Follow je lah..


Sabtu, 22 Mac 2008

Hikarat Hang Tuah Din


Sudah jadi cerita seperti Hang Tuah dan Hang Jebat pula kali ini dalam UMNO. Ikutilah kisah Hang Tuah Din dan Hang Jebat Li ini. Ceritanya begini, di sebuah kota yang bernama Kota Amenusia terdapat sebuah Kerajaan Barisanlingkup yang diketuai seorang Sultan bernama Sultan Mah Dolah. Menyedari bahawa Sultan Mah Dolah telah banyak melakukan kelemahan terutama membiarkan negeri di bawah jajahannya diserang oleh Kerajaan Rakayakita, maka Hang Jebat Li tidak boleh tahan lagi. Dalam masa yang sama, Tuan Bendahara Kerajaan Barisanlingkup turut merasa kesan kelemahan pemerintahan Sultan Mah Dolah. Tuan Bendahara, Tun Sri Maha telah menghasut Hang Jebat Li untuk menderhaka kepada Sultan Mah Dolah itu. Ini bertujuan bagi menyelamatkan Kerajaan Barisanlingkup dari terus lemah dan diserang dari pihak musuh kelak.

Berita penderhakaan dikalangan pembesar telah di dengari oleh Hang Tuah Din. Hang Tuah Din berpendapat Hang Jebat Li seperti menangguk di air yang keruh. Malah, seluruh rakyat jelata Kerajaan Barisanlingkup kini setia bersama dengan Sultan Mah Dolah konon-kononnya. Buktinya Permaisuri Rafada dan Dato' Bentara Radzi sudah tiada lagi. Mereka adalah pengancam Sultan. Hang Tuah Din telah menyampaikan khabaran ini kepada Sultan Mah Dolah. Apabila ditanya adakah Sultan tertekan, jawab baginda "Tiada, tiada sesiapa tekan beta, beta akan teruskan perjuangan."

Perjuangan Sultan kini menuju kehancuran sebuah kerajaan, melainkan Sultan diganti oleh seorang yang lebih layak . Sultan sebenarnya kesepian, tiada permaisuri dan tiada menantu kesayangannya. Menantu baginda Datuk Kari telah lari menuju ke sebuah pulau di percayai ke Pulau Temasik setelah negeri-negeri hebat diserang. Akhirnya, Sultan Mah Dolah dengan buntunya menitahkan agar Hang Tuah Din membunuh sahaja Hang Jebat Li menggunakan keris Taming Sari. Banggalah Hang Tuah Din itu.

Hang Tuah Din umpama pucuk dicita, ulam mendatang manakala Sultan Mah Dolah umpama orang yang mengantuk disorong bantal. Hang Tuah Din memberikan bantal kepada baginda Sultan agar Sultan tidak perlu gundah gelana dan boleh beradu nyenyak disamping puteri-puterinya. Maka beradulah Sultan Mah Dolah di Istana Mahligai Jaya tatkala Hang Tuah Din memulakan langkah.

Hang Tuah Din sebenarnya bukanlah berani. Hang Tuah Din dan Hang Jebat Li telah berjanji untuk bertarung di sebuah perhimpunan agong khas rakyat. Semua rakyat jelata bersorak menyokong pahlawan mereka masing-masing. Hang Tuah Din disokong oleh pemuda-puteri dan Hang Jebat Li disokong oleh rakyat berketurunan orang-orang gua.

Bermulalah pertarungan dan senyap seketika seluruh rakyat. Hang Tuah Din menjulang keris Taming Sarinya. Sebelum Hang Tuah Din sempat menghunus ke dada Hang Jebat Li, lantas Hang Jebat Li berkata:

"Apa kau mahu membunuh ku?"

Hang Tuah Din menjawab dengan pantas, "Ya, seperti titah tuanku Sultan . Aku adalah pendekar dan Sultanku pantang di cabar!"

Hang Jebat Li tersengeh-sengeh. " Hai Tuah Din, masihkah kau ingat pada Hang Mukhriz anak bendahara Tun Maha? Dia lebih awal menderhaka pada Sultan daripada ku."

Jawab Hang Tuah Din" Tentu aku ingat setiap muka penderhaka-penderhaka."

Selepas itu Hang Jebat Li pun menengking di muka Hang Tuah Din. Berketar-ketarlah lutut Hang Tuah Din.

"Dahulu kau berapi-rapi cakap kau akan bunuh Hang Mukhriz"

"Tapi, hahahahaha...Kau bacul!" Gelak ketawa Hang Jebat Li.

Merah padam muka Hang Tuah Din kerana malu dikatakan bacul dan memanglah benar kata-kata Hang Jebat Li. Hang Tuah Din tidakpun membunuh Hang Mukhriz sebaliknya hanya cakap-cakap api sahaja.

Seluruh rakyat bersorak kembali dan ramai juga yang ketawa. Riuh rendah dewan itu, perkataan 'bacul' di dengar sana sini. Akhirnya, Hang Tuah Din menangis dan lari pulang ke hutan kerana malu. Menurut riwayat, sejak dari itu, Hang Tuah Din tidak pernah keluar-keluar dari hutan dan berkawan dengan orang-orang dari hutan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan