Follow je lah..


Selasa, 18 Mac 2008

Kabinet 'Dapur' Baru 2008

Mampukah dengan muka baru menteri kabinet ini dapat meyakinkan rakyat yang kini sudah beralih ke arah barisan rakyat? Sewaktu masa dahulu sebelum pilihanraya, Dolah ada memberitahu jika kerajaan BN tumbang dan diganti dengan kerajaan Barisan Rakyat, kerajaan yang baru akan mengalami satu proses yang lembap. Ini kerana katanya kerajaan baru yang baru hendak ditubuh perlu menyelaras persiapan awal dan penyesuaian sedangkan kerajaan BN telah siap siaga. Tetapi, selepas 11 hari pilihanraya umum berlalu, kata-kata Dolah seolah-olah sudah terbalik.

Mengapa terbalik? Kabinet baru yang baru dibentuk ini lebih banyak menampilkan muka-muka baru dan muka yang tidak popular. Mungkin rakyat tidak pernah mendengar sebahagian nama yang baru contohnya Datuk Liow Tiong Lai, Datuk Ismail Sabri Yaakob, dan lain-lain lagi. Maka muka baru ini samalah juga keadaannya perlu mengambil masa untuk penyesuaian , dan agak lembap pada peringkat awal untuk rancak mentadbir. Maka kata-kata Dolah dahulu terkena pada dirinya semula.

Terdapat juga dalam kabinet baru bekas menteri yang dahulu pernah menjadi menteri kemudian digugurkan, kembali menjadi menteri. Contohnya ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Noh Omar. Mereka ini ialah orang yang pernah menjadi menteri dan digugurkan kerana terdapat rekod tidak baik, tetapi dipilih menjadi menteri semula. Taib dengan rekod rasuahnya semasa menjadi MB Selangor dan Noh Omar dengan keculaparan mulutnya. Seumpama sampah yang sudah dibuang dan digunakan semula manakan ada manfaatnya.

Ketika Dolah mengisytiharkan nama kabinet, Timbalan Perdana Menteri, Najib tidak hadir di majlis itu. Jika sebelum ini, ketika Dolah mengumumkan pembubaran parlimen, Najib ada disebelahnya tetapi pada hari ini, ia tidak berlaku lagi. Ini menguatkan lagi desas-desus bahawa Dolah cuba memperkukuhkan kemnya daripada tekanan kem Najib. Kemungkinan Dolah gusar dengan kecemerlangan Najib sewaktu pilihanraya membolehkan Najib untuk mengambil alih kerusi Perdana Menteri pada bila-bila masa. Dalam masa yang sama, beberapa orang yang dipercayai dari kem Najib digugurkan dan diganti dengan orang Dolah seperti Zaid Ibrahim. Zaid ialah seorang peguam yang berfahaman liberal dan menentang keras perlaksanaan hukum Islam di Malaysia dan pernah ditolak oleh UMNO Kelantan. Apakah Zaid akan mengganti pos Abdullah Mohd Zain iaitu 'Menteri Islam Hadhari'. Alamatnya bertambah lingkuplah Islam Hadhari Dolah dan bertambah lesulah ke'Islam'an BN. Sedangkan dalam masa yang sama, Abdullah Mohd Zain telah menang dalam pilihanraya dan sepatutnya dipilih Dolah bagi jawatan menteri kabinet.

Lebih pelik lagi, Dr. Mashitah yang tidak bertanding dalam PRU dan telah ditolak oleh UMNO bahagian, dikekalkan dengan jawatan timbalan menteri. Kabinet baru ini juga secara tidak langsung juga telah membisukan suara Wanita UMNO. Selepas Shahrizat kalah dalam pilihanraya dan kini Rafidah digugurkan, maka lenyaplah suara Wanita UMNO kerana tiada wakil dari Wanita UMNO menjadi menteri lagi. Harapan mereka dalam perhimpunan agong UMNO lalu untuk diberi hak mereka dalam pentadbiran negara ditolak mentah-mentah oleh Dolah.

Akhir sekali, dengan segala kebejatan kabinet ini, mampukah mereka menahan tsunami rakyat. Dalam keadaan kerajaan BN yang parah dan tidak cukup 2/3 kerusi parlimen, Dolah tidak pula melantik tokoh yang hebat-hebat sebagai langkah mengeluarkan 'senjata rahsia' nya bagi menyelamatkan BN. Itupun jika Dolah ada 'senjata rahsia'. Tertanya pula, dimanakah KJ? Adakah menjadi Menteri 'Mastermind' di dalam politik Dolah? Dia kini berada di sebalik tabir.

1 ulasan:

david santos berkata...

Untuk mengelak tragedi sama berulang kembali, dan demi keselamatan anak-anak kita, kami sedang menganjurkan kempen ke seluruh dunia, memaparkan gambar NURIN JAZLIN JAZIMIN di blog-blog di seluruh dunia pada 25 April 2008. Janganlah kita melupakan NURIN JAZLIN.

David Santos

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan