Follow je lah..

Jumaat, 8 Februari 2008

Sambutan MISA, kemanakah?



Malaysia International Space Adventure (MISA) yang diadakan di Persint 5, Putrajaya bagaikan tidak bermaya. Dari jauh tidak kelihatan orang ramai yang keluar masuk sebaliknya hanya sebilangan buah kereta yang terpakir 50 meter berhampiran pameran ini. Sekalipun dilihat, sambutan terhadap program angkasawan amat menggalakkan, tetapi MISA adalah sebaliknya.

Kita sedia maklum promosi yang digerakkan tidaklah kurang hebat, dari laman sesawang sehinggalah iklan di dalam akhbar berterusan memberi maklumat berkaitan pameran ini. Manakala, dari segi tempat pameran ini tidaklah terlalu jauh sebaliknya terletak di dalam kawasan Putrajaya dan berhampiran dengan PICC.

Pameran berlangsung dari 15 December 2007 sehingga 16 March 2008. Sehingga kini pameran sedang berlansung cuma jumlah pengunjung mungkin sedikit. Apakah ini disebabkan oleh bayaran tiket yang agak mahal? Dewasa RM38 dan kanak-kanak RM23. Mungkin ada benarnya. Harga yang mahal ini jika dijumlahkan untuk sebuah keluarga boleh mencecah lebih seratus ringgit.

Jika mungkin ada sebab lain yang anda tahu atau ingin berkongsi pengalaman anda yang pernah melawat ke sana, silalah berkongsi bersama.


(keadaan pengunjung yang hambar)

Khamis, 7 Februari 2008

Baktisiswa Kepada UMNO

Menyelam sambil minum air atau mengambil kesempatan?

Baktisiswa yang giat dijalankan di kebanyakan kampus telah dikenal pasti sebagai medium untuk menjayakan kempen pilihanraya. Sungguhpun pada dasarnya aktiviti ini diadakan untuk mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat melalui kerja-kerja murni, tetapi sesetengah dari mereka yang tidak bertanggungjawab, telah menyalahgunakan mahasiswa untuk kepentingan parti mereka kelak.

Perkara seperti ini bukanlah yang pertama, sejak dari Menteri Pengajian Tinggi terdahulu sehingga sekarang, jelas menggunakan mahasiswa sebagai salah satu strategi untuk mengambil hati rakyat bagi meraih undi. Pihak-pihak tertentu akan cuba mengambil kesempatan dengan menerangkan kesetiaan untuk parti merka dan memburukkan pihak yang lain. Mahasiswa yang kurang berfikir panjang, pasti akan menerima sahaja apa yang disampaikan secara bulat-bulat.

Seterusnya, penerangan yang diberikan ini akan disebarkan kepada penduduk kampung terbabit pula. Ini bererti kempen-kempen pilihanraya dijalankan secara 'senyap' kepada penduduk kampung ke rumah-rumah melalui mahasiswa. Inilah yang dikatakan sesetengah mahasiswa diperalatkan untuk berkempen dalam program baktisiswa.

Seharusnya, dalam menjayakan aktiviti ini, pihak politik seperti menteri contohnya, tidak wajar menjadikan diri seolah-olah tuan rumah kepada kawasan itu atau penganjur Baktisiswa. Biarlah matlamat Baktisiswa ini tercapai dengan jayanya. Andai ada yang menggunakan mahasiswa untuk sebagai bahan membersih kampung, potong rumput, cat dinding, dan sebagainya untuk strategi kempen, maka amatlah dikesali.

Hakikatnya, mahasiswa terikat dengan perintah dari HEP. Apa sahaja yang diarahkan, secara normal mahasiswa akan mengikutinya. Sedangkan HEP pula kini sentiasa seiringan dengan perjuangan UMNO. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku jika mahasiswa bergerak atas nama mahasiswa sendiri. Dari mahasiswa untuk mahasiswa.



Rabu, 6 Februari 2008

Jangan Lupa Jasa BN

Dari beberapa hari yang lepas dalam sebuah akhbar utama sebuah artikel bertajuk 'Jangan Lupa Jasa BN' telah diterbitkan untuk bacaan ramai. Pemerintahan di bawah kuasa BN sudah menjangkaui 50 tahun. Jika diibaratkan dengan seorang pekerja, jasa pekerja itu terhadap khidmatannya selama 5o tahun sangatalah banyak. Ini bererti separuh abad dalam hidupnya telah mengabdikan diri kepada kerjaya pekerja itu.

Setelah BN melalui 50 tahun, kejujuran dalam memberi khidmat kepada rakyat dipertikai. Mungkin pada permulaan pemerintahan agak memuaskan, tetapi setelah masa berlalu, BN semakin tempang akibat daripada kepimpinan yang penuh masalah.

Sungguhpun kini BN melalui satu masa yang agak sukar, namun media-media utama seperti RTM1, RTM2, TV3, Utusan Melayu, Berita Harian, dan banyak lagi menjadi hijab kepada segala ketempangan BN. Setelah media dikawal, maka maklumat yang akan diterima oleh rakyat bersifat terhad dan kurang jelas. Malah, tatkala pilihanraya semakin hampir, media akan turut sama menjadi lidah BN bersama berkempen. Dalam perkara ini, bagi mengelakkan media sebagai berat sebelah, sekali sekala, paparan berkaitan BA akan disiarkan juga tetapi peratusnya adalah kerdil.

Tekanan BN terhadap rakyat dari pelbagai aspek seperti media, polis, permit, dan kakitangan kerajaan sebenarnya menambahkan lagi kekeruhan pilihanraya dan mengekang demokrasi. Inilah jasa yang kini patut dilupakan oleh rakyat. Dibawah kepimpinan BN, beberapa persoalan ini harus diiringi ketika memikirkan jasa BN dan kesemua isu-isu ini wujud ketika pemerintahan BN:

1.Islam Hadhari:
Kini Islam Hadhari yang dilaungkan hanya jelas lihat pada soal ilmiah, Perkampungan Hadhari dan sebagainya. Soal aplikasikan Islam dalam sistem hampir tiada contohnya kilang arak dan kandang babi dibela rapi. Umat Islam terasa tertekan oleh kerana kemungkaran masih banyak seperti kes maksiat. Nasihat Mufti berkaitan isu murtad tidak diendahakan dan nyata Ayah Pin sehingga kini belum ditemui.

2.Chua Soi Lek:
Selepas beliau mengaku bersalah, kabinet BN tidak memberikan sebarang tindakan tatatertib seperti pemecatan. Sebaliknya dalam tempoh 24jam, beliau sendirilah yang meletak jawatan. Ini menunjukkah seolah pucuk pimpinan tidak tegas dalam hal etika seorang menteri. Manakala pihak media BN pula terus mendiamkan isu ini selepas bermulanya kes kehilangan Sharlinie.

3. Kelemahan JKR: Jambatan rosak, isu kulat di hospital, harga tol naik dan siling runtuh.

4. Pendidikan: Berkaitan yuran sekolah, PTPTN, dan biasiswa.

5. Kepenggunaan: Harga minyak, elektrik, dan barang naik. Kekurangan tepung, minyak masak dan sebagainya.

6. HINDRAF

7. IFC

8. Mahkamah: Kes Altantuya, video Linggam, dan Lina Joy.

9. Hiburan: Rancangan hiburan terlalu banyak seperti AF1sehingga 6,GangStarz, Malaysia Idol, Sehati Berdansa, One In A Million, Raja Lawak Astro, Jom Heboh, Mentor, Hitz 1, Bintang RTM, Anugerah Juara Lagu, AIM, dan lain-lain lagi.

Saudara, masih banyak lagi yang hendak kita ketahui untuk memikirkan jasa sebenar BN ini. Dari segi rasuah dan korupsi memanglah terlalu banyak. Ini terlibat kes pembelian kapal selam umpamanya. Silalah membongkar sendiri dan usah diri diselebungi misteri.

Selasa, 5 Februari 2008

RM 70 juta kempen tutup aurat

Kerajaan Kelantan (PAS) yang telah membelanjakan sebanyak RM70 juta adalah satu usaha yang tepat dilakukan. Biarpun nilainya tinggi tetapi pulangannya adalah untuk dunia dan akhirat. Agak jarang dilihat mana negeri yang berusaha menjayakan kempen ini selain negeri Kelantan.

Jika anda berpeluang berjalan di negeri tersebut, usaha kempen menutup aurat dapat dilihat. Kebanyakan papan tanda iklan yang kebiasaannya memaparkan perempuan tidak bertudung, tetapi di Kelantan gambar perempuan ini telah ditambah dengan menutup aurat perempuan tersebut. Begitu jugalah dengan paparan iklan Celcom, gambar pemain bola yang berpakaian seluar pendek telah ditambah dengan seluar panjang.

Usaha yang dipuji ini turut dikecam oleh orang tertentu yang menyifatkan peruntukan RM70 juta itu sebagai pembaziran. Sebenarnya, perkara yang memberi manfaat kepada rakyat di dunia dan akhirat lebih lagi tidak dianggap pembaziran. Kempen menutup aurat adalah langkah awal bagi membendung jenayah sosial seperti rogol, zina, dan sebagainya. Sekiranya aurat ditutup, maka pandangan mata akan lebih terkawal. Ini kerana, dari mata akan melahirkan ransangan yang mungkin mencetus kepada nafsu syahwat.

Jika dikatakan juga kempen seperti ini adalah pembaziran, maka perlulah dinilai kembali akan projek-projek negara yang memakan berjuta dan berbilion ringgit. Seperti projek Litar Sepang, TTI, dan Putrajaya adakah membawa pulangan kepada rakyat. Sedangkan kini, masih ada rakyat yang memerlukan wang untuk perubatan dan kesihatan, pengajian, dan membina rumah.
Rancangan Bersamamu (TV3) adalah antara rancangan yang sepatutnya ditonton oleh pemimpin rakyat terutamanya supaya mereka sedar akan masih ramai rakyat yang memerlukan bantuan kewangan. Sikap perihatin sepertimana Saidina Umar yang mengasihi rakyatnya sudah tidak lagi diamalkan oleh kebanyakan pemimpin .

Kebiasaan di Malaysia, setiap kali berlaku kes rogol, atau rogol dan bunuh, dan seumpamanya maka media sering menggemparkan isu-isu ini. Tetapi segalanya sudah terlambat apabila nasi sudah menjadi bubur. Seharusnya media bertindak lebih awal dengan mengurangkan rancangan yang mendedah aurat dan menggerakkan kempen menutup aurat. Kita pasti tidak mahu melihat peristiwa Canny Ong, Noor Suzaily Mukhtar, Nurul Hanis Kamil dan lain-lain berulang lagi . Demi keseljahteraan rakyat, sahutlah seruan kempen ini dan bergabung tenaga. Dan bersama kita berlindung kepada ALLAH, janganlah pula ia berlaku kepada orang yang terdekat daripada kita.

Ahad, 3 Februari 2008

Terengganu Juara Bina Masjid


Biarlah Terengganu menjadi juara dalam mendirikan masjid terbanyak berbanding dengan negeri lain. Hulubalang negeri itu, Idris Jusoh bagaikan cukup teruja apabila berjaya melaksanakan impiannya membina 62 buah masjid di bawah penggal pemerintahannya (BN). Kemudian ditambah lagi dengan projek Taman Tamadun Islam (TTI) RM2.5 juta yang dibina tersergam indah di Pulau Wan Man memembuktikan bahawa betapa kerajaan negeri kepimpinannya bersungguh dalam memajukan negeri tersebut.

Barangkali inilah negeri Islam contoh kerajaan BN yang dijanjikan. Masjid akan dibina lebih hebat dan banyak. Jika difikir dengan teliti nilai RM2.5 juta adalah satu nilai yang banyak malah wang sebanyak itu masih diperlukan oleh rakyat. Adakah wajar wang yang sebanyak itu dilaburkan dalam industri pelancongan semata-mata? Sekiranya tindakan ini tidak wajar, lama-lama kelamaan tempat perlancongan seperti TTI akan memberi kerugian kepada kerajaan oleh kerana sambutan yang dingin.

Sekalipun banyak masjid dibina, kehadiran muslimin ke masjid kurang memuaskan. Lihat sahaja masjid-masjid tersohor di Malaysia seperti Masjid Negara, Masjid Putrajaya dan sebagainya, bilangan para jemaah adalah terlalu kecil. Maka kesungguhan kerajaan masih tidak tercapai sekiranya kerajaan tidak pula menyeru rakyat dan dirinya untuk mengimarakkan masjid setelah masjid yang indah dibina.

Sekiranya kita lihat secara rambang masjid di Terengganu, terdapat juga sebahagian masjid yang memerlukan peruntukan untuk membaik pulih kemudahan-kemudahan seperti Masid Kuala Ibai. Masjid yang telah dibina perlulah diselia dahulu dan janganlah terburu-buru untuk membina masjid baru. Strategi BN-Terngganu ialah memastikan hati rakyat terpikat apabila masjid banyak dibina dan jelas ketika ini perlancaran TTI di dalam bahang pilihanraya.

Masjid yang dibina oleh BN adalah untuk menarik hati rakyat agar terus mengekalkan kuasanya dan memajukan industi perlancongan dan bukan lagi sebagai syiar Islam serta menambahkan lagi keimanan rakyat. Biarkan masjid banyak tetapi kurang jemaah adalah satu kesilapan. Kesilapan ini tidak akan berlaku jika BN terus mengajak rakyat memanfaatkan masjid.

Hakikatnya, ada masjid yang telah diikat hidungnya. Majlis Ilmu dipantau dan beberapa guru agama digantung kerana berbeza pandangan politik. Bukan setakat itu, di Terengganu jugalah Masjid Bujal, Kemaman dirobohkan. Penghinaan dan kezaliman terhadap umat Islam ini tidak dapat menutup pekong di dada mereka sekalipun terbinanya Masjid Kristal yang menjadi kemegahan . Biarlah Tuhan yang memberi pengajaran.


"Di antara tanda-tanda dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megah dalam mendirikan masjid"
(Hadith Riwayat Nasaie)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan