Follow je lah..


Sabtu, 26 April 2008

Ada Lagi Besar Dari Keris

Begitulah UMNO, kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak. Dalam keterlanjuran Hishammudin (Hisham) mengangkat keris, baru kini disedari sejak beberapa tahun yang lalu. Ulasan mohon maafnya ialah "Saya minta maaf pada orang bukan Melayu kerana telah menakut-nakutkan mereka dan kepada orang Melayu kerana gagal mempertahankan simbol warisan orang Melayu." Ini hanya remeh berbanding dengan segala dosa atau kesalahan UMNO terhadap agama, raja, dan negara.

Isu penderhakaan UMNO terhadap Yang Di Pertuan Agong tempoh hari adalah kesalahan yang lebih besar daripada kesalahan menjulang sebilah Keris Panca Warisan. Mereka dengan terangan mengingkari kekuasaan Raja dan Sultan dalam isu perlantikan Menteri Besar. Malah mereka menghina Istana dan tergamak menyamakan Agong kepada binatang. Sehingga hari ini, tiada maaf yang diungkapkan pun.

Sama juga dalam isu krisis kehakiman, BN yang bongkak menafikan memohon maaf pada kezaliman mereka kepada keadilan negara. Sanggahan pembangkang selama ini berhubung berlaku rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam mahkamah telah terjawab oleh Dolah sendiri. Akhirnya mereka menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman kononya membaiki kelemahan. Perbicaraan kes bunuh Altantuya angkara ahli UMNO pula telah membusukkan hubungan Malaysia-Mongolia. Sharibuu melahirkan kehampaan kepada negara. Kenapa sukar memohon maaf?

Jika Hisham memohon maaf menjulang keris kerana kaum dan warisan bukan kerana hukum haram dalam Islam, dosanya belum lagi diampunkan. Sedarilah bahawa menjadi kesalahan bagi umat Islam mengangkat dengan niat menakutkan kepada orang lain. Oleh kerana agenda mereka adalah agenda warisan melayu, mereka tidak dapat melihat kesalahan itu dari persepsi Islam iaitu agama anutan mereka sendiri.

Jika mereka memikirkan kesalahan dari perspektif Islam, meletakkan kalung bunga di Tugu Negara sebagai penghormatan jua satu kesalahan dan dosa sepertimana dilakukan oleh Dolah. Dengan terang-terangan Dolah berbuat demikian dan melanggar fatwa yang dikeluarkan. Sila rujuk dibawah:

ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991 (Enakmen 3/91) FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36 Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu: “Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan.”

Aduhai, betapa jahilnya kejahilan yang bersarang di dalam UMNO. Kejahilan yang diertikan kepada kegagalan dalam mengetahui dan mentaati hukum-hukum agama yang mana tarafnya lebih tinggi daripada hukum adat dan warisan. Sebilah keris tiada maknanya jika dijulang sebagai kononya mereka penjulang ketuanan Melayu andai hukum agama dibuang ke dalam jamban.

Jumaat, 25 April 2008

J.Jarjis Perlu Ke ISS

Bekas Menteri ini Jamaludin Jarjis (JJ) mendapat imej yang buruk berikutan krisis akhlak yang menghempap dirinya. Sungguhpun ia tidak digembar-gembur oleh media televisyen, tetapi pelayar internet telah mengetahui gerangan sebenar lelaki berjambang ala-ala kasanova.

Mengapakah beliau perlu dihantar ke ISS? Kerana di ISS sana adalah sebuah tempat yang jauh dengan masyarakat. Jika di sini (bumi) terdapat banyak dugaan dan cabaran kepada nafsu, mungkin di sana JJ dapat mengekang nafsunya.

Betapa bahayanya seorang Islam yang mabuk. Beliau yang pernah menegur Haji Hadi tentang pakaian serban Haji Hadi tidak semestinya Haji Hadi lebih Islam daripada beliau. Tetapi sekarang, jambang beliau tidak bererti beliau lebih Islam dari orang lain. Lihat Youtube di bawah.

Apabila mabuk maka hilanglah kewarasan. Perkara yang halal dinampak haram lantas tersesat. Meraba-raba dalam kesesatan adalah sangat bahaya dan lebih bahaya dari meraba punggung wanita. Nampaknya kecanggihan Sains dan Teknologi jika tidak diterapkan Islam dalamnya akan hanyut jua tanpa arah. Seharusnya beliau yang melihat segala kehebatan dan kebesaran ciptaan ALLAH sepanjang bergelar menteri dahulu menjadi hidayah kepada beliau untuk hampir kepada Tuhan.

Sehingga hari ini, tiada penafian JJ terhadap laporan beliau sesudah bergelar peraba punggung. Kemanakah beliau menghilang diri selepas dikatakan mabuk di KL Sentral? Eloklah hantar JJ ke ISS mudahan-mudahan hidupnya lebih aman dan menginsafkan.
"Come on Yang Berhormat!"-JJ


فذکر ان الذکر تنفع المومنین ٣

Berapa banyak kematian telah berlaku sana-sini di sekeliling kita. Kematian itu adalah janji Tuhan yang benar dan tiada keraguaan padanya. Tiada manusia yang kekal hidup lama melainkan semuanya akan berakhir dengan sebuah kematian. Sedarlah bahawa kita sekarang sudah kesuntukan masa untuk mengumpul segala amalan sebagai bekalan bertemu ALLAH yang Maha Esa. ALLAH yang menghidupkan dan ALLAH jualah yang mematikan sesiapa sahaja. Bacalah firman ALLAH ini mudah-mudahan tersingkap seribu keegoan yang ada pada diri kita:

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
Ali 'Imran:27

Kita telah disibukkan dengan urusan kehidupan sehingga kerap terlupa bahawa kehidupan akan berakhir dan bahawa kehidupan kedua selepas kematian. Sedangkan kita ketahui, kehidupan selepas kematian adalah kehidupan yang kekal abadi berbanding di sini.

Persediaan kepada sebuah negara abadi adalah bermula dari sekarang. Apabila kita mendengar berita kematian dari kalangan orang yang terdekat daripada kita, kita akan mudah berasa sayu dan terus bersimpati. Kita rupa-rupanya juga adalah senasib dengan mereka yang telah pergi itu.

Lihatlah bagaimana orang menunggu di sepanjang barisan di sebuah kaunter contohnya. Barisan yang panjang sedikit demi sedikit menjadi pendek apabila seorang demi seorang yang menunggu giliran dipanggil namanya. Begitulah jua giliran kematian kita yang semakin pendek selepas seorang demi seorang menemui mati.

Kita memohon Tuhan agar dimatikan dalam keadaan khusnul-khatimah (sebaik-baik kesudahan) kerana panggilan kematian itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin ada yang dipanggil dengan kasar dan mungkin juga ada yang dipanggil dengan penuh penghormatan. Tiada manusia yang suka namanya dipanggil dengan kasar maka begitulah tiada manusia yang mahu nyawanya disentap kasar.

Khamis, 24 April 2008

BN Perlu Bimbang


Mereka di kalangan pemimpin BN terutamanya hari ini terlalu bimbang. Kebimbingan itu mereka terpaksa disembunyi agar pembangkang dan rakyat tidak memandang rendah kepada mereka. Mengapa tidaknya, apabila kata dua yang dikeluarkan oleh Anwar berkaitan peralihan kuasa kerajaan BN, hati mereka gundah-gulana.

Berikut adalah kata-kata Anwar "Apabila ahli Parlimen Sabah menarik diri dari Barisan Nasional (BN) pada malam ini, esok juga BN akan tumbang dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan jadi Ketua Pembangkang!"

Memang sekarang BN terumbang-ambing seperti nyawa dihujung tanduk. Peluang ini harus diambil oleh pembangkang. Malah, kata dua Anwar seperti itu tidak boleh dipandang remeh dan ringan oleh BN. Biarpun Najib memberitahu bahawa kenyataan itu adalah permainan politik, tetapi permainan ini bukanlah boleh dimain sembarangan.

Kesetiaan ahli Parlimen BN Sabah diragui. Biarpun beberapa kali Dolah sanggup ulang alik ke Sabah demi melayan kehendak BN Sabah, Dolah sudah pun dipermain-mainkan. Kemungkinan pelbagai permintaan BN Sabah kepada kerajaan pusat adalah perangkap yang disediakan khusus untuk BN tumbang. Maka Dolah telah masuk perangkap mereka. Lebih bahaya lagi jika permintaan-permintaan BN Sabah seperti meramaikan mereka dalam kabinet adalah perangkap Anwar Ibrahim.

Belum sempat mereka (UMNO-BN) menunggu bulan Disember untuk membuat koreksi parti, bulan September sudah boleh kehilangan kuasa. Jatuhnya kecemerlangan BN adalah pada zaman pimpinan Dolah Badawi. Beliau selepas kejatuhan itu wajar menjadi ketua pembangkang. Itupun jika ahli UMNO-BN masih memerlukan Dolah sebagai nakhodanya.

Perubahan politik Kah Choon wajar dilihat sebagai petanda awal kepada era berpaling tadah. Kah Choon yang menjadi orang pertama berpaling tadah akan diteladani oleh ahli BN yang lain. Teladan yang baik mesti dicontohi lagi-lagi BN tidak mengenakan pun sebarang tindakan disiplin tegas kepada beliau.

Ahli Parlimen Sabah menanti masa untuk mereka keluar dari parti BN. Demi kepentingan rakyat Sabah dan rakyat Malaysia amnya mereka perlu berubah. Semoga mereka bersama arus gelombang semenanjung membawa keadilan dan kebajikan. "Sudah tiba masanya rakyat Sabah menerima perubahan dengan menyokong Pakatan Rakyat," Anwar Ibrahim.

Rabu, 23 April 2008

Kah Choon Memang Cun

Tahniah Kah Choon! Anda telah membuktikan bahawa perjuangan memperjuangkan rakyat adalah lebih besar daripada perjuangan kepada sebuah karier politik yang belum tahu nasib untungnya. Beliau yang hampa dengan Gerakan sebelum ini telah memberi kata putus untuk keluar dari Gerakan yang kian rapuh. Dalam satu kenyataan katanya "Memandangkan, pucuk pimpinan Gerakan tidak boleh menerima keputusan saya (menerima jawatan tersebut), maka saya percaya langkah terbaik bagi saya ialah untuk menarik diri sepenuhnya daripada politik parti."

Hal ini berlaku berikutan penerimaan beliau kepada dua jawatan yang ditawarkan daripada Guan Eng kepada jawatan utama dalam Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Invest Penang Berhad (iP). Setelah beliau menerimanya, beliau dikecam hebat oleh pimpinan Gerakan dan BN termasuklah Ali Rustam. Dengan tegas kata Ali, beliau mahukan Kah Choon dipecat.

Aliran politik BN terhadap ahli bawahan kini adalah satu aliran yang keras. Tiada kebebasan hak dan suara lagi berpuak-puak. Atas sebab itu sebahagian ahli seperti Kah Choon terus tertekan dan terbeban sehinggakan terpaksa melarikan diri keluar dari parti berkenaan. Dengan bersama-sama Pakatan Rakyat, beliau akan lebih bersedia berkhidmat dan berjasa kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.

Sebuah lagi nasib malang menimpa BN dan parti kompenennya. Keadaan mereka sudah tidak menentu ia terbukti dengan keluarnya Kah Choon dari Gerakan. Sindrom inilah yang sangat ditakuti oleh BN tatkala mereka memenangi majoriti mudah dalam PRU-12. Bila-bila masa boleh 'terbalik'. Kah Choon tidak dibeli oleh DAP, tetapi atas kehendak dirinya yang ikhlas bersama memikul tanggungjawab memimpin rakyat.

Selamat bertugas kepada Kah Choon jika itu pilihan anda. Buang yang keruh ambil yang jernih. Dolah seperti biasa tidak mampu memberi tekanan kepada sesiapa kerana taringnya sudah ditumpulkan. Bom jangka yang dipasang oleh Anwar kian hampir waktunya untuk meletup bila-bila masa.

Langkah 'Negara Islam'

Persoalan Karpal Singh berhubung Negara Islam yang ingin dibawa PAS mampu mencetuskan provokasi. Sudah pasti jika media perdana BN mendapat peluang ini, mereka cuba melaga-lagakan isu ini agar pakatan yang sedia ada di kalangan pembangkang goyah.

Perlawaan Nik Aziz kepada Karpal untuk melihat sejauh mana kemajuan dan kesejahteraan pimpinan berteraskan Islam di Kelantan dipandang sepi olehnya (Karpal). Sungguhpun Karpal beriya-iya pula untuk mengingatkan PAS dengan agenda membentuk negara Islam supaya lebih praktikaliti, namun PAS ada cara tersendiri. Dari kenyataan yang seperti itu, PAS sesekali tidak melatah dan berbicara secara hikmah seperti yang diseru di dalam Al-Quran.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, mengingatkan bahawa perdebatan tentang istilah 'Negara Islam' boleh mengelirukan ramai. Ini kerana satu bentuk pemikiran iaitu Islamofobia yang telah wujud di mana-mana mampu memberi gambaran hitam kepada kesucian Islam itu. Demi menjaga kemurnian 'Negara Islam', kita harus memahami 100% konsep dan praktikalitinya.

Usahlah kita berbicara tentang 'Negara Islam' tanpa ilmu yang diturunkan dari guru muktabar. Membahasnya bererti membahaskan satu perintah ALLAH yang agong bertaraf wajib . Oleh sebab itu, diam membicarakan daripada umum lebih baik daripada disalahtafsir oleh mereka yang cetek ilmu bertaraf orang awam.

Hanya ulama' yang telah menghambakan diri mereka kepada ilmu-ilmu Islam lagi benar-benar arif berhak untuk memperkata 'Negara Islam'. Bukan ahli politik atau ahli perundangan, tetapi ahli agama. Bagaikan kata pepatah, hanya jauhari mengenal manikam. Tersilap kata musibah akan menikam.

Terang lagi jelas, Islam membawa kesejahteraan. Anggapan atau persepsi buruk kepada Islam perlu diberi penerangan dengan terang lagi berdalil supaya kefahaman Islam meresapi setiap anak Adam. Kehadiran PAS untuk memperjuangkan Islam amatlah diperlukan dan PAS menjadi aset terpenting. Islam itu luas skopnya samada dari sekecil-kecilnya perkara seperti soal makan sehinggalah perkara sebesar-besarnya seperti kenegaraan. Membawa Islam bererti membawa keseluruhan Islam tanpa ada yang tercicir walaupun sekulumit.

Islam menerangi jiwa-jiwa yang kelam dan kotor. Jika dahulu Mekah berada dibawah zaman kegelapan, dengan hadirnya Islam, Mekah bergemerlapan bercahaya yang datang dari keimanan. Apabila iman tersemai, Islam mudah dimiliki. Sebagaimana Angela Collins, beliau berjaya menemui Islam:



Islam adalah untuk semua dan menjadi rahmat bagi sekalian alam. Islam bangkit dicelah-celah kekufuran sehingga akhirnya tertegak sebuah Khalifah Islamiyah. Pendek kata, kami sokong Negara Islam!

Isnin, 21 April 2008

Pelan Menyelamatkan Kuasa

Lupakan dahulu Suruhanjaya Pilihanraya kerana tiada maknanya. Belum genap seminggu lagipun Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman, hari ini suruhanjaya baru telah ditubuhkan . Walaupun institusi itu telah lama terbina, tetapi hari ini Dolah mengumumkan sebuah suruhanjaya yang baru.

Itulah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dinaikkan tarafnya demi menjaga intergritinya setanding dengan intergriti kehakiman negara. Bagaimanapun pelancaran ini telah lambat pada saat rasuah telah bersarang di seluruh organisasi dan negeri.

Namun, penubuhan itu tetap perkara yang baik dan sebagai rakyat Malaysia kita harus menerima positif. Apabila sebuah suruhanjaya ditubuhkan, bermakna organisasi itu lebih bebas melakukan kerja tanpa tekanan dari mana pihak dan dapat memberi hak yang selayaknya kepada mereka yang tertentu. Sungguhpun demikian, keazaman Dolah ini adalah keazaman keduanya sejak bergelar Perdana Menteri.

Kejujuran dan ketelusan adalah aspek terpenting dalam mana-mana suruhanjaya yang telah atau akan ditubuhkan. Ini kerana, suruhanjaya adalah satu badan yang sangat diharapkan keberkesanannya dalam menyelami sesebuah masalah selepas sesuatu badan atau pasukan gagal bertindak sebaiknya.

Hakikatnya, Dolah berusaha untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepadanya. Beliau yang menyedari bahawa rakyat semakin celik dan tidak mampu dibodohkan, berusaha untuk memenuhi setiap kehendak rakyat. Dolah sudah lama mengalami krisis keyakinan terhadapnya dan kini krisis itu mampu berlarutan jika beliau sendiri yang tidak menyelamatkan.

Sebelum tiba Disember ini, Dolah harus lakukan sesuatu yang drastik agar keyakinan kepadanya kembali kukuh dan dapat dilihat oleh rakyat. Jika tidak, beliau terpaksa menjalani Pelan Peralihan Kuasa yang seperti yang dirancang. Oleh yang demikian sebelum itu, Dolah memerlukan Pelan Menyelamatkan Kuasa.

Pelan ini adalah satu pelan yang cukup mencabar. Penubuhan dua suruhanjaya yang baru adalah salah satu agenda dari Pelan Menyelamatkan Kuasa beliau. Selepas ini, Dolah dipercayai akan lebih agresif dan akan turun ke akar umbi bertemu ahli dan rakyat sebagai usaha membeli keyakinan padanya yang telah terhakis. Seperti nyawa-nyawa ikan, begitulah umpamanya nyawa-nyawa pos Perdana Menteri kelima.

Kini kurang tujuh bulan sahaja lagi kuasa di tangan Dolah. Dengan kuasa yang ada padanya itu sebagai Perdana Menteri, beliau akan menggembeling sebaiknya supaya terus berkuasa. Natijahnya, tidur tak lena mandi tak basah.

Ahad, 20 April 2008

Yeop, Yeop Kejor


Yeop. kejor yeop.kejor!

Kunjungan rasmi sulong Dato' Seri Mohammad Nizar ke Putrajaya menemui Dolah pada hari Jumaat lepas dianggap berjaya. Kesudian Dolah menerima lawatan beliau merupakan satu mesej kerjasama yang sepakat dalam menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Perak yang juga baru sahaja menyambut hari keputeraan Sultan memangkin rakyat Perak lebih bersemangat untuk memajukan negeri mereka. Usaha kerajaan negeri dalam hal ini adalah serius yang telah dibincangkan oleh Nizar sepanjang pertemuaannya dengan Dolah.

Secara ringkasnya, perkara-perkara penting yang dibincangkan ialah:
  1. Projek Landasan Berkembar dari Rawang ke Perlis.
  2. Pembesaran lapangan terbang.
  3. Pembinaan infrastuktur paip gas asli bagi perindustrian.
  4. Program Wilayah Utara
  5. Pertanian, pelancongan, modal insan dan pembuatan.
  6. Projek-projek kecil.
  7. ISA iaitu di Kem Kemunting, Perak.
Namun dalam hal-hal perkara tersebut, perkara ketujuh, Dolah hanya memberi komen biasa. Semoga hubungan baik ini akan diteruskan bukan sahaja dengan negeri Perak, tetapi semua negeri Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan. Sekarang adalah masa menunaikan janji, janji kebajikan serta janji selamat, aman, makmur.

*Yeop= panggilan bagi lelaki,
kejor
= kejar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan