Follow je lah..


Jumaat, 14 Mac 2008

Media Umpama Jarum

Belum lagi Menteri Besar dilantik sebelum ini, media-media yang dikuasai BN telah membuat provokasi. Katanya negeri yang dikuasai Barisan Rakyat (BR) akan miskin dan mundur. Mereka (media) umpama jarum yang menyucuk-nyucuk sentimen rakyat supaya rakyat dapat menggambarkan BR berada dalam satu polemik yang kencang. Tidak itu sahaja, sekaligus dengan tindakan mereka dapat menjatuhkan imej negeri-negeri yang diterajui BR. Akhirnya rakyat mula terpengaruh dengan putar belit mereka.

Mengapa media masih begini dan tidak mengambil pengajaran dari kekalahan Zam? Sedangkan menteri kesayangan mereka Zainudin Maidin (Zam) telah terima akibatnya dengan kekalahan yang trajik. Zam yang merupakan menteri kesayangan RTM terutamanya sebelum pilihanraya cukup gigih mengempenkan BN dalam arus perdana kerajaan dengan menggunakan media massa dalam PRU-12. Perbuatan menggunakan jentera kerajaan seperti menyalah gunakan sekolah, kakitangan kerajaan, dan kuasa menteri untuk keuntungan parti adalah tindakan tidak beretika. Natijahnya, rakyat muak dan tidak lagi percaya sepenuhnya pada kerajaan seperti itu, Zam tersungkur.

Di negeri Kedah, media BN telah mengwar-warkan bahawa tadika KEMAS telah ditutup setelah BR menngambil alih pemerintahan Kedah. Ini hanyalah fitnah, demi mencalarkan imej kerajaan Kedah. Ketua Penerangan PAS pusat, Mahfuz Omar telah menghantar surat tuntutan maaf dari Berita Harian kepada kerajaan Kedah sebagai menafikan apa yang dikatakan oleh mereka. Strategi BN menggambarkan seolah-olah pembangkang menutup tadika KEMAS ini 'pernah' berlaku di Terengganu semasa PAS memerintah dahulu, tetapi itu semua adalah sendiwara atau cerekarama arahan BN semata-mata. Sedangkan PAS, tidak pernah menutup tadika KEMAS. BN itu tergamak menzalimi anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa demi merebut kuasa.

Pulau Pinang, negeri yang hampir dengan Kedah pun menerima tempias mereka. Provokasi yang dibawa ialah kaum Melayu akan terabai apabila DAP memerintah. Sebenarnya nasib kaum Melayu di negeri ini semasa BN atau Gerakan memerintah dahulu telah pun kurang mendapat perhatian dan terabai. Sila lihat klip ini (http://www.tvpas.com/material.php?id=5817&cat=forum). Inilah negeri kelahiran Dolah. Pulau Pinang pulau mutiara, tetapi di manakah mutiaranya. Melayu hilang tanah di tanah sendiri wahai Dolah.

Tatkala Sultan Perak mengambil masa untuk meneliti siapakah yang bakal menjadi MB Perak dari senarai calon yang diberikan dari setiap parti pembangkang, media BN mengambil kesempatan mengambarkan BR sedang bergelut merebut jawatan itu. Media bertambah modal lagi bahan berita apabila DAP yang katanya memboikot majlis angkat sumpah. Buktinya berita ini di pampang di muka depan akhbar 13 Mac 2008. Tidak lain dan tidak bukan tujuannya untuk mengapi-apikan rakyat atau melaga-lagakan parti yang hasilnya rakyat akan menyimpan rasa marah antara kaum.

Di Selangor, terdengar ura-ura yang katanya pihak Istana Selangor memihak kepada satu pihak satu kaum sahaja dalam isu melantik timbalan menteri besar. Walau bagaimanapun, Istana telah menafikan ura-ura itu. Sebenarnya Istana mengikuti Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang telah digubal untuk memilih timbalan menteri besar. Gambaran yang tidak benar kepada Istana dan Menteri Besar harus dihentikan.

Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, dan Kelantan semuanya telah dicucuk oleh media BN. Oleh yang demikian BR perlu berwaspada. Kesalahan yang kecil dilakukan BR umpama dosa besar bagi media BN. Walaupun mereka tahu di Terengganu sana, Idris Jusoh masih lagi tidak menerima watikah perlantikan media BN membisu seribu bahasa. Masakan Idris telah terlalu banyak derhakanya kepada Baginda Sultan dan kini baginda selaku Yang Di-Pertuan Agong murka kepadanya menerima watikah. Kita tunggu dan lihat. Kesimpulannya buat Idris, beliau menang, tapi terbuang dan media BN tiada liputan kepadanya. Kekalahan BN dalam PRU-12 juga, media BN tiada sebarang analisis terhadapnya. Bilakah media akan matang?


Rabu, 12 Mac 2008

Tidak Perlu 'Senator' Samy Vellu


Apabila 30 NGO dikatakan ingin Samy dilantik menjadi Senator supaya dapat menyertai kabinet, tindakan NGO ini harus dicurigai dan dinilai lebih mendalam. Samy yang telah menjadi Menteri Kabinet lebih kurang 3 dekad atau 30 tahun seharusnya memberi laluan kepada muka baru. Andai sepanjang beliau memegang kerusi Parlimen itu tiada sebarang salah laku atau rasuah dan sangat berkhidmat untuk rakyat dengan jujur, beliau boleh meneruskan lagi 30 tahunnya itu. Namun perkara -perkara itu seakan samar pada saat-saat ini bagi Samy.

Apakah suara 30 NGO ini lebih besar daripada suara keramat rakyat yang ingin menyingkir beliau dari kabinet? Beliau ialah seorang yang kalah dalam PRU-12 dengan majoriti undi 1 821. Bagaikan kata Dolah, Perdana Menteri Malaysia "Dah kalah, kalah lah." Maka 30 NGO yang menyokong Samy itu perlu memahami dan menjiwai kata Dolah dengan hati terbuka terhadap mesej rakyat umumnya dan kaum India khasnya bahawa "Samy, sudah kalah , kalah lah, u boleh blah". Jika Dolah melayan permintaan NGO ini dengan memberi jawatan Senator kepada Samy, Dolah umpama meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri.

Samy kalah sedangkan peguam HINDRAF yang ditahan dalam ISA menang. Samy mengecam HINDRAF. Satu perbandingan yang mesti difikirkan. Kekalahan beliau bukanlah disebabkan akhbar yang memaparkan masalah JKR dua tahun lalu seperti mana menurut 30 NGO tersebut, sebaliknya adalah daripada kelemahan 30 tahun yang ditunjukkan beliau. Samy juga dikenali sebagai Menteri TOL yang mana isu TOL tidak pernah turun harganya malah sentiasa naik. Ini juga adalah antara sebab mengapa rakyat resah dan menolak kepimpinannya.

Jika diimbas, akhbar kerajaan lebih banyak mendedahkan kelemahan pembangkang setiap tahun bertalu-talu namun pembangkang telah menang dalam pilihanraya. Sivalingam tidak boleh mengatakan peranan media sebagai antara punca kekalahan Samy kerana Sivalingam mesti mengetahui bahawa akhbar kerajaan sentiasa menyokong kerajaan 100% dan pembangkang lebih teruk menerima hetaman media kerajaan.

Lebih baik Samy undur diri dengan cara terhormat. Walaupun mungkin sukar diterima oleh penyokongnya untuk menerima mungkin kerana Samy adalah periuk nasi mereka, tetapi beliau undur secara terhormat dan kita boleh berikan penghargaan kepadanya jika layak. Siapa tahu untung nasib barangkali menjadi Tun Samy seperti Tun Ling Liong Sik. Manalah tahu. Ingatlah kata Dolah, "Dah kalah, kalah lah" letaklah jawatan dan jangan angkuh seperti Dolah kerana Dolah terkecuali. Dolah adalah Perdana Menteri Malaysia.

Zakaria Meninggal

Berita radio RTM jam 9.00 pagi hari ini memberitahu bahawa Zakaria Md Derus telah meninggal dunia malah selain itu banyak sms mengenai berita ini telah pun tersebar. Arwah ialah bekas exco Selangor yang pernah dipenuhi kontrovesi rumah banglo mewah telah pergi buat selama-lamanya. Sebagai orang Islam, kita meyakini dari ALLAH kita datang kepada ALLAH kita kembali dan salam takziah juga diucapkan kepada ahli keluarganya. Kehidupan dan kematian adalah ujian dari ALLAH untuk melihat siapakah yang paling baik amalannya.

Dalam satu hadis Nabi S.A.W, apabila meninggal anak Adam, tiga benda akan mengiringinya ke perkuburan. Tiga perkara itu ialah hartanya, ahli keluarganya, dan amalannya. Dua akan pergi meninggalkan dia setelah disemadikan dan satu yang akan bersama dengannya menemani di dalam kubur. Dua yang meninggalkan anak Adam itu ialah harta dan ahli keluarganya, dan yang kekal bersamanya ialah amalannya.

Semoga arwah diampunkkan dosanya dan kepada ahli keluarganya dinasihatkan untuk membuat pengisytiharan kepada rakyat Selangor terutamanya jika ada sebarang hutang atau hak yang belum ditunaikan oleh arwah moga-moga ahli keluarga arwah dapat membantu melangsaikannya seupaya mungkin. Begitu berat sebenarnya menjadi seorang pemimpin ini kerana tanggungjawab yang kelak akan dituntut pimpinannya dan ditanya oleh ALLAH.

Selasa, 11 Mac 2008

Reformasi Negeri-Negeri

Barangkali Menteri Besar (MB) yang dilantik ini tidak akan mengeluarkan kenyataan "Marilah bekerja bersama saya". Sebaliknya setiap MB akan bekerja kuat untuk rakyat. Pemimpin yang adil lagi disegani adalah ciri-ciri wajib yang harus dimiliki. Lebih baik bekerja banyak tetapi bercakap kurang daripada bercakap berapi-api tetapi semuanya temberang. Malah di White House juga pun, skandal penipuan atau temberang pemimpin adalah skandal cukup besar yang sukar dimaafkan rakyat daripada skandal seks pemimpin mereka seperti yang berlaku kepada Presiden mereka terdahulu Bill Clinton.

Kerja yang perlu diterima adalah untuk meneruskan agenda rakyat dan membersihkan kekotoran pemimpin BN dalam pentadbiran mereka sebelum ini. Kita yakin pembangkang akan mentadbir dengan baik kerana di Kelantan, negeri ini telah membuktikan dan terus berkuasa selama lebih 20 tahun hasil mandat yang diberikan rakyat. Tanggungan hutang antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang banyak angkara pemimpin BN sebelum ini mestilah dikurangkan sekurang-kurangnya. Golongan miskin dan tidak memperolehi pendidikan harus diberi perhatian serius. Ini kerana dengan membela nasib rakyat, pemimpin akan lagi dihormati dan disayangi.

Setiap parti pembangkang kini telahpun memiliki tapak untuk terus membina kekuatan. Dalam erti kata yang lain, Pas memiliki Kelantan, Kedah, dan Perak, Keadilan memiliki Selangor, dan DAP memiliki Pulau Pinang yang mana menyebabkan parti lebih stabil dan teguh untuk merancang dan berjuang. Berikut adalah nama setiap MB baru bagi lima negeri:

Negeri-negeri berikut akan menjadi perintis kepada kehebatan gagasan Barisan Rakyat (Pas-DAP-Keadilan) dalam memimpin negara dan segala perancangan adalah dengan pendekatan keputusan bersama antara setiap parti. Dalam perkara ini, tiada soal negeri DAP atau negeri Pas mahupun negeri PKR, sebaliknya semuanya adalah negeri berkebajikan Barisan Rakyat. Rata-rata rakyat di setiap negeri berikut bersedia menerima perubahan dan bersemangat untuk menikmati janji kepimpinan Barisan Rakyat.

Renungan:

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.
(Surah Saba':15)

Ahad, 9 Mac 2008

Kalah Jua...

-Mereka merancang, dan ALLAH jua merancang. Dan ALLAH lah sebaik-baik perancangan-

BE END yang bermaksud tamatlah. Pilihanraya Umum ke12 hari ini berjaya menumbangkan BN dan semua orang kuatnya. Dolah mengalami kekurangan kerusi majoriti. Kabinetnya juga menerima tamparan yang sama. Kepada Zainudin Maidin, menteri 'RTM' yang cukup lantang melemahkan pemabangkang, terpaksa akur dengan kelemahan dirinya sendiri yang kalah. Lagenda Samy Vellu telah terhenti pada tarikh hari lahir beliau semalam tatkala namanya tidak diumumkan sebagai pemenang di Sungai Siput. Shahrizat, menteri wanita keluaran UMNO juga terpaksa menelan air liur menerima kekalahan dari seorang anak muda yang baru sahaja berkecimpung dalam arena politik. Koh Tsu Koon dan Awang Adik, cubalah lagi pada tahun-tahun akan datang ataupun marilah bersama-sama BA . Calon-calon muka baru seperti Nurul Izzah, Yusmadi, dan ramai lagi menang dengan hebat.

Sejarah paling teruk bagi BN adalah pada penggal ini. Penyokong-penyokong UMNO-BN berasa kecewa dengan kekalahan dan menyifatkan terdapat masalah besar dalam parti mereka. Kini BN tidak boleh lagi menerima 'rawatan' sebaliknya hanya 'bedah siasat' yang perlu dilakukan serta merta mencari punca kekalahan mereka. Berkata Tuan Guru Nik Aziz, kekalahan BN adalah berpunca dari Abdullah yang tolak ISLAM. Dolah yang merupakan Imam Hadahari itu tidak dapat menjawab soalan dari wartawan sekitar jam 3.00pagi semalam atas mesej atau signal perubahan rakyat yang ditunjukkan. Malah, sesi press-confrence hanya dijalankan sebentar sahaja dan Dolah mengelak dari menjawab. Jelas pada wajah Dolah kehampaan barangkali kerana banyak wang telah dilaburkan dalam berkempen, tetapi mereka kecundang.

Segala kemenangan ini adalah ujian dari ALLAH. Sekarang bukanlah masa untuk kita mendabik dada kepada penyokong UMNO-BN bahawa kita menang bergaya, sebaliknya adalah untuk kita bersyukur serta merendahkan diri dihadapan ALLAH atas bantuanNYA. Marilah sama-sama kita menghulur bantuan kepada yang kalah dan rela memaafkan kesalahan sesama insan sepanjang berkempen. Harapan baru telah pun tiba untuk memulangkan keadilan serta kebajikan kepada rakyat. Segala fail-fail sulit BN yang mengandungi salah laku, akan dibawa dibuka semula untuk proses keadilan.

Sekalung penghargaan juga kepada SPR dan polis kerana menjalankan tugas sebaik-baiknya walaupun dalam masa yang sama menerima tekanan dari BN dan BA. Insiden di Terengganu wajar disiasat dan diadili dengan sewajarnya. Kerja-kerja kita perlu diteruskan dan usah leka dari kejayaan. Cabaran mengekalkan kejayaan adalah lebih hebat dari memiliki kejayaan. Terima kasih buat seluruh rakyat diatas kesedaran dan doa demi sebuah perubahan gelombang dan corak politik Malaysia untuk masa akan datang. Yang benar pasti tertegak jua!

8Mac:Undi Tidak Rahsia


Kita tidak mahu berperang untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang zalim. Kita tidak perlu untuk bertumpah darah sesama kita . Walaupun kita mengerti dengan memiliki kerajaan kita dapat menegakkan Islam ataupun boleh disalah guna untuk membuat kekejaman. Ia adalah amanah yang cukup besar dan berat untuk dipikul di setiap bahu pemimpin. Namun, kita juga tidak boleh untuk merampas kuasa demi menegakkan sebuah kerajaan yang lebih baik seperti berlaku di Thailand, Myanmar atau Nepal umpamanya. Malah kita rumpun melayu lebih cenderung kepada lemah lembut daripada bersikap agresif biarpun hati kita terluka. Kita adalah warganegara Malaysia. Berbekalkan sebatang pena mampu untuk mengubah atau mengekalakan tampuk pemerintahan satu-satu kuasa. Sebatang pena untuk sebuah perjuangan negara. Pena yang bisa menggoncang negara. Satu undi, satu kuasa. Undi tidak rahsia, kerana segala apa yang kita lakukan adalah dibawah pengetahuan ALLAH mahupun sekeping kertas undi di dalam peti yang tertutup rapi.

"Selamat Mengundi"
Pilihan Raya Umum ke-12

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan