Follow je lah..

Sabtu, 5 April 2008

Pemuda Taraf Pakcik

Sebagai rakyat Selangor mungkin, kita semua mengetahui lelaki ini. Namanya ialah Khir Toyo. Bekas doktor gigi dan Menteri Besar Selangor. Lahir pada tahun 1965. 2008-1965= 43 tahun. Tua!!! Akan tetapi antara Mukhriz dan Hisahmmuddin, beliau ialah yang ter'muda'. Sukar juga sebenarnya untuk menetapkan berapakah umur sebenar pemuda atau belia di Malaysia ini. Kebiasaannya orang yang dikatakan muda ialah meraka yang masih belajar ataupun fresh garduate. Tetapi dalam pertandingan jawatan ketua pemuda UMNO, mereka yang bertanding adalah diantara berumur 40-an dan layak digelar 'pakcik'. Untuk pengetahuan kita, Hishammuddin lahir pada tahun 1961 manakala Mukhriz pada tahun 1965.

Senario di Malaysia terhadap istilah pemuda berbeza-beza pandangan. Namun dikalangan tiga orang ini, mereka tidak boleh dikira muda lagi walaupun penampilan nampak muda. Hishammudin nampak selalu sengeh dan Mukhriz tampak lebih cool. Manakala, Khir Toyo mukanya lebih tegang dipercayai pengamalan memakan tempe dengan banyak sehingga menafikan kepada penggunaan botox. Boleh percayakah tidak guna botox? Tenung sahaja wajahnya tetapi janganlah lama-lama kerana nanti ada yang jatuh hati pula pada suami orang ini.

Mereka yang bertanding dalam jawatan ketua pemuda UMNO ini telah mempunyai rekod yang tersendiri yang gah. Hishammuddin dan Mukhriz anak bekas Perdana Menteri. Bagi Khir Toyo, beliau ialah bekas Menteri Besar Selangor yang mana satu jawatan yang cukup besar. Apabila kalah, beliau meletak jawatan dalam UMNO tetapi tetap juga mempunyai niat menjadi ketua pemuda.

Jika pertandingan ketua pemuda ini dipilih berdasarkan umur, maka Khir Toyo boleh menang. Jika Khir menang, sebenarnya beliau telah kalah. Beliau mengakui kelemahan dalam pentadbiran Selangor dahulu dan menjadi sebab untuk kalah. Oleh itu, keupayaan untuk menjadi pemimpin pemuda agak kurang diyakini ahli UMNO yang akan mengundi kelak.

Antara tindakannya yang paling jelas kurang bijak semasa menjadi MB, beliau memberi penyapu kepada jabatan yang mendapat prestasi rendah. Ini kurang bijak dan boleh menimbulkan aib. Akhirnya, badi penyapu itu terkena dirinya sendiri. Beliau di'sapu' dari menjadi MB Selangor. Begitu jualah exco-exco yang dibawahnya, turut disapu sehingga bersih. Malah rumah-rumah banglo exco itu pun disapu habis. Pembaziran. Itulah perkataan terbaik boleh dikatakan dalam pentadbiran Khir.

Lebih baik jika Khir Toyo keluar dari dunia politik dan kembali ke dunia asalnya iaitu dunia pergigian. Menjadi doktor gigi lebih diperlukan dan dihormati. Harap Dr.Khir Toyo memanfaatkan gelaran doktornya itu kepada rakyat pula.

Surat Daripada YAB Khalid

http://ijok2007.wordpress.com/

29 Mei 2007.

Menemui Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan segala doa agar sentiasa di bawah lembayung naungan, rahmat dan perlindungan Allah. Semoga terus dapat bersama memimpin umat ke arah mardhatillah.

Tuan Guru,

Warkah yang Tuan Guru nukilkan tempoh hari benar-benar menyentuh akal dan sanubari saya. Tazkirah yang diberikan, insyaALlah akan menjadi azimat, bekalan buat saya menempuhi jalan-jalan sukar penuh halangan demi menegakkan keadilan di muka bumi Malaysia ini.

Saya bertawakkal dan berserah diri pada hari saya terjun ke lapangan perjuangan rakyat melalui wadah Parti Keadilan Rakyat. Tidak pernah saya mengimpikan jalan yang mudah dan segera untuk mencapai kemenangan rakyat. Kerana itu saya berserah diri kepada Allah dalam menentukan masa depan saya di dalam perjuangan ini; sebagaimana yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam di dalam Al-Quran.

“…Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah Rabb yang mempunyai Arasy yang besar.

At-Taubah: 129.

Benar, pengalaman di Ijok adalah perit. Namun saya insaf, sebagai hamba Allah, tugas kita hanya merancang dan berusaha. Sungguh, kita mahu mencapai kemenangan. Kerana kita yakin dengan kemenangan itu, insyaALlah kita akan dapat memberi sumbangan kepada mencegah kemungkaran dan kezaliman yang berleluasa. Tetapi saya sedar bahawa kemenangan itu ditangguhkan Allah kerana ada hikmahnya.

Saya hanya mampu berdoa agar terus diberikan kekuatan dan keteguhan hati untuk terus memikul amanah perjuangan. Perjuangan ini harus diteruskan meski mengambil masa bertahun-tahun atau puluhan atau ratusan tahun sekalipun. Kita pada hari ini adalah pejuang-pejuang seperti Tuan Guru yang sekadar merupakan mata rantai yang menyambung beban perjuangan yang panjang daripada para Rasul, Anbiya’, Tabiin, Mujahid dan para pejuang terdahulu untuk menyampaikannya kepada generasi mendatang.

Saya pohon doa Tuan Guru agar saya sentiasa beriltizam dan memegang erat janji perjuangan ini. Segala kerja buat Tuan Guru selama ini adalah contoh ikutan kepada saya yang baru dalam menghadapi tentangan dan tekanan UMNO-Barisan Nasional.

Segala fitnah, tohmahan, putar belit media yang saya, ahli keluarga dan seluruh pemimpin-pemimpin Barisan Rakyat hadapi bukanlah sesuatu yang tidak diduga. Mereka terdesak, justeru mereka sanggup lakukan apa sahaja. Caci maki, tipu helah dan fitnah adalah mainan mereka semata-mata.

Menelah sirah anbiya’, saya sedar secara perbandingan betapa ringan cubaan yang ditimpakan ke atas saya itu. Para Nabi, khususnya Junjungan Besar kita Muhammad sallahualaihiwassalam, bukan sekadar menghadapi serangan lisan dan cuba dipukul malah berhadapan dengan ancaman terhadap nyawa mereka sendiri.

Kerana saya ini seorang hamba yang kerdil, kerana saya ini seorang insan yang sudah tentu tidak hampir sekalipun dengan kehebatan para Nabi, maka saya panjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas cubaan dan cabaran ringan yang saya hadapi itu.

Tuan Guru,

UMNO dan BN, khususnya di Selangor, tidak mahu sesiapa juga yang mempunyai kemampuan, tambahan pula di dalam bidang kewangan dan ekonomi, mendapat tempat di Dewan Undangan Negeri. Mereka bimbang kalau-kalau wakil rakyat yang cekap dan berkemampuan akan menonjolkan lagi kelemahan mereka. Mereka hidup di bawah bayang-bayang kejahatan diri mereka yang menyalahgunakan kekayaan rakyat untuk kepentingan peribadi. Kerana itu mereka risau segala-galanya didedahkan.

Pada mereka biar Dewan Undangan Negeri, biar Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipenuhi oleh ahli-ahli yang korup seperti mereka juga atau sekurang-kurangnya tukang angguk dan pak turut yang akan mengatakan “Ya!” kepada segala kemahuan mereka.

Kerana itu saya yakin kita perlu terus berjuang. Ulama besar, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Harakah Islamiyyah Satu Tuntutan telah menyatakan bahawa hanya dua cara untuk iman memerintah negara. Pertama, masuknya iman ke dalam hati pemerintah; kedua berpindahnya kekuasaan ke tangan orang-orang beriman.

Seperti yang pernah dikatakan oleh Tuan Guru, sekiranya orang-orang UMNO itu bersedia untuk berubah, bersedia menegakkan Islam maka tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka.

Namun Syeikh Yusuf al-Qaradhawi sendiri mengakui bahawa untuk berubahnya pemimpin yang korup dan zalim menjadi beriman adalah sesuatu yang sukar, meski tidak mustahil. Kerana itu kita perlu terus berjuang bagi memastikan negara ini bebas daripada penjajahan minda mereka.

Kita tidak membenci diri mereka; yang kita tentang ialah sikap zalim mereka. Itu yang menyebabkan kita tidak boleh redha atau berdiam diri dengan perbuatan mereka.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim; maka (jika kamu berlaku demikian) api Neraka akan membakar kamu; sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Hud: 113

Maka saya katakan, meski mereka menyerang saya sehingga membuat penipuan dan fitnah terhadap hal-hal peribadi saya, menafikan sejarah dan sumbangan saya kepada rakyat dan negara ini; apabila sahaja mereka bersedia mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan rakyat, apabila mereka menghentikan sikap berleluasa mereka dan memegang kepada nilai, menghentikan kezaliman dan menegakkan keadilan; maka saya kira pada saat itu perjuangan kita tidak lagi perlu.

Tetapi selagi mereka bertegas menzalimi rakyat, mengamalkan rasuah maka saya sedar adalah menjadi kewajipan kepada semua kita untuk terus-terusan berjuang dan berkorban demi memastikan negara Malaysia ini dan seluruh negeri-negerinya diperintah berasaskan nilai dan bukannya kepentingan peribadi dan nafsu.

Tuan Guru,

Saya doakan agar negeri Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru terus makmur dan aman sentosa, dilimpahkan rahmat dan nikmat. Saya doakan juga agar PAS akan terus bersama-sama mantap dan kukuh di dalam menghadapi cabaran, tekanan dan sekatan.

Saya pohon daripada Tuan Guru doa restu agar bersama-sama kita akan dapat mengatasi segala cabaran di dalam perjuangan ini. Dengan kerjasama erat di antara kedua-dua parti kita – keADILan dan PAS bersama parti-parti lain, gerakan masyarakat dan setiap rakyat yang cintakan keadilan dan membenci kezaliman, InsyaAllah kita akan mencapai kemenangan sebagaimana Rasulullah dan Islam pernah mencapai kemenangan.

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

An-Nasr: 1-3.

Meski kita pada hari ini dilihat lemah kerana UMNO dan BN itu menguasai dan memperalatkan segala jentera, kekuatan dan kakitangan kerajaan untuk kepentingan mereka, isyarat-isyarat kemenangan sudah jelas kelihatan. Ijok misalnya membuktikan betapa kerjasama erat di antara semua parti-parti yang menentang hegemoni BN diterima baik oleh rakyat.

Justeru kita perlu perkukuhkan kerjasama dan mantapkan persefahaman dengan mengenepikan kepentingan-kepentingan sendiri dan mengutamakan kepentingan bersama. InsyaALlah dengan itu, meski kita sedikit berhadapan dengan segala jentera kerajaan, polis, tentera dan semuanya; kita mampu mencapai kemenangan.

…Berkata pula orang-orang (daripada kalangan tentera Talut) yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Al-Baqarah: 249

Biarlah kita menjadi sebahagian daripada orang-orang yang yakin ini dan membuat persiapan segala terdaya kita bagi menghadapi UMNO dan BN khususnya di dalam Pilihanraya Umum Kedua Belas yang akan datang sebagai satu pasukan.


Abdul Khalid Ibrahim

Setiausaha Agung

Parti Keadilan Rakyat

Jumaat, 4 April 2008

Baik Punya Lentok

Satu Lagi Projek Barisan Nasional

Apabila peminat sudah tidak berlandaskan kebenaran, maka peminat akan melakukan apa sahaja seperti lentok-lentok dan sebagainya kepada artis yang disayangi itu. Ini mendatangkan fitnah.
Saudara akan melihat video dibawah dan menilai dimanakah kebijaksanaan mereka mengawal rasa meluap-luap minat mereka. Menurut sumber, majlis ini adalah majlis perayaan Hari Raya Aidilfitri.



Jika tidak dapat melihat video sila lihat gambar ini.

Setelah penat sebulan makcik-makcik dan kakak-kakak berpuasa, tetapi tidak bermakna apa-apa. Kerana apa:
  1. Berpelukan dengan Anuar Zain
  2. Lentok-lentok pada bahu Anuar Zain
  3. Cium pipi Anuar Zain
  4. Gesel-gesel dengan Anuar Zain
Bagi Anuar Zain, ia tidak menganggap perbuatan itu salah barangkali.

'Layan'...

Siapakah Jahanam Ini?

Geert Wilders

Lahir pada 6 September 1963 di Venlo, Netherlands dan merupakan seorang Ahli Parlimen Belanda (Dutch) sejak 1998. Laknatullah ini (Geert Wilder) mengasaskan Party for Freedom di Belanda. Agama yang dianutinya dipercayai agama Roman Katolik akan tetapi gambar di sebelah adalah gambar beliau berpakaian seorang Yahudi. Berpendidikan jurusan insurans kesihatan dari Amsterdam dan memiliki sijil undang-undang dari Dutch Open University.

Sejak 25 tahun yang lepas, laknatullah ini telah pergi ke Israel sebanyak 40 kali untuk bertemu Yahudi-yahudi Laknatullah. Laknatullah-laknatullah itu ialah Ariel Sharon dan Ehud Olmert. Di samping itu, lakantullah ini mempunyai hubungan yang rapat dengan agensi perisikan Israel, Mossad. Oleh itu, lakantullah ini sangat menyokong segala tindakan Israel dan mempunyai perasaan permusuhan yang tinggi kepada semua seteru Israel dan ini termasuklah orang Islam.

Orang Islam yang berada di Netherlands telah menerima cengkaman yang hebat olehnya. Berhubung peningkatan populasi Muslim di negara tersebut, ini ujarnya:

"Take a walk down the street and see where this is going. You no longer feel like you are living in your own country. There is a battle going on and we have to defend ourselves. Before you know it there will be more mosques than churches!"

Maksudnya, lakantullah ini akan terus menentang ALLAH dan Islam. Tatkala orang Islam sedang bertambah, dia akan tekad berperang dengan ALLAH dan Islam. Pada satu ketika, laknatullah ini berkata, jika orang Islam Netherlands ingin menetap di sini (Netherlands), maka anda perlu mengoyak Al-Quran. Al-Quran ini banyak membawa masalah dan Nabi Muhammad itu ialah seorang pengganas.

Kini dengan terang-terangan, laknatullah ini menerbitkan filem Fitna yang menghina Islam serta memberi kecelaruan dan imej buruk tentang Islam kepada dunia. Apabila hal ini berlaku, maka semua muslim yang sedar marah dan memboikot barangan dari negara Belanda. Namun kita tiada kuasa atau tentera yang mampu menghumban laknatullah itu ke muka pengadilan. Harapkan OIC, buang duit dan masa sahaja. Imam Hadhari juga sedang sibuk dengan UMNO sehingga terabai kepentingan umat Islam di seluruh dunia. Imam Hadhari, mana anda?

Laknat! Laknat! Laknat Geert Wilders!

(tanda protes anda boleh dizahirkan pada poll di kolum sebelah)

Khamis, 3 April 2008

Padi Ditanam, Lalang Yang Tumbuh

Kisah Sufiah seorang anak yang cerdik kini apabila besar sudah tidak cerdik lagi. Keseluruhan rakyat Malaysia melahirkan rasa pelbagai dalam perkara ini. Ada yang bersedih, simpati, dan ada juga yang marah. Biarpun apa respon kita dari isu ini, kita perlu tahu bahawa nasi sudah menjadi bubur. Kembali kepada masa yang lampau bagi membetulkan kesilapan sesekali tidak menjadi kenyataan. Jika telah diwarna, begitulah rupanya. Sekarang masanya untuk kita mengambil iktibar dan masanya bagi Sufiah dan yang senasib dengannya untuk kembali ke pangkal jalan.

Anak Adalah Seumpama Kain Putih

Lihat gambar di atas, Sufiah sedang ceria bersama keluarganya. Setiap manusia yang dilahrikan adalah mempunyai keluarga dan mereka seumpama kain putih, mereka suci daripada sebarang dosa, pemikiran, dan agama. Maka ibu bapa merupakan orang yang terawal mewarnai kain putih itu. Ibu bapalah yang akan mengenalkan anaknya kepada dunia, masyarakat dan agama. Maka peranan kebijaksanaan ibu bapa adalah penting seperti pentingnya nyawa untuk hidup. Tanpa membanding kepada mana-mana ibu bapa dalam cara mendidik anak, perkara pertama untuk ibu bapa ialah memberi didikan Islam supaya terbentuk keimanan dalam diri anak itu. Mereka perlu mendedahkan anak itu kepada arah keIslaman yang sejahtera. Pendidikan yang pertama ialah pendidikan Al-Quran. Jika anak diajar melihat, memulia, membaca, dan menghafaz Al-Quran, maka sebuah tembok keimanan telah kukuh terbina dalam diri mereka. Inilah ajaran yang telah diajarkan berabad tahun dahulu oleh ibu bapa Islam supaya anaknya lebih sempurna kelak dan menjadi ulamak.

Iktibar Kisah Sufiah

Sufiah barangkali adalah mangsa kepada didikan atau keadaan yang diterimanya. Sufiah sebenarnya tidak berseorangan menerima nasib seperti ini. Jika benar nasib Sufiah kini yang terlibat dalam pelacuran sepertimana dilaporkan media, kita mempunyai ramai lagi anak-anak Islam yang telah rosak peribadinya dek ke'indah'an duniawi sama seperti Sufiah. Lihat sahaja di bandar-bandar terutamanya, berapa ramai anak orang Islam yang terlibat dalam masalah sosial.
Masalah sosial membiak hari demi hari kerana keimanan yang tiada dalam diri anak-anak Islam. Ada yang merasa bangga berambut perang seperti orang barat, ada yang bangga mempunyai awek dan boleh dibonceng kemana-mana sahaja, dan ada yang berasa tidak berdosa dengan mendedahkan aurat. Apakah hari ini anak-anak Islam sudah tidak mampu membaca Al-Quran? Inilah kesedihan dan kerisauan yang pernah difikirkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. tatkala menjelang ajalnya. Kecintaan Rasulullah pada umatnya menitiskan air mata kita. Namun mengapa air mata jernih Rasulullah itu yang dikhianati. Bersama kita muhasabahnya.

Setiap Penyakit Ada Penawarnya

Setiap umat Islam perlu menjadikan Al-Quran dan hadith untuk mencari penyelesaiannya. Itulah rujukan utama dan menyelamatkan anak-anak Islam dari terus sesat sesesatnya. Jiwailah anak-anak dengan Al-Quran. Berikan didikan keagamaan yang banyak lagi sempurna kepada anak-anak ini seperti menghantar anak ke sekolah rendah agama sebagai pendedahan amal Islami. Selain itu, tidak mustahil anak-anak ini mampu menghafal Al-Quran 30 juzuk. Cerahilah anak-anak dengan Al-Quran supaya terpancar kebaikan pada diri mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu bersedia lebih awal dengan melengkapkan ilmu-ilmu di dada sendiri. Usahlah dijadikan kejahilan ibu bapa sebagai penghalang cahaya kebenaran kepada anak-anak kita.

Rabu, 2 April 2008

Kena Halau Singgahsana

Apabila pucuk pimpinan bermasalah, maka orang bawahan lagilah parah...





(Video di atas adalah rakaman semasa Forum UMNO Pasca Pilihanraya ke 12 di Hotel Singgahsana Petaling Jaya semalam)

Apakah salah hendak bertanya sehingga beliau dihalau sebegitu rupa sehinggakan hilang adab-adab melayu. Kalau soalannya begitu maka jawablah dengan yakin dan beri penjelasan. Hari ini anda menghalau, esok anda akan dihalau. Bumi Malaysia ini bukan milik UMNO. UMNO bergolak, bercakaran, dan berbudaya samseng sesama mereka.

Get Out UMNO.

KeranaMu ALLAH

Siri 2 (Akhir)
Kemuliaan sesuatu itu akan terpancar dari ketaatan kepada ALLAH. Malah usaha munajat seperti ini adalah sentiasa dialu-alukan oleh rakyat. Kita yang telah sekian lama gersang di bumi sendiri, memerlukan siraman air ibadah supaya kembali subur dan segar di bumi ini. Janji Tuhan bahawasanya kesyukuran akan dibalas dengan nikmat yang lebih banyak adalah benar dan dinanti. Kami pasti akan bersyukur pada nikmat terbesar Mu iaitu nikmat Islam dan Iman yang menyinar semula.

Malam ini adalah malam penghargaan kepada rakyat Selangor yang telah membuat keputusan cemerlang dalam pilihanraya. Dari rakyat kepada rakyat sebagai agenda. Selangor sebuah negeri yang maju dan mempunyai banyak aset penting adalah milik Barisan Rakyat. Bukan milik menteri dan bukan milik exco, tapi ia adalah milik rakyat. Amanah, yang berat lagi mencabar.

Kini sudah menjadi kenyataan yang kita memiliki Selangor. Selangor bukannya milik orang-orang tertentu, tetapi ia adalah milik rakyat. Makkal Sakti. Membersihkan Selangor dari jelaga korupsi merupakan insiatif baik. Memulangkan dan meringankan bebanan atau hak rakyat adalah keutamaan. Contohnya pada 1 Jun 2008, 20 meter padu air kegunaan domestik bagi rakyat Selangor adalah percuma. Kerana air adalah asas keperluan manusia. Air untuk semua.

InsyaALLAH selepas ini, Stadium Shah Alam yang bersebelahan Stadium Malawati ini bakal mencatat sejarah dengan perhimpunan mega rakyat. Kita datang sebagai sokongan. Dari bayi, kepada kanak-kanak, dari kanak-kanak kepada dewasa, dan dari dewasa kepada orang tua, semua hadir bersama memenuhi ruang kosong stadium ini. Di situlah kalimah ALLAH dibesarkan dan cahaya iman cerah berkilat. KeranaMu ALLAH. Takbir! ALLAHUAKBAR...


Selasa, 1 April 2008

Seniwati Kembali ke Rahmatullah

Yusni Jaafar(Ibu), 63 tahun telah kembali ke Rahmatullah (meninggal dunia) hari ini awal pagi tadi kerana penyakit yang dihidapi. Beliau sebelum ini dirawat di hospital. Sila klik di sini untuk melihat gambarnya semasa di hospital. Akhirnya beliau telah dijemput menuju ke gerbang alam yang kekal abadi. Mudah-mudahan roh Ibu akan tenang di alam sana. Sumbangan beliau dalam bidang seni adalah mengagumkan. Di akhir hayat beliau, beliau lebih selesa untuk menghabiskan masanya dengan ibadah sebagai bekalan untuk hari ini dan seterusnya. Sama-samalah kita sedeqahkan Al-Fatihah untuknya:
AL-FATIHAH
"Ibu gembira ayah ada, anak-anak ibu semua ada. Lama ibu tak tidur dengan ayah, Ema, Erna dan cucu-cucu ibu. Lepas ini ibu hendak pergi jauh. Tak payah cakap siapa-siapa. Kalau siapa cari ibu kata ibu happy sangat sekarang..."

Stadium Malawati Sebagai Saksi

Siri 1
Kehadiran yang sangat cemerlang. Tanpa ada bas rombongan, nasi bungkus, duit poket, atau arahan kerajaan sepertimana strategi BN sebelum ini sebagai memenuhi kehadiran, ribuan rakyat dapat dikumpulkan dibawah satu bumbung. Seluruh ruang kosong dipenuhi sehinggalah melimpah-limpah di tebing tangga dan di atas lantai tanpa mengira usia samada kanak-kanak dan dewasa, masing-masing menunjukkan sokongan atas kehadiran.

Julung-julung kalinya stadium ini yang dibina telah pertama kali itulah suara 'ALLAHUAKBAR' bergema berulang-ulang kali. Mencatat sejarah jua, stadium yang berdiri kukuh ini akhirnya berjaya di'sujud'kan. Setiap inci lantai stadium akan menjadi saksi kelak di hari akhirat bahawa dahi manusia pernah mencecah di atas 'dada'nya. Inilah munajat kemenangan.

Stadium ini akhirnya tidak dapat menampung kebanjiran rakyat. Setelah dalam stadium penuh, sebahagian bersedia untuk duduk di luar stadium dengan mengikuti lintas langsung menerusi LCD yang dipancarkan. Malam pada hari ini seumpama siang pagi hari. Selain kehadiran ramai rakyat, terdapat banyak kedai atau khemah menjual makanan, minuman, dan pakaian serta banyak lagi. Alhamdulillah, rezqi para peniaga bertambah berkali ganda berkat kemenangan perjuangan rakyat.

Motokar dan motorsikal menyebabkan lalulintas sesak setelah dipakirkan di bahu jalan. Ini kerana rakyat yang telah datang dari jauh yang bukan sahaja dari Selangor telah penuhkan ruang pakir yang disediakan. Bagaikan pesta melihat kereta banyak. Riuh-rendah.

Inilah Selangor Darul Ehsan. Sebuah negeri maju dibawah kepimpinan rakyat dan bukan kepimpinan keparat.

Selangor Bersih, Maju ,dan Berkebajikan.

Isnin, 31 Mac 2008

Malam ini...


Himpunan Rakyat
31 Mac 2008
8.00 malam
Stadium Malawati, Shah Alam
Pidato dari TG Haji Hadi, Khalid Ibrahim, Nasharuddin, Hassan Ali, dan Teressa Kok.

Gila: Presiden Sampai Mati

Begitulah kehendaknya, Samy Vellu yang mahu menjadi Presiden sampai mati. Katanya “Saya akan menerajui MIC sampai mati, saya tahu, ramai yang hendak tengok saya mati awal tetapi disebabkan orang seperti ini, saya tidak akan mati awal, saya telah menetapkan tempoh saya (untuk terus mengetuai MIC),” katanya.

Kata-kata keangkuhan yang menafikan bahawa beliau boleh mati lambat awal adalah tidak logik. Mengapa beliau begitu? Jika tidak kalah dalam pilihanraya beliau tidak kalah, memang beliau akan menyatakan beliau ialah menteri sampai mati juga. Namun, kerana kekalahannya beliau inilah pula katanya “Jawatan menteri ini tidak ada apa-apa sebenarnya,”.

Jika jawatan menteri itu tidak ada apa erti, mengapa beliau bermati-matian ingin terus bertanding. Pemimpin BN memang ada antaranya yang gila jawatan. Gila jawatan menteri, gila jawatan menteri besar, gila kerusi parlimen dan ADUN dan banyak lagi. Penyakit gila seperti ini adalah benar dengan sabdaan Rasulullah SAW bahawa umat akhir zaman akan terkena penyakit Al-Wahn(cinta dunia dan takut mati).

Apakah Samy tahu bahawa kenyataan ingin menjadi presiden sampai mati adalah perkara gila? Jika ditakdirkan Samy hidup 100 tahun atau satu abad, apakah dia akan menjadi presiden paling tua di dunia? Dengan tua nyanyok atau alzheimer berupayakah menjadi presiden? Inilah sepatutnya orang yang digugurkan sebarang jawatan dari awal kerana mempunyai nafsu jawatan dan pangkat yang buas malah gila.

Lebih baik Samy menghabiskan usianya menjadi sami di kuil daripada ber'perang' untuk kekalkan jawatan presiden itu. Sekurang-kurangnya jika beliau menjadi sami, beliau tidak akan sakit hati dan disakiti hati. Itu lebih baik. Tidak dinafikan memang ada golongan yang bukan dari pengaruhnya sentiasa menjadi sayap kiri dalam masyarakat India yang mana tidak suka kepadanya. Mungkin ada sebab yang rasional mengapa Samy itu dibenci haruslah ditanya kepada masyarakat India khasnya.


Kita perlu mencari ubat untuk melawan penyakit 'gila' yang ada pada pemimpin BN. Andai tiada ubat, maka mereka akan gila sampai mati seperti yang disebutkan di atas.

Ahad, 30 Mac 2008

Surat Kepada Haji Hadi


YB Tuan Guru Haji Hadi Abdul Awang
Presiden PAS

YB Datuk Seri,

Alhamdulillah ALLAH Taala yang memiliki seluruh alam semesta serta sekalian kerajaan langit dan bumi telah memakbulkan doa dan munajat kita.

Setiap butir air mata umat yang telah gugur selama ini telah semakin terjawab sebahagiannya. Berkat kepimpinan YB Datuk Seri, antara apa yang kita ikhtiarkan dan hajati selama ini dengan apa yang tersimpan 'di atas sana' buat kita.

Bagaikan bersamanya paksi Ka'abah dan Baitul Makmur, maka bersahut jualah akhirnya persamaan tu dalam pilihanraya pada 8 Mac 2008 lalu.

Antara hajat di bumi dan takdir di langit yang tersusun rapi dalam satu persetujuan itulah kita kini sedang sama-sama tunduk, mengisi sebuah kesyukuran justeru terlalu khudu' menerima ujian kemenangan.

Tahniah yang sejujurnya buat Datuk Seri dari saya.

Dalam meneruskan fasa perjuangan berupa pengisian di negeri-negeri 5+1, saya masih terasa akan perlunya kita untuk berhati-hati.

Terkini, setelah membaca dan mengikuti renatak respons rakan-rakan pimpinan kita di dalam PAS dan BA pada umumnya, yang mengatur langkah apa yang dinamakan sebagai 'era pembaharuan 100 hari', mungkin ada baiknya kita menyegerakan langkah mewujudkan badan penyelaras peringkat pusat.

Ia wajar berfungsi sebagai badan penentu keutamaan program bertindak mengisi perlaksanaan manfiesto 'Negara Kebajikan' mengikut marhalah di negeri-negeri dikuasai pembangkang.

Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiakan. Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan saja buat sementara waktu.

Dalam keghairahan menerima kemenangan, kita perlu cermat di sini. Sesungguhnya, ini saya kira teralu penting kerana kehadiran kita terkini cukup diikuti oleh seluruh lapisan rakyat dan seteru kita.

Buat diri saya sendiri, InsyaALLAH; saya akan lebih berhati-hati untuk mendokong roh kesedaran ini.

Semoga keadaan kita yang saling pesan memesan ini akan sentiasa dipimpin oleh petunjuk dan keredhaan dariNYA jua.

Wallahua'lam.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan