Kita tidak pasti, entah bagaimana sebuah negeri yang dinaungi oleh seorang mufti yang cukup kuat dalam menyuarakan kebimbangan murtad tidak diambil manfaatnya dengan apa yang berlaku di negeri itu. Negeri itu ialah Perak, yang pernah diharamkan 'Sure Heboh' atau 'Jom Heboh' oleh muftinya. Kali ini, bagai meludah kelangit, akhirnya terpalit ke muka sendiri.
Sama ada kerajaan negeri ada merujuk kepada pejabat mufti atau tidak dalam meluluskan program ini, kita kurang pasti. Akan tetapi Tuhan yang telah memberikan kita suara dan kuasa, wajib untuk menyuarakan kebimbangan dan membuktikan kecaman jika ada program yang menyalahi apa yang pernah diucapkan satu masa dahulu. Bertempat di Lumut, Perak, program Jom Heboh mendapat lampu hijau untuk terus diadakan aktiviti yang diantaranya termasuk aktiviti melalaikan dan mengagungi para artis.
Usah ditanya Menteri Besarnya akan halalnya sebuah hukum yang pernah diharamkan oleh tok mufti ini. Menteri Besar ini pun adalah 'haram' tetapi semalam, lesen halal pun telah diberi oleh Najib iaitu dengan jawatan sebagai Ketua Perhubungan Negeri.
Jom Heboh ini, menodai hati orang Islam kerana acara yang menyimpang dari apa yang Islam mahukan. Islam mahu melahirkan pemuda yang hatinya gentar dengan nama ALLAH dan lunak pula dengan Al-Quran. Hati yang tidak dicuci dengan ilmu dan iman ini akan menjadi gelap. Seperti batu dinding putih yang lama tersadai di tepian, cat mula tanggal, akhirnya lumut membalut sebuah dinding yang dahulunya putih.
Inilah antara tugas seorang mufti, untuk menanggalkan lumut-lumut yang telah lama terlekat lagi hitam. Memberi dakwah kepada masyarkat dan membimbing kepimpinan yang sering alpa kepada hukum Tuhan. Jika tidak, mufti memikul satu persoalan yang paling berat kelak diakhirat yang tidak mampu untuk terjawab.