Follow je lah..


Rabu, 30 Januari 2008

Selamat Hari Lahir Sharlinie


30 Januari 2007

Hari ini genaplah usia 5 tahun adik Sharlinie. 5 tahun yang lalu bayi ini dilahirkan lalu disambut sanak saudara dengan penuh keriangan dan kesyukuran. Anak yang berumur 5 tahun masih lagi terlalu muda untuk menempuh liku-liku hari yang berlalu. Lihatlah kanak-kanak yang sebaya dengan usianya, pasti kanak-kanak seusia ini masih memerlukan pertolongan dan didikan dari ibu dan bapa. Maka tidak hairanlah jika anak seusia ini menangis kerana ingin meminta perhatian dari orang yang disayanginya.

Semakin hari semakin sayang biarpun di mana anak berada. Tangisan yang telah lama tidak kedengaran tidak bererti dirimu tidak inginkan lagi perhatian dari keluarga ini. Malah dirimu yang tidak berdosa telah menggamit perhatian seluruh rakyat Malaysia sejak kehilangan mu 21 hari yang lalu sehinggalah kini. Air mata sudah kering dan tidak berdaya lagi untuk menangis.

Betapa sayunya hati ini jika memikirkan nasib mu wahai anak apakah yang sedang dirimu lakukan tatkala kini. Bagaimana dengan makan dan minum mu, sakit dan sihat, dan pelbagai lagi yang dirimu tidak mampu upaya lakukan bersendirian dalam meneruskan detik-detik yang sukar dalam kehidupan. Dimanakah tempat tidur mu setiap kali malam berlalu dan apakah rengek mu wahai anak setiap kali terjaga dari tidur setelah siang menyapa.

"Ibu...Ibu...Mama.."

Sharlinie, tangan ibumu tidak pernah lemah dan penat menadah doa memohon kepadaNya setiap masa. Hati ibu yang telah cukup sengsara menahan kepedihan kerinduan tidak terkata. Apabila tiba hari lahir mu pada hari ini, berkecamuk perasaan dihimpit kesedihan dan harapan. Nostalgia ketika menyambut hari kelahiranmu menghiris lagi luka di hati. Tiada lagi riang dan manja mu di saat ini. Adik beradik berdiri sugul sambil hati kecil menanyakan apakah masih ada sambutan hari lahir untuk Linie.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam tangisan ada harapan seorang ibu yang mulia. Hidup perlu diteruskan biarpun badai yang menimpa. Putus-asa tiada. Andai itulah takdir yang Maha Esa, kami tenang menerima kepulangan mu sama ada dalam riang mahupun duka. Menjadi resam seorang hamba, menerima ketetapan dari Tuannya dengan hati yang terbuka. Tuan yang memiliki alam dan menguasai aturan kehidupan.











Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan