Follow je lah..

Jumaat, 30 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین- ٨

Bagaikan menyedari diri berlumpur dengan dosa yang umpama najis bagaimana ingin menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Dalam keadaan hati yang cukup kotor berdaki dan busuk menyengit, sudah pasti tiada siapa pun yang mahu berkehendak berjumpa dengan manusia yang seperti itu.

Maka begitulah, sebelum kita pulang ke akhirat untuk bertemu Tuhan, maka awal-awal lagi di dunia ini kita perlu membersihkan diri kita. Umpama mencuci baju yang asalnya putih tetapi telah legap dengan lumpur. Mestilah disental sekuat-kuatnya baju itu supaya hilang segala kekotoran itu.

Bagaimana membersihkan dosa jika tidak dengan taubat? Sebagai seorang hamba betapa perlunya dia bertaubat dalam setiap saat. Ini kerana pada saat yang tidak diduga, dia mungkin dipanggil pulang. Pulang ke alam barzakh sebelum bertemu syurga atau neraka.

Dalam sebuah hadith yang mahsyur, sabda Nabi Muhammad S.A.W., "Kubur itu boleh menjadi taman dari taman Syurga atau jurang dari jurang api neraka."

Bersihlah dirimu dari dosa sebelum ia menjadi tiket untuk kita menjejak kaki ke neraka ALLAH. Sebuah tempat yang palimg tidak diingini tetapi di situlah laluan yang mudah ke arahnya. Jadikan taubat sebagai penyelamat dari terus ke sana.

Biarlah baju itu koyak demi membersihkan kekotoran yang degil akibat kuatnya disental. Hanya baju yang putih berseri dan bersinar layak untuk mengadap ALLAH yang Maha Mulia. Semoga ALLAH membuka hidayah kepada pintu hati kita.

Khamis, 29 Mei 2008

Lupakan Ezam, Ini Grand Saga

Berita Ezam sudah kecoh dalam berita dan blog di Malaysia. Hakikatnya isu itu hanyalah seorang lelaki yang mahu bertukar parti atas pandangan peribadi. Beliau yang beralasan pertukaran atas sebab dasar, itu adalah pandangannya yang harus dihormati.

Media UMNO cukup seronok menceritakan kisah Ezam berbanding kisah Grand Saga. Grand Saga ialah sebuah syarikat yang bertindak dengan tindakan tidak menghormati rakyat. Maka kes rakyat ialah kes lagi besar dari individu yang mahu bertukar parti.

Bandar Mahkota Cheras (BMC) berdarah. Grand Saga yang dipercayai bermain kotor telah mengupah beberapa gangster untuk memukul rakyat Selangor. Gangster itu telah diupah RM100 seorang bertujuan untuk mempertahankan tembok agar tidak dialihkan rakyat.

Saksikan video ini:



Kesannya beberapa rakyat cedera parah kerana ada dipukul dengan topi keledar dan kayu. Mungkin juga ada sebilangannya dipukul oleh FRU. Namun kita kagum, rakyat sanggup mempertahankan haknya dengan darah dan keringat.

Sesungguhnya tembok penghalang itu tidaklah ringan. Tetapi pepatah melayu ada mengatakan, yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Kerajaan Selangor memandang serius hal ini dan mengarahkan siasatan kepada Grand Saga. Mesyuarat tergempar berhubung isu ini bakal diadakan.

Rakyat berhadapan dengan gangster dan FRU. Ujian getir buat pemimpin yang adil menyelesaikan hal ini samada buat Ezam ataupun pemimpin lain. Akhirnya, Menteri Besar Selangor memberi janji bahawa tembok penghalang itu kelak akan jua dialihkan dalam tempoh dua minggu.

Gambar-gambar gangster boleh dilihat di sini.

Rabu, 28 Mei 2008

Tempelak Islam Hadhari

Selangor telah mengharamkan Islam Hadhari. Segala program yang mempunyai unsur Islam Hadhari tidak akan dibenarkan. Oleh itu, mana-mana kelab Islam Hadhari di Selangor juga wajib dibubarkan serta merta. Kepada Imam yang membaca teks khutbah berkaitan Islam Hadhari akan ditarik tauliahnya. Ini amaran tegas.

Sesiapa yang tidak faham atau dangkal ilmu kefahaman Islamnya, mungkin membantah keputusan ini. Mungkin mereka menganggap kerajaan Selangor sudah keterlaluan dan sanggup mengharamkan benda yang 'baik' kerana perbezaan politik. Sedangkan bagi mereka, Islam Hadhari itu adalah baik dan usahlah dipertikaikan samada Islam Hadhari atau Hadharatul Islam.

Selangor mengharamkan Islam Hadhari dengan menaikkan Islam. Islam yang dibawa oleh Rasulullah itulah pegangan hingga ke hari Qiamat. Kerana Islam lah yang membawa kemuliaan dan meningkatkan tamadun manusia.

Jika mereka mengatakan 'Islam Hadhari' adalah pendekatan semata-mata, lupakan ia. Pendekatan kita adalah pendekatan Islam. Bukan Islam Hadhari, Islam laberal, Islam plural, dan Islam sekular. Hanya satu disisi ALLAH, iaitu Islam.

Imam Hadhari ditemplak kerana pengharaman ini. Beliaulah yang menggagaskan Islam Hadhari. Islam Hadhari idea Dolah itu telah mencalar Islam dan menambahkan kecelaruan. Mereka mahukan pembangunan dan kenaikan ekonomi ala hadhari, tetapi mereka menolak intipati sebenar Islam.

Tamatlah riwayat Islam Hadhari di Selangor. Bakal menyusul pula di Pulau Pinang. Inilah ketegasan dalam membawa Islam yang sebenar yang tidak dijuzuk mengikut kehendak mereka. Kita serius dalam membawa Islam dan tidak ingin menambahkan lagi keserabutan masyarakat untuk memahami apa pula Islam Hadhari itu. Cukuplah untuk umat Islam mengetahuidan mempelajari silibus Islam dan bukan silibus Islam Hadhari.

Selasa, 27 Mei 2008

Umrah Wida' Tuan Guru

Mungkin ini adalah Umrah Wida'(terakhir/selamat tinggal) bagi Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau yang kini berusia 77 tahun masih tegap dan kuat memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kelantan. Jika dibandingkan umurnya dengan umur Mahathir, Tuan Guru lebih muda.

Personaliti Tuan Guru yang serba tawadhu' dan tenang mungkin menjadi salah satu sebab beliau kelihatan lebih matang dari Mahathir. Walaubagaimanapun, tulisan ini bukanlah untuk membandingkan beliau dengan Mahathir.

Umrah dan ziarah selama 15 hari benar-benar mengubatkan kerinduan Tuan Guru yang cukup lama tidak pulang ke 'kampung halaman' . Kesibukan dalam menjalankan tugas sebagai seorang Mursyidul Am dan Menteri Besar tidak menjejaskan kosentrasi beliau dalam melaksanakan ibadah umrah. Beliau mencari damai abadi.

Jemputan untuk menjadi tetamu ALLAH ke Baitullah adalah satu jemputan yang agong. Bukan semua orang mampu untuk menerima jemputan seperti ini sehinggalah ke akhir hayatnya. Bagi mereka yang berkunjung ke Mekkah, sudah pasti meletak jiwanya seperti pada waktu itu adalah waktu terakhir dalam hayatnya. Dalam doa yang terakhir sebelum meninggalkan kota Mekkah, tentunya " Ya ALLAH, mungkin ini umrah yang terakhir dalam hidup hamba Mu ini maka terimalah amalan dan taubatku sepanjang perjalanan ini."

Mungkin ada yang berteka-teki siapakah pengganti Menteri Besar Kelantan. Bagi PAS, siapakah bakal mnerajui negeri Islam ini adalah sesuatu yang amat penting. Sesiapa yang kelak ditaklif sebagai Menteri Besar Kelantan, ciri-cirnya sudah pun ditetapkan hanya pilihan mestilah tepat. Rakyat mendambakan penggantinya yang berwatak seiring watak Tuan Guru atau lebih baik. Kini Kelantan diterajui oleh pamangkunya Husam Musa.

Apabila tiba masanya, pasti Tuan Guru akan pergi jua. Inilah lumrah kehidupan. Jika ini ditakdirkan Umrah Wida' beliau, beliau telah menyaksikan kemenangan dalam lima negeri dan Islam kembali diterima serta PAS menerima sokongan yang padu. Satu detik yang manis. Namun tiada siapa yang dapat menjangakan bilakah waktunya untuk dia 'pergi' walaupun dirinya sendiri. Cuma beribadatlah seperti kamu akan mati esok hari.

Isnin, 26 Mei 2008

Ezam Akan Berubah

Pelbagai berita dilaporkan terutama dari media UMNO berhubung bahawa Ezam (orang kuat Keadilan ketika dahulu) akan menyertai UMNO. Merka cukup teruja melaporkan. Malah menurut mereka, Ezam juga telah bertemu dengan kepimpinan utama UMNO bagi membincangkan hal ini. Cuma Ezam sahaja yang kini belum lagi membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Selepas Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan pada seawal-awal pembentukan Parti Keadilan, Ezam ialah diantara orang yang dipercayai dan penggerak dalam pergerakan parti Keadilan. Jelas ketika itu matlamat dan perjuangan Ezam sudah jelas yang tidak mahu berkompromi dengan penyelewengan dan kezaliman.

Namun, sejak PRU-12 lagi, Ezam seolah-olah sudah menurunkan 'gear' politk pembangkang nya apabila kelihatan kurang menyerlah dalam media ataupun ucapan. Sedangkan, kelebihan beliau ialah beliau seorang yang petah berhujah dan berpidato menyebabkan dirinya mudah dikenali oleh masyarakat yang berpontensi besar untuk dimanfaatkan.

Tiada siapa yang tahu akan agenda Ezam sekiranya beliau memasuki UMNO kecuali dirinya. Apakah beliau ingin membawa perubahan dari dalam atau sudah berubah pendirian hanyalah dibawah perancangannya dan ketentuan Ilahi. Beliau pun sudah maklum dan tahu bahawa UMNO bukanlah pilihan terbaik bagi rakyat.

Sungguhpun demikian, selagi mana tiada kata putus darinya, tidak wajar bagi kita membuat keputusan lebih awal bagi pihaknya. Malah PAS juga dalam kenyataan Husam ada menyeru Ezam untuk beserta dengan PAS.

Kemana Ezam selepas ini tetap signifikan. Barangkali ini adalah strategi darinya untuk menyempurnakan cita-citanya. Pastinya, dengan harapan beliau tidak akan gelap mata dan hati dalam membuat keputusan itu.

Bagi Pakatan Rakyat, hilang tumbuh patah berganti. Keilangan Ezam mungkin dirasai tetapi sesekali tidak merencatkan gerak kerja parti Keadilan khususnya. Suasana politik yang tidak stabil dewasa ini membayangkan segala sesuatu boleh berlaku dengan tanpa disangka-sangka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan