Follow je lah..


Isnin, 21 April 2008

Pelan Menyelamatkan Kuasa

Lupakan dahulu Suruhanjaya Pilihanraya kerana tiada maknanya. Belum genap seminggu lagipun Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman, hari ini suruhanjaya baru telah ditubuhkan . Walaupun institusi itu telah lama terbina, tetapi hari ini Dolah mengumumkan sebuah suruhanjaya yang baru.

Itulah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dinaikkan tarafnya demi menjaga intergritinya setanding dengan intergriti kehakiman negara. Bagaimanapun pelancaran ini telah lambat pada saat rasuah telah bersarang di seluruh organisasi dan negeri.

Namun, penubuhan itu tetap perkara yang baik dan sebagai rakyat Malaysia kita harus menerima positif. Apabila sebuah suruhanjaya ditubuhkan, bermakna organisasi itu lebih bebas melakukan kerja tanpa tekanan dari mana pihak dan dapat memberi hak yang selayaknya kepada mereka yang tertentu. Sungguhpun demikian, keazaman Dolah ini adalah keazaman keduanya sejak bergelar Perdana Menteri.

Kejujuran dan ketelusan adalah aspek terpenting dalam mana-mana suruhanjaya yang telah atau akan ditubuhkan. Ini kerana, suruhanjaya adalah satu badan yang sangat diharapkan keberkesanannya dalam menyelami sesebuah masalah selepas sesuatu badan atau pasukan gagal bertindak sebaiknya.

Hakikatnya, Dolah berusaha untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepadanya. Beliau yang menyedari bahawa rakyat semakin celik dan tidak mampu dibodohkan, berusaha untuk memenuhi setiap kehendak rakyat. Dolah sudah lama mengalami krisis keyakinan terhadapnya dan kini krisis itu mampu berlarutan jika beliau sendiri yang tidak menyelamatkan.

Sebelum tiba Disember ini, Dolah harus lakukan sesuatu yang drastik agar keyakinan kepadanya kembali kukuh dan dapat dilihat oleh rakyat. Jika tidak, beliau terpaksa menjalani Pelan Peralihan Kuasa yang seperti yang dirancang. Oleh yang demikian sebelum itu, Dolah memerlukan Pelan Menyelamatkan Kuasa.

Pelan ini adalah satu pelan yang cukup mencabar. Penubuhan dua suruhanjaya yang baru adalah salah satu agenda dari Pelan Menyelamatkan Kuasa beliau. Selepas ini, Dolah dipercayai akan lebih agresif dan akan turun ke akar umbi bertemu ahli dan rakyat sebagai usaha membeli keyakinan padanya yang telah terhakis. Seperti nyawa-nyawa ikan, begitulah umpamanya nyawa-nyawa pos Perdana Menteri kelima.

Kini kurang tujuh bulan sahaja lagi kuasa di tangan Dolah. Dengan kuasa yang ada padanya itu sebagai Perdana Menteri, beliau akan menggembeling sebaiknya supaya terus berkuasa. Natijahnya, tidur tak lena mandi tak basah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan