Follow je lah..


Jumaat, 9 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-٥

Perpisahan yang sebenar ialah apabila kita diasingkan ahli syurga dari ahli neraka. Perpisahan itulah yang meletakkan dua darjat, iaitu darjat syurga dan darjat neraka. Ahli syurga dan ahli neraka yang berpisah tidak akan mempedulikan lagi sesama mereka kerana ketentuan telah ditetapkan oleh Tuhan.

Apabila jasad disemadikan di dalam perut bumi, itu hanyalah perpisahan yang sementara. Hanya amalan yang boleh menyatukan dua insan yang telah berpisah selepas kematian. Jika ada anak atau ahli keluarga yang ditinggalkan, dan ketika itu kita telah mati, kita tahu bahawa mereka berada dalam kesedihan dan ada juga yang menangis.

Namun tangisan dan kesedihan adalah sementara. Apabila suria terbit dari timur, maka bumi bercahaya kembali mengganitkan kegelapan. Harta milik kita telah diagihkan, nama digugurkan dalam senarai jawatan, dan yang tinggal hanyalah gambar yang di simpan di dalam almari.

Sayang sekali harta yang banyak tidak dapat menemani kita di alam perpisahan itu. Tiada hiburan dan tiada rakan taulan yang dapat mengisi masa lapang kita di alam perpisahan itu. Mengharap hanya kepada doa anak dan amalan kebaikan yang telah diajar atau harta yang telah dilaburkan untuk saham akhirat.

Kita yang mati, dihantar ke sebuah alam yang lain. Bukan kita yang mahu meninggalkannya tetapi kitalah yang ditinggalkan selepas tamat majlis pengkebumian. Perlahan derap tapak kaki meninggalkan rumah baru kita lalu mereka makin lama hilang dari pandangan. Suasana di atas kubur kembali menjadi sunyi dan sepi.

Bilakah kita akan bertemu lagi di saat ini? Kita sentiasa mengharapkan pertemuan untuk kita hidup kekal selamanya. Kita hendak bertemu dan bertanya khabar disamping menikmati hidangan yang tidak pernah kita dapati di alam kehidupan sebelum ini. Pastikan tiba saat itu pada masanya. Nantikanlah.

Khamis, 8 Mei 2008

Prihatin Tuan Guru


"Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh."
________________________________


8hb Mei 2008/ 2 Jamadil Awwal 1429

YM. Raja Petra Raja Kamarudin

Warkah Simpati dan Pengiktirafan

Saya menerima berita mengenai nasib tuan yang dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 dan kini ditahan reman dalam penjara Sg. Buloh sehingga kes disebut di mahkamah pada 6 Oktober 2008 dengan penuh kesedihan.

Bagaimanapun, jauh di hati saya, saya masih terasa kagum kerana di sana masih ada seorang sehebat tuan yang cekal mempertahankan apa yang difikirkan benar.

Prinsip ini cukup selaras dengan dasar anutan Agama Islam kita yang sentiasa bertunjangkan amar makruf nahi mungkar.

Ia kebetulan disebut juga oleh demokrasi dan turut diperuntukkan di dalam perlembagaan kita di bawah perkara kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Soal bersalah atau sebaliknya; maka terlanjur tuan telah dituduh di bawah Akta Hasutan, maka ia terpulanglah kepada proses keadilan di mahkamah yang selanjutnya.

Sewaktu Nabi Allah Yusuf 'alaihissalam dikurung oleh pihak berkuasa di zamannya kerana fitnah, Yusuf berkata, "wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh."

Lantaran istiqomah Nabi Yusuf itu, Allah maqbulkan doa baginda lalu "menghindar Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Petikan dari Surah Yusuf Ayat 33 dan 34).

Selaras dengan perkembangan ini, izinkan saya turut bersama mendoakan tuan agar sentiasa dipelihara kesihatan dan keselamatan oleh Allah SWT.

Semoga yang benar itu akan terserlah jua walaupun harganya adalah pengorbanan. Selagi tuan benar dan kita semua benar di sisi Allah SWT, tuan dan kita pada amnya tidak perlu merasa khuatir.

Mari kita terus tabah, bersama dengan perjuangan demi menegakkan yang hak dan menolak kebatilan.

Salam perjuangan. Wassalam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Mursyidul Am PAS

Formula Murtad Berjaya

Ujian semakin hebat ketika ini. Ujian ke atas aqidah yang merupakan tunjang kepada segala perkara. Berapa ramai lagi menanti giliran seperti Tan Ean Huang ini jika masih wujud kelompangan dalam menjayakan misi dakwah.

Sorotan berita dari suatu sumber, Tan Ean Huang (perempuan agama Budha) ini memeluk Islam kerana perkahwinan dengan rakyat Iran, Ferdoun Ashanian. Setelah perkahwinan ini terbina, lelaki ini meninggalkan isterinya itu. Selepas itu, Tan Ean Huang berhasrat untuk keluar dari Islam (murtad).

Kalimah syahadah yang disaksikan akhirnya terbatal dengan mengikut ajaran agama asalnya. Setelah melalui siri perbicaraan yang panjang, mahkamah membenarkan permohonan Tan Ean Huang yang ingin murtad.

Aduh, luka Lina Joy masih belum sembuh kita dihiris lagi dengan berita ini yang mengoyakkan hati dan perasaan umat Islam. Ketika kesan Taufan Nargis di Myanmar sedang dirasai lagi, terasa sahaja bala itu boleh bila-bila sahaja menjengah ke kawasan ini.

Binasanya hidup jika murtad dipilih. Tetapi itulah pilihan Tan Ean Huang dan dia memeperolehinya. Mahkamah dunia kemenangan untuknya, mahkamah akhirat belum pasti.

"Mereka bertanya engkau tentang berperang dalam bulan haram. Katakanlah (Muhammad) : "Berperang dalam bulan itu berdosa besar. Perbuatan menghalang orang dari jalan Allah dan kufur kepadaNya , (melarang orang masuk) ke masjidil haram serta mengusir penduduknya adalah lebih dosanya di sisi Allah. Fitnah lebih besar dosanya daripada pembunuhan. Jika mereka mampu, mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sehingga kamu berpaling daripada agama kamu. Sesiapa yang murtad daripada agamanya dan mati, dia adalah kafir. Amalan-amalan (baik) mereka musnah di dunia dan akhirat. Mereka menjadi penghuni neraka yang kekal didalamnya."
Al-Baqarah:217

Seindah nama sahaja, itulah Siti Fatimah...yang hanya indah pada namanya. Nama itu yang bukan lagi layak baginya. Baginya ialah Tan Ean Huang seorang penganut Budha. Ya ALLAH, ampuni dosa kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan