Follow je lah..

Sabtu, 17 Januari 2009

P.036:Kemenangan PAS Kemenangan Rakyat




Syukur pada ALLAH Taala kerana memberi kemenangan kepada PAS. Inilah satu mandat dari rakyat dan juga keyakinan rakyat yang terus menyokong perjuangan rakyat untuk rakyat. Tiada lagi suara angkuh dari puak BN yang tidak pernah sesekali sedar akan mereka kian tidak diterima oleh masyarakat.

Apakah kesilapan yang telah dilakukan oleh BN. Jika ingin kata salah hebahan kempen, semua saluran media sudah menjadi milik 'bapak' mereka. Dari pagi hingga ke malam tiada berita melainkan kempen kononnya angin perubahan ala-ala Mat Said sedang bertiupan. Akhirnya, angin lain yang berkunjung, angin meribut seluruh penyokong BN sehinggalah kepada Najib untuk keluar dari Kuala Terengganu.

Andai hantu yang dijampi tidak tiba pada hari pengundian hari ini, ini menunjukkan pedinding yang dipasang oleh Pakatan Rakyat sungguh mujarab. Terima kasih juga kepada SPR kerana melaksanakan sebuah amanah rakyat yang paling berharga. Jelas kekecewaan dan kehampaan terpalit kepada BN yang kalah.

Mana lagi hendak diletak air muka BN selepas ini. Apakah dengan kekalahan ini mereka akan menutup kebencian rakyat pada mereka dengan berkata proses demokrasi sudah berjaya? Mana Najib dan Mat Said pada malam ini dan siapa yang bersalah akan mereka pastikan malam ini juga. Bergaduhlah sesama sendiri kerana ia tiada manfaat untuk BN.

Inilah semangat rakyat yang belum terpadam. Kemenangan PAS ini akan mengukuhkan lagi saf PAS dan meyakinkan lagi kekuatan Pakatan Rakyat. Kemenangan kita bukanlah dirai dengan tepukan dan sorakan ala-ala penyokong BN, tetapi dengan takbir, memuji ALLAH, menjulang nama ALLAH, ALLAH Maha Besar.

Kemengan ini adalah dari ALLAH untuk menilai kadar kesyukuran dan kesungguhan kita selepas ini. Pembangunan tidak akan sesekali dikesampingkan dan PAS tidak sesekali berputus asa dalam memperjuang pembangunan rakyat, pembangunan insani, ukhrawi dan duniawi. PAS untuk semua. Terima kasih kepada semua ahli dan penyokong PAS yang tidak pernah henti-henti berdoa agar Islam kembali bertakhta di negara kita. Apabila datang kebenaran, maka lenyaplah kebatilan. Takbir!

P.036 Undilah PAS



Tiada sebab mengapa tidak mengundi PAS seandainya perjalanan PAS itu masih berlandaskan kebenaran. PAS tidak meninggalkan kemajuan dan pembangunan, tetapi apabila PAS menang di satu kawasan yang di dominasi oleh BN, PAS di anak tirikan. Sedangkan pula kemajuan BN adalah kemajuan untuk yang kaya terus kaya raya dan miskin terus menagih perihatin.

Maka pembangunan menjadi umpan dan harta kekayaan menjadi habuan. Jika menang BN maka bukan lagi riuh sekampung seperti ayam bertelur tetapi riuh bagai nak rak dan pecah televisyen di rumah. Muka depan akhbar akan terpampang Wan Ahmad Farid dan Mat Said sebagai jaguh kampung ala-ala Usop Sontorian. Mereka juara, mereka gembira.

Wan Farid dipercayai mungkin sukar untuk masuk ke seluruh kampung melawat semua penduduk. Mat Said bagaikan tidak percaya dengan kerja Wan Farid sehingga memaksa beliau untuk turun sendiri ke rumah-rumah kampung berkempen bagi kemenangan BN di Terengganu. Dengan itu jika menangnya BN, beliau dapat menigkatkan reputasi beliau sebagai seorang MB Terengganu dan tak kalah dengan MB sebelum-sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, orang kedua yang terpenting dalam negara dan orang kedua yang paling sibuk di Malaysia pun beriya-iya memantau gerak kerja BN di sana dan beliaupun akur untuk berkampung di Terengganu bagi beberapa hari yang lama. Di manakah Wan Farid andai TPM sendiri yang turut turun padang, ladang, dan lalang berkempen bagi masyarakat Kuala Terengganu.

Bersedialah membuang undi. Undi anda bukan kepada BN yang sering kali 'over confident' itu tetapi undi anda adalah untuk dunia dan akhirat. Undi anda anda adalah tanggungjawab anda untuk memilih parti yang benar amanah dan berkebajikan kepada negara. Selamat mengundi PAS!

Selasa, 13 Januari 2009

Kita Sebulat Suara

Dalam sidang Parlimen semalam, semua ahli parlimen telah sebulat suara membantah tindakan rejim zionis kepada rakyat Palestin. Dengan itu kita dapat membuktikan dasar dan pendirian kita sentiasa tidak mengizinkan undang-undang dicabuli serta hak manusiawi diinjak-injak oleh tentera kejam itu.

10 usul yang dikeluarkan itu adalah satu usul yang tegas. Setelah usul itu dikeluarkan maka perkara yang lebih mahu dilihat adalah reaksi dan aksi. Reaksi Israel kepada kita adakah berbentuk positif ataupun negatif dan malang lagi jika usul-usul ini tiada dipeduli langsung oleh mereka. Kemungkinan ini mungkin benar memandangkan negara kita ini hanya sebuah negara yang terlalu kecil di peta dunia. Kecil kita kecil jugalah kuasa dan pengaruhnya.

Pun begitu dasar luar Malaysia ini murni. Atas dasar kebenaran, keselamatan, dan kesejahteraan kita mesti mengusulkannya. Dasar kita menolak kezaliman oleh zionis itu betul kerana dasar berat sebelah mereka itu. Banyak perkara dalam dasar luar negara kita mampu bersetuju tetapi dasar dalam negara kita tiada kesepakatan.

Kita tidak bersetuju dengan sikap tidak demokratik dalam PBB yang mana Amerika sering menggunakan kuasa veto mereka. Sama jugalah dalam Malaysia, kuasa veto itu boleh dicapai dengan mengugut ahli parlimen atau kakitangan kerajaan supaya tegar menyokong dan mendokong Barisan Nasional. Inikah dasar adil?

Dasar dalam negara itu sudah betul tetapi setengah pihak cuba mengambil kesempatan dalam menjayakan dasar negara. Lebih menambahkan parah, keadilan dalam negara dirosakkan dan kekerasan seperti kuasa polis dijadikan senjata utama untuk mengajar sesetengah rakyat yang mahukan suara mereka diterima.

Contohnya dalam demonstarsi anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) baru-baru ini, mereka melarang kanak-kanak menyertai demo sebegini kerana kanak-kanak tidak boleh diieksploitasikan sewenang-wenangnya kata mereka. Sebenarnya kita tiada menggunakan mana-mana kanak-kanak untuk menyuarakan sesuatu tetapi itulah sebenar suara mereka di negara ini. mereka mahu bersuara. Maka kontradiksi apabila kanak-kanak dibenarkan menyertai demo keamanan Palestin atas izin mereka sedangkan sebelum ini kanak-kanak tidak boleh terlibat dalam hal-hal yang serius.

Dasar Malaysia pada negara luar mestilah jujur kepada negara dan bangsa sendiri. Usah menjadi ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan. Perbetulkan hal dalaman negara dan buktikan yang kita telus serta layak menjadi contoh kepada negara-negara besar dari segi perundangan dan kepimpinan. Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Teruskan membantah Zionis Israel cuma perbetulkan sedikit hal dalaman kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan