Bagaikan menyedari diri berlumpur dengan dosa yang umpama najis bagaimana ingin menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Dalam keadaan hati yang cukup kotor berdaki dan busuk menyengit, sudah pasti tiada siapa pun yang mahu berkehendak berjumpa dengan manusia yang seperti itu.
Maka begitulah, sebelum kita pulang ke akhirat untuk bertemu Tuhan, maka awal-awal lagi di dunia ini kita perlu membersihkan diri kita. Umpama mencuci baju yang asalnya putih tetapi telah legap dengan lumpur. Mestilah disental sekuat-kuatnya baju itu supaya hilang segala kekotoran itu.
Bagaimana membersihkan dosa jika tidak dengan taubat? Sebagai seorang hamba betapa perlunya dia bertaubat dalam setiap saat. Ini kerana pada saat yang tidak diduga, dia mungkin dipanggil pulang. Pulang ke alam barzakh sebelum bertemu syurga atau neraka.
Dalam sebuah hadith yang mahsyur, sabda Nabi Muhammad S.A.W., "Kubur itu boleh menjadi taman dari taman Syurga atau jurang dari jurang api neraka."
Bersihlah dirimu dari dosa sebelum ia menjadi tiket untuk kita menjejak kaki ke neraka ALLAH. Sebuah tempat yang palimg tidak diingini tetapi di situlah laluan yang mudah ke arahnya. Jadikan taubat sebagai penyelamat dari terus ke sana.
Biarlah baju itu koyak demi membersihkan kekotoran yang degil akibat kuatnya disental. Hanya baju yang putih berseri dan bersinar layak untuk mengadap ALLAH yang Maha Mulia. Semoga ALLAH membuka hidayah kepada pintu hati kita.