanku. Daulat Tuanku.

(kurang ajar boleh dimaksudkan sebagai biadap atau kurang pelajaran. Maksud perkataan itu bergantung pada situasi)

Rafidah Udah-udah

Mengapa Rafidah tidak dilantik menjadi kabinet, Dolah tidak mahu memberi jawapannya. Terima sahajalah keputusan Abang Dolah dengan hati terbuka. Sudahlah yang sudah-sudah. Semoga dengan kurang jawatan ini Rafidah dapat mengisi masa lapangnnya dengan amalan-amalan ibadah sebagai persiapan di waktu senja.

"Udah-udah la Rafidah ya, jangan nangis-nangis ya." Maklumlah jiwa seorang wanita.

Sampai hati Abang Dolah.

Semalam:

Sedih dan merajuk hendak meletak semua jawatan
apabila tidak dilantik oleh Abang Dolah

Hari ini:

Tidak jadi letak jawatan(hehehe...), Abang Dolah sudah pujuk.
Dah tak sedih dah.

Selasa, 18 Mac 2008

Kabinet 'Dapur' Baru 2008

Mampukah dengan muka baru menteri kabinet ini dapat meyakinkan rakyat yang kini sudah beralih ke arah barisan rakyat? Sewaktu masa dahulu sebelum pilihanraya, Dolah ada memberitahu jika kerajaan BN tumbang dan diganti dengan kerajaan Barisan Rakyat, kerajaan yang baru akan mengalami satu proses yang lembap. Ini kerana katanya kerajaan baru yang baru hendak ditubuh perlu menyelaras persiapan awal dan penyesuaian sedangkan kerajaan BN telah siap siaga. Tetapi, selepas 11 hari pilihanraya umum berlalu, kata-kata Dolah seolah-olah sudah terbalik.

Mengapa terbalik? Kabinet baru yang baru dibentuk ini lebih banyak menampilkan muka-muka baru dan muka yang tidak popular. Mungkin rakyat tidak pernah mendengar sebahagian nama yang baru contohnya Datuk Liow Tiong Lai, Datuk Ismail Sabri Yaakob, dan lain-lain lagi. Maka muka baru ini samalah juga keadaannya perlu mengambil masa untuk penyesuaian , dan agak lembap pada peringkat awal untuk rancak mentadbir. Maka kata-kata Dolah dahulu terkena pada dirinya semula.

Terdapat juga dalam kabinet baru bekas menteri yang dahulu pernah menjadi menteri kemudian digugurkan, kembali menjadi menteri. Contohnya ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Noh Omar. Mereka ini ialah orang yang pernah menjadi menteri dan digugurkan kerana terdapat rekod tidak baik, tetapi dipilih menjadi menteri semula. Taib dengan rekod rasuahnya semasa menjadi MB Selangor dan Noh Omar dengan keculaparan mulutnya. Seumpama sampah yang sudah dibuang dan digunakan semula manakan ada manfaatnya.

Ketika Dolah mengisytiharkan nama kabinet, Timbalan Perdana Menteri, Najib tidak hadir di majlis itu. Jika sebelum ini, ketika Dolah mengumumkan pembubaran parlimen, Najib ada disebelahnya tetapi pada hari ini, ia tidak berlaku lagi. Ini menguatkan lagi desas-desus bahawa Dolah cuba memperkukuhkan kemnya daripada tekanan kem Najib. Kemungkinan Dolah gusar dengan kecemerlangan Najib sewaktu pilihanraya membolehkan Najib untuk mengambil alih kerusi Perdana Menteri pada bila-bila masa. Dalam masa yang sama, beberapa orang yang dipercayai dari kem Najib digugurkan dan diganti dengan orang Dolah seperti Zaid Ibrahim. Zaid ialah seorang peguam yang berfahaman liberal dan menentang keras perlaksanaan hukum Islam di Malaysia dan pernah ditolak oleh UMNO Kelantan. Apakah Zaid akan mengganti pos Abdullah Mohd Zain iaitu 'Menteri Islam Hadhari'. Alamatnya bertambah lingkuplah Islam Hadhari Dolah dan bertambah lesulah ke'Islam'an BN. Sedangkan dalam masa yang sama, Abdullah Mohd Zain telah menang dalam pilihanraya dan sepatutnya dipilih Dolah bagi jawatan menteri kabinet.

Lebih pelik lagi, Dr. Mashitah yang tidak bertanding dalam PRU dan telah ditolak oleh UMNO bahagian, dikekalkan dengan jawatan timbalan menteri. Kabinet baru ini juga secara tidak langsung juga telah membisukan suara Wanita UMNO. Selepas Shahrizat kalah dalam pilihanraya dan kini Rafidah digugurkan, maka lenyaplah suara Wanita UMNO kerana tiada wakil dari Wanita UMNO menjadi menteri lagi. Harapan mereka dalam perhimpunan agong UMNO lalu untuk diberi hak mereka dalam pentadbiran negara ditolak mentah-mentah oleh Dolah.

Akhir sekali, dengan segala kebejatan kabinet ini, mampukah mereka menahan tsunami rakyat. Dalam keadaan kerajaan BN yang parah dan tidak cukup 2/3 kerusi parlimen, Dolah tidak pula melantik tokoh yang hebat-hebat sebagai langkah mengeluarkan 'senjata rahsia' nya bagi menyelamatkan BN. Itupun jika Dolah ada 'senjata rahsia'. Tertanya pula, dimanakah KJ? Adakah menjadi Menteri 'Mastermind' di dalam politik Dolah? Dia kini berada di sebalik tabir.

PAS Tidak Yakin Dengan Kabinet Baru Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

Kenyataan Media Presiden PAS
Harahakahdaily

PAS melihat kabinet baru Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ini lebih merupakan kabinet untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau sebagai PM dan Presiden Umno dan bukannya untuk membina Malaysia yang baru. Nama-nama yang telah diumumkan itu kebanyakkannya merupakan mereka yang setia dengan Abdullah manakala mereka yang dikira rapat dengan Timbalan Presiden Umno Dato Seri Najib Tun Razak telah dicantas.

Perlantikan beberapa Senator untuk menganggotai kabinet khasnya dari kalangan pimpinan Umno membuktikan yang Abdullah menganggap bahawa ahli-ahli Parlimen Umno yang lain yang telah berjaya dalam pilihan raya umum lalu sebagai tidak layak untuk duduk di dalam kabinet.

PAS juga mendapati kabinet ini turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang moral dan kebersihannya sangat diragukan oleh rakyat dan ini sudah pasti tidak akan membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerjaaan BN.

Bagi PAS kabinet baru Perdana Menteri ini tidak memiliki kekuatan untuk mengubat ketidakpuasan hati rakyat yang telah diterjemahkan melalui keputusan PRU ke-12 lalu. Abdullah jelas tidak mengambil iktibar dari kemerosotan sokongan rakyat terhadap beliau itu dan diyakini melalui kabinet ini beliau akan terus mengulangi kesilapan dan kelemahannya yang lalu.

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)
18 Mac 2008

Senarai nama kabinet 2008 di sini dan gambar.

Isnin, 17 Mac 2008

Keris Untuk Mukhriz Dari Hishammudin








VS




Jelas Dolah menconteng arang lagi ke 'muka' UMNO apabila angkuh dengan saranan dari ahli parlimen UMNO, Mukhriz Mahathir. Saranan Mukhriz ialah meminta Dolah meletak jawatan sebagai ketanggungng jawaban orang yang paling pertama dalam UMNO. Seperti mana yang dilakukan oleh semua pemimpin di dunia mahupun dalam skop yang lebih kecil seperti FAM, mereka meletakkan jawatan, mengapa apabila Mukhriz meminta Dolah meletak jawatan, dia dianggap sesuatu yang bertentangan dan perlu dikenakan tindakan. Maka ini adalah kesalahan atau kesilapan terawal selepas pilihanraya oleh Dolah apabila menutup kebebasan suara atau ruang demokrasi dalam parti mereka sendiri. Jika di dalam parti ruang demokrasi telah disekat dan dicabuli, maka di luar parti demokrasi lebih lagi boleh dicabuli. Menyekat demokrasi adalah satu sikap seorang diktator, jika gelaran diktator ini melekat pada Dolah, maka bertambah parahlah nasib survival Dolah selepas ini.

Dolah menyuruh Hishammudin, Ketua Pemuda UMNO untuk mengambil tindakan kepada Mukhriz berhubung surat itu. Apa lagi jika Hishammudin sudah diberi lampu hijau, pasti kerisnya yang disimpan diangkat keluar kerana dia seorang sahaja yang mempunyai keris dikalangan ahli UMNO. Keris itu akan dihunus kepada pen'derhaka' UMNO terutamanya.

Dengan tegas Hishammudin berkata "Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab selagi saya menjadi Ke tua Pemuda dan amanah yang diletakkan di atas bahu saya akan dipikul dengan penuh azam. Tindakan (Mukhriz) itu saya anggap tidak bertanggungjawab dan Pemuda akan mengambil tindakan mengikut saluran sedia ada. Kita tunggu mesyuarat Exco yang akan diadakan selepas Kabinet diumumkan."

Kedua-duanya adalah anak mantan Perdana Menteri Malaysia. Jangan dipandang lekeh darah yang mengalir di dalam badan anak mantan Perdana Menteri kerana mereka datang dari darah pejuang negara yang termaktub dalam sejarah negara. Bukan sebarang keris boleh diangkat untuk berlawan dengan anak mahaguru yang telah dipusakakan ilmunya. Mukhriz anak Mahathir dan Hishammudin anak Hussein Onn. Apabila anak-anak bertengkar, kita mesti menyuraikannya.

Hishammudin adalah seorang yang bendul. Bendul dalam membenarkan semua kenyataan Dolah. Ini bertujuan bagi menyelamatkan karier politiknya. Dengan secara terburu-buru, UMNO tidak sepatutnya mengambil tindakan kepada Mukhriz. Seharusnya UMNO perlu untuk bermesyuarat (tanpa kehadiran Dolah) berbincang dan menyiasat surat Mukhriz dan pandangannya itu. Itulah yang dikatakan diplomatik dan demokrasi. Jika perkara ini dilakukan, UMNO akan dilihat lebih matang dan terbuka sebagai rumpun melayu.

Sungguhpun demikian, di dalam UMNO, budaya cantas-mencantas adalah sudah biasa. Jika ada peluang untuk mencantas, pasti sahaja ada yang mengambil peluang itu. Pemimpin yang adil atau Ketua Pemuda UMNO yang adil, mestilah memberi perhatian daripada pandangan ahlinya demi kebaikan UMNO sendiri bukannya terus mencantas ahlinya itu. Pandangan Mukhriz itu harus dilihat sebagai pandangan yang professional dan tidak dipengaruhi oleh faktor peribadi (sebagai Mukhriz sebagai anak Mahathir). Mukhriz tahu bahawa pandangan itu adalah tidak popular di dalam UMNO dan pahit, tetapi mungkin ada benarnya. Katakanlah benar walaupun pahit.

Inilah UMNO. Penuh dengan konflik dalaman parti. Dari Dolah dan menantu (KJ), sehinggalah kepada semua ahli-ahli UMNO yang berada dalam hulu kampung dan ceruk rantau, berdepan dengan konflik dalaman. Jika UMNO terus begini, tiada perpaduan dan kata sepakat, UMNO akan berkubur. Sudahlah UMNO-BN parah diasak pembangkang ketika ini, 5 negeri sudah melayang, ditambah lagi dengan masalah dalaman, ia menjadi barah. Barah tiada penawar, hanya masa yang menunggu untuknya pergi buat selama-lamanya.

Ahad, 16 Mac 2008

Selangor Bersama Tok Guru

BELUM SAHIH LAGI:
Tok Guru akan menyampaikan Ceramah Perdana di Stadium Shah Alam pada malam 27 Mac 2008 jam 9.30 malam. Esoknya, Jumaat, Tok Guru akan berkhutbah di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam.

Orang ramai dan para penyokong Barisan Rakyat dijemput hadir dan sebarkan seluruh Lembah Klang!

Sumber:http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=7613

Perjuangan Mu Sudah Selesai

Pada hari ini kita lihat bagaimana Dolah menerima tekanan yang berat meminta agar dirinya berundur. Sedangkan Tsu Kon dan Samy boleh berundur tetapi Dolah Arrogant tidak mahu berundur. Beliau mengatakan masih ada perjuangan tetapi sebenarnya perjuangan untuknya sudah selesai. Rakyat tidak mahu lagi bekerja bersama anda, Dolah. Banyak bukti yang boleh dilihat.

Keadaan negara bertambah kucar kacir. Dolah Arrogant ditentang hebat dari dalam dan luar. Ahli Parlimen Jerlun UMNO dengan penuh tanggungjawab meminta Dolah Arrogant undur. Ini hanya baru satu sahaja yang berani disuarakan oleh pemimpin UMNO, suara-suara lain masih senyap tetapi di dalam hati mereka menolak kepimpinan Dolah Arrogant . Tentangan ini wujud pada kebanyakan orang penting dalam UMNO sendiri seperti bekas menteri-menteri yang kalah dalam pilihanraya, menteri yang tidak terpilih menjadi Menteri Besar, dan parti komponen BN seperti Gerakan(kalah teruk). Mereka sebenar ingin bersuara, meminta untuk undur, tetapi tidak berani.

Malah, di peringkat Istana pun Dolah Arrogant tidak sebulu. Istana Perlis menolak Shahidan iaitu pilihan Dolah Arrogant dan di Istana Terengganu pun menolak Idris sebagai MB yang mana Idris ialah 'orang' Dolah Arrogant . Kini, dari rakyat sehingga Istana, menolak Dolah Arrogant menjadi PM dengan tegas. Cuma segelintir sahaja mereka yang menyokong Dolah Arrogant.

YouTube dibawah adalah tribute untuk Dolah agar undur:




Bacalah surat dari Mukhriz Mahathir kepada Dolah ini. Tidak lain dan tidak bukan tujuan Mukhriz adalah untuk kebaikan UMNO dan BN. Dalam soal ini, parti lebih diutamakan daripada individu seperti mana yang pernah dilaungkan oleh UMNO.


"Pok Leh lo ni tidok supo mulo!" - Inilah suara rakyat Malaysia

Perlis, Kecil-kecil Cili Api

Perlis bukanlah sebuah negeri yang besar seperti Pahang, Selangor, dan Perak. Namun kecil-kecil Perlis adalah kecil-kecil cili api, pedas dan berbahang. Memandang negeri ini kecil, secara logiknya tidaklah begitu sukar untuk mentadbir.Tetapi teori ini tidak tepat bagi menerangakan negeri Perlis Darul Sunnah yang mencabar.

Pada awal-awal lagi sebelum perlantikan calon, ketua-ketua atau pembesar negeri Perlis yang antaranya Shahidan Kasim dan kawannya bagaikan kucing dan anjing. Bercakaran untuk menjadi calon. Alhamdulillah, biarpun mereka bercakaran, tetapi BN Perlis menang juga. Sebahagian penduduk di luar negeri Perlis tidak faham mengapakah majoriti pengundi Perlis masih mahu pemimpin itu dikekalkan dan memberi mandat kepada mereka.

Secara ringkasnya Shahidan Kasim seorang yang mempunyai pengaruh di negeri itu. Shahidan seorang yang aktif dan bersungguh mengambil peluang jawatan jika diberikan kepadanya peluang itu. Samalah juga seperti isu jawatan Timbalan Presiden FAM, beliau menawarkan dirinya. Kini ketika Perlis masih lagi tidak mempunyai Menteri Besar (MB), Shahidan agak galak untuk mendapat jawatan itu. Walaubagaimanapun, sikap Shahidan tidak disenangi oleh kawan dan lawan. Shahidan seperti 'anak manja' Perdana Menteri,seperti sentiasa suka mengendeng di bahu Dolah . Beliau kononya sangat setia kepada Dolah. Sekiranya ada sebarang masalah, beliau sentiasa merujuk Dolah sebagai rujukan utama seperti isu jawatan. Samada jawatan dalam FAM ataupun parti, Shahidan suka menghebahkan kepada umum, dia memerlukan restu dan sentiasa mencari restu Dolah. Dia 'anak' Dolah.

Untuk memiliki kuasa, orang yang berkuasa seperti PM adalah orang yang paling berhak memberi kuasa. Maka tidak hairanlah jika Shahidan sangat akrab kepada Dolah berbanding Menteri Besar lain yang tidak 'manja'. Jika baik dengan Dolah, mungkin Dolah boleh bagi apa yang Shahidan kehendaki tetapi ini hanyalah kemungkinan sahaja. Berhubung isu Menteri Besar Perlis, katanya Dolah telah memberi watikah kepada Shahidan tetapi Raja Perlis tidak memilih beliau sebagai MB dan memilih orang lain iaitu Dr. Md Isa. Shahidan terpaku.

Dolah tidak tahukah Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis atau Shahidan yang tidak tahu undang-undang ini siapakah yang berhak memilih MB. Maka Perlis bercelaru dan Dolah dilihat tidak satu cita rasa dengan Raja Perlis kerana berbeza pilihan bakal MB. Akhirnya, Shahidan hilang jawatan MB. Selamat tinggal kepada kerusi eksekutif Perlis dan Shahidan lambai tangan. Selepas ini apakah prospek jawatan kerja yang perlu Shahidan ceburi kita akan lihat. Satu(jawatan) tidak cukup, tambah lagi bagi cukup,dan memang tidak cukup-cukup. Dolah adalah Perdana Menteri.

Mufti Perlis perlu menasihat 'bekas' MB Perlis ini dengan berhikmah agar hatinya redha dan tenang. Sesi kaunseling harus dilakukan mudah-mudahan Perlis bersatu. Semoga Perlis dan rakyatnya terus aman dan kembali kepada ISLAM dan bersama memajukan negara. Hidup MB Perlis, Hidup Mufti Perlis!

"Selamat Tinggal MB. Saya Tak Dapat"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan