Follow je lah..


Rabu, 19 Mac 2008

Kurang Ajar Betul

Tidak tahu mengapa tiba-tiba Peguam Negara, Ghani Patail berani mencampuri urusan dalaman Negeri Terengganu Darul Iman dan tidak negeri-negeri lain seperti Perlis, Perak ataupun Kelantan. Memetik katanya dalam akhbar Utusan 19 Mac 2008, urusan perlantikan Menteri Besar Terengganu tidak boleh dicampur tangan oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin. Tambahnya lagi, apabila Sultan Mizan di angkat menjadi Agong, maka baginda tidak mempunyai kuasa sebagai Raja Negeri seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara. Ujarnya, berdasarkan kepada Perkara 34 (1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka tidak boleh menjalankan fungsi sebagai Raja Negeri Terengganu melainkan sebagai Ketua Agama Islam. Maka perlantikan Menteri Besar adalah dalam bidang kuasa Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Di Raja.

Siapakah Pemangku Raja Terengganu itu?

Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda adalah putera Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, iaitu Yang Di Pertuan Agong ke-13. Gambar yang tertera di atas ialah gambar Pemangku Raja Terengganu yang sedang mengadap Tuanku Sultan Mizan sebagai dimasyhurkan Pemangku Raja Terengganu.

Pemangku Raja Terengganu masih usia muda dan belum mukallaf. Maka menurut syarat (2) Fasal 16 AA Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua) yang memperuntukkan bahawa sekiranya Pemangku Raja ialah Waris Ganti yang belum Mukallaf, Duli Yang Maha Mulia Sutan hendaklah melantik suatu Majlis Penasihat Pemangku Raja untuk menjalankan kewajipan Pemangku Raja. Ahli Majlis Penasihat itu ialah adinda Sultan Mizan, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, bapa saudara Sultan Mizan, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ismail dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman. Malah sebagai Pemangku Raja Terengganu berhak menerima nasihat daripada ayahanda baginda iaitu Sultan Mizan dalam melantik Menteri Besar. Lebih mengukuhkan lagi kuasa Sultan, adalah wajar ahli Majlis Penasihat terdiri daripada kerabat Di Raja Terengganu. Sebagai kerabat, pendirian Sultan mestilah dihormati kerana baginda masih Sultan Terengganu yang sah menurut undang-undang.

Tindakan Ghani Patail mengeluarkan kenyataan di dalam media telah mencabar kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong kerana kenyataanya akan menyinggung perasaan Istana dan terdapat kepentingan-kepentingan. Beliau walaupun sebagai Peguam Negara yang merupakan seorang rakyat Sultan dalam perlembagaan haruslah menghormati kedaulatan Tuanku Sultan. Masalah dalaman Istana adalah sulit dan beliau tidak berhak membuat kenyataan kepada umum seperti itu demi menjaga perasaan Istana dan Tuanku Sultan. Tindakannya mengajar atau menegur atau mengingatkan Istana secara umum sebegitu menjatuhkan maruah dan menghina Sultan Mizan. Sedangkan Istana telah pun mempunyai hakim besar dan pentafsir undang-undang sebagai rujukan undang-undang dan tidak memerlukan peguam negara melainkan jika di atas jemputan baginda.

Keadaan yang genting di Terengganu kini kerana ketiadaan Menteri Besar adalah memberi mesej bahawa Istana Terengganu telah memainkan peranan yang aktif dan bertanggung jawab sepenuhnya dalam memerintah negeri di bawah daulat baginda. Seharusnya rakyat dan termasuklah orang-orang UMNO menyokong Sultan Terengganu. Idris Jusoh bekas Menteri Besar harus memohon ampun kepada Sultan sekiranya beliau tidak dilantik oleh Istana. Inilah balasan Idris dari Tuhan kepadanya di atas apa yang dilakukannya sebelum ini kepada rakyat dan negeri Terengganu. Baginda sebagai pelindung rakyat akan memastikan Menteri Besar yang baru benar-benar menjalankan amanah Sultan.

Raja-raja Melayu adalah berdaulat dan lambang ketuanan Melayu di bumi ini. Selagi mana tindakan Istana benar dalam peraturan Islam, selagi itulah sebagai rakyat mestilah menurut titah baginda. Sultan Mizan sebagai Ketua Agama Islam berhak mencampuri segala urusan termasuk politik tanpa sebaang syarat kerana Islam itu meliputi semua aspek kehidupan dari sosial, politik, keselamatan, dan pelbagai lagi. Rakyat akan bersama Tuanku. Daulat Tuanku.

(kurang ajar boleh dimaksudkan sebagai biadap atau kurang pelajaran. Maksud perkataan itu bergantung pada situasi)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan