Follow je lah..

Jumaat, 11 Julai 2008

Kes Najib-Altantuya Terjawab?


Hah, apalagi yang mahu dibawa oleh pembangkang berkaitan mereka cuba melibatkan Najib dengan pembunuhan Altantuya setelah Najib bersumpah dengan nama ALLAH. Menurutnya, beliau bersumpah tidak pernah berjumpa dan mengenali Altantuya.

Sumpah bukanlah perkara yang main-main lebih-lebih lagi jika disandarkan kepada nama ALLAH. Pun begitu kita perlu melihat dahulu siapakah orang yang bersumpah itu. Jika ia orang yang fasiq, ia harus diselidiki terlebih dahulu. Tetapi bagi Najib, kita tidak mungkin mengatakan beliau fasiq dan kita tidak juga layak untuk memberinya gelaran mukmin. Nilailah sendiri.

Sebenarnya, dengan sumpah Najib yang menafikan penglibatannya dengan kes pembunuhan ini masih belum terjawab. Ini kerana bukti dan saksi pada kesalahan itu mengatasi dari sumpah seseorang. Dalam erti kata lain, siasatan mesti dilakukan kepada Najib serta hadapkannya ke mahkamah. Mahkamah yang adil adalah seperti dacing yang menimbang kebenaran dan melunaskan hak kepada mereka yang telah diambil akan haknya.

Tiada siapa pun yang mendesak Najib untuk bersumpah tidak sepertimana Anwar. Sumpah tiba-tiba Najib seolah tiada cara lain lagi untuk beliau mengembalikan keyakinan rakyat kepadanya. Bagaikan kata orang melayu, siapa makan cili, dialah yang rasa pedasnya.

Polis harus menahan Najib dan Abdullah wajar menggantung timbalannya. Ini bertujuan untuk membersihkan nama baik negara dan kesucian serta kosentrasi kabinet dalam mentadbir negara. Amat malang apabila Abdullah mencadangkan Najib sebagai penggantinya ketika mana Najib bergelut dengan masalah jenayah yang melibatkan namanya.

Khamis, 10 Julai 2008

Abdullah Tidak Perlu Jun 2010


Peralihan kuasa seperti yang dirancangkan bermain dengan teka-teki pada awalnya. Hari ini Abdullah (Dolah) berhasrat untuk turun dari bangunan Putrajaya pada Jun 2010, bermakna kurang dua tahun lagi. Apakah itu bermakna teka-teki sudah terjawab?

Abdullah akhirnya tunduk pada tekanan yang menggesanya untuk bersara. Tekanan dari dalam UMNO dan luar UMNO menyebabkan kerusi panas ini tidak senang diduduk olehnya. Di tambah lagi, rakyat memang mahukannya untuk berhenti dari menjadi seorang Perdana Menteri.

Sehubungan itu usul undi tidak percaya dari Pakatan Rakyat kepada Perdana Menteri telah difailkan pada hari ini di Parlimen. Adakah pertembungan tarikh ini kebetulan atau satu perancangan? Pengumuman Dolah pada tarikh yang sama ini sesuatu yang signifikan dan sudah dihidu olehnya. Ini kerana pada fikirannya barangkali Ahli Parlimen perlu meletak kepercayaan kepada beliau dalam menerajui negara lagi disebabkan beliau akan bersara tidak lama lagi. Pertembungan tarikh ini juga, beliau dapat menarik perhatian daripada isu usul tidak percayanya kepada isu peralihan kuasa.

Jun 2010 adalah terlalu lama bagi rakyat. Dalam tempoh dua tahun sengsara ini rakyat berhadapan dengan harga minyak yang mahal. Dalam tempoh dua tahun ini juga penyangak-penyangak negara akan terus kukuh merasuk keadilan dan kepimpinan negara. Ekonomi pula tidak stabil lantaran kegoyahan politik negara.

Mungkin September 2008 adalah masa untuk Dolah keluar dari Putrajaya dan bukannya Jun 2010. Pada ketika itu barangkali dalam tempoh dua tahun lagi beliau akan menjadi ketua pembangkang negara. Ataupun, kemungkinan beliau akan disoal-siasat oleh BPR sejurus beliau turun dari 'takhta'nya.

Pengumuman ini juga memberitahu kita, beliau akan menang dalam bertanding hujung tahun ini. Menang tanpa ada pencabar. Iya pun jika ada pencabar contohnya Najib, Najib telah dijinakkan dengan mesej 'tunggulah Jun 2010, tak payah cabar aku'. Taktik memutar belit Dolah ini berjaya. Rata-rata dahulu rakyat menjangkakan beliau akan beralih kuasa dalam pertandingan parti adalah hampas semata-mata.

Peralihan kuasa ini bagaikan melepas batuk di tepi tangga sahaja andai waktunya Jun 2010. Sekarang adalah masa terbaik untuknya berundur. Tatkala ini rakyat sedang 'panas' dengan pimpinannya sangat menginginkan kepimpinan yang lebih cekap dan berhemat.

Ingatlah, Dolah bukan lemah. Dolah ada kuasa sekarang ini. Kuasa ada di tangannya dan segala perkara mungkin terjadi. Najib pula jangan berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri.

Rabu, 9 Julai 2008

Sebab Itulah Perlunya Hudud

Ramai orang hebat memperkatakan mubahalah. Tahukah anda apa mubahalah itu sebelum anda terus menjadikan ia sebagai hujah (sila rujuk jihadtegakislam.blogspot.com karangan Pak Syeikh Yussaini). Tidak dinafikan jua, itu juga mungkin menjadi antara satu penyelesaian dalam kemelut ini.

Mubahalah adalah satu idea dari ilmu-ilmu Islam yang begitu luas. Dalam keadaan sekarang ini, Saiful juga beriya-iya hendakkan sangat Anwar bersumpah atas nama ALLAH. Pelik tetapi benar, orang yang menuduh sepatutnya sibuk memberi bukti bukannya sibuk mencabar keperibadian seseorang itu. Samada benar atau tidak emel dari Saiful itu yang dihantar ke tv3, prinsipnya orang yang bersalah mesti dibuktikan ia bersalah.

Dalam membuktikan perkara ini, terdapat pelbagai caranya. Samada mahu bawa barang bukti ataupun saksi. Namun jawapan paling tepat yang adil dalam memberi keadilan kepada penuduh dan mangsa ialah kembali pada perundagan yang adil. Itulah perundangan Islam atau Hudud. kemukakan empat orang saksi yang mukmin.

Semestinya telah terbukti hudud sangat relevan dalam mengatasi masalah ini. Ini bukan sahaja pada istilah seperti qazaf, tetapi perlu juga pada penguatkuasaan hudud itu. Dalam erti kata lain hukuman hudud bagi tiap kesalahan yang telah ditetapkan mesti dijalankan seperti hukum pancung,rejam, sebat dan sebagainya mengikut hukum fiqh atas kesalahan yang dibuat.

Saiful mahu mubahalah dan Anwar mahu gunakan mahkamah Syariah. Kesimpulannya manusia sejauh mana akhirnya perlu kembali kepada keagungan ALLAH dan kemulian Islam. Benar kata Saiful, yang hak pasti berdiri dan yang bathil pasti jatuh. Sekarang, Saiful belum membuktikan bahawa dia ialah yang hak dan Anwar cuba menumbangkan kebathilan.

Selasa, 8 Julai 2008

'Chemistry Bonding' PAS & Artis

Ikatan kimia atau chemistry bonding merupakan satu aspek yang penting. Tanpa menafikan kepentingannya, dengan kewujudan ikatan kimia ini ia berupaya dapat menjalin kerjasama yang baik. PAS dibawah kepimpinan ulama' nyata terus konsisten dengan dasar Islam sebagai perjuangannya.

Menyedari hakikat ini PAS perlu menyelesuri segenap lapisan masyarakat tanpa mengecualikan sesuatu pihak pun. Bagi sesetengah artis terutamanya yang menceburi bidang hiburan seperti nyanyian, indusrti mereka adalah periuk nasi mereka. Mereka bergiat aktif dalam bidang ini dan mempunyai peminat-peminat mereka yang tersendiri.

PAS tidak menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka. Biarpun sesetengah pihak dalam PAS dengan terangan ada melahirkan rasa tiada kompromi pada sesetengah aspek yang dibawa oleh artis-artis ini, niat dan caranya adalah baik. Bagi PAS, biarpun selaut mana ramainya peminat artis tersebut, jika nilai bawaan artis itu bercanggah dengan syariat dan etika Muslim, PAS akan menolaknya.

Kejadian baru-baru ini di Kelana Jaya dalam program PROTES, telah menyaksikan satu insiden yang tidak diingini. Kumpulan Carburetor Dung kumpulan musik underground sejenis musik dari aliran Barat telah menjadi kritikan atas ketelanjuran mereka menghakis keindahan akhlak Muslim. Pasukan Amal pula bertindak menarik diri apabila menyedari wujudnya kontradiksi dalam nilai Islam pada persembahan artis tersebut. Nyata PAS sesekali tidak akan berkompromi pada persembahan atau aktiviti yang hilang akhlak dan menggadai prinsip mereka.

Selain itu, Konsert Piala Sultan Selangor seolah memberi 'kemenangan' kepada Ella dan Mas Idayu untuk beraksi lentok di atas pentas. Sebelum ini PAS berusaha untuk memprotes artis-artis tersebut dari beraksi kerana ada perkara yang lari dengan pegangan Islam.Dari segi syaraknya, suara perempuan pada satu ketika dihukum haram dan perempuan yang menari dikhalayak pun juga haram hukumnya. Oleh itu PAS berusaha untuk tidak menjayakan perbuatan-perbuatan yang dari segi syaraknya adalah haram. PAS tidak menyalahkan artis secara individu, tetapi PAS hanya mahu mengelakkan persembahan itu dari diadakan.

Implikasinya, artis seperti Alak(vokalis Caburetor Dung), Ella (Ratu Rock)dan Mas Idayu (artis dangdut) dan peminat mereka menerima tamparan daripada PAS. Mungkin akan wujud tiada persefahaman antara artis dan prinsip PAS. PAS perlu menghadapi cabaran ini dan membisikkan dengan lunak akan segala ketegasan dalam perjuangan mereka. Boleh jadi kebanyakan artis di Malaysia lebih selesa menyokong BN daripada PAS kerana perbezaan kawalan kebebasan. Dalam erti kata kebebasan bawaan BN ialah BN lebih suka diadakan nyanyian-nyanyian lagu seperti dari Siti Nurhaliza, tari-menari, dan hiburan tanpa henti kerana benda-benda seperti ini mudah menarik perhatian rakyat. Bagi PAS, benda-benda ini bukanlah alat terbaik menarik perhatian rakyat sebaliknya menarik perhatian rakyat adalah dengan pendekatan-pendekatan yang Islamik.

Walaupun begitu, hubungan baik harus cuba dikekalkan antara artis dan PAS. Artis bukanlah alat kelalaian dari mengingati ALLAH dan PAS bukanlah pula halangan (obstacle) bagi artis dalam bergiat aktif dari beraksi. Kesinambungan harus dicari supaya Islam kembali diterima oleh semua golongan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan