Follow je lah..

Jumaat, 9 Mei 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین-٥

Perpisahan yang sebenar ialah apabila kita diasingkan ahli syurga dari ahli neraka. Perpisahan itulah yang meletakkan dua darjat, iaitu darjat syurga dan darjat neraka. Ahli syurga dan ahli neraka yang berpisah tidak akan mempedulikan lagi sesama mereka kerana ketentuan telah ditetapkan oleh Tuhan.

Apabila jasad disemadikan di dalam perut bumi, itu hanyalah perpisahan yang sementara. Hanya amalan yang boleh menyatukan dua insan yang telah berpisah selepas kematian. Jika ada anak atau ahli keluarga yang ditinggalkan, dan ketika itu kita telah mati, kita tahu bahawa mereka berada dalam kesedihan dan ada juga yang menangis.

Namun tangisan dan kesedihan adalah sementara. Apabila suria terbit dari timur, maka bumi bercahaya kembali mengganitkan kegelapan. Harta milik kita telah diagihkan, nama digugurkan dalam senarai jawatan, dan yang tinggal hanyalah gambar yang di simpan di dalam almari.

Sayang sekali harta yang banyak tidak dapat menemani kita di alam perpisahan itu. Tiada hiburan dan tiada rakan taulan yang dapat mengisi masa lapang kita di alam perpisahan itu. Mengharap hanya kepada doa anak dan amalan kebaikan yang telah diajar atau harta yang telah dilaburkan untuk saham akhirat.

Kita yang mati, dihantar ke sebuah alam yang lain. Bukan kita yang mahu meninggalkannya tetapi kitalah yang ditinggalkan selepas tamat majlis pengkebumian. Perlahan derap tapak kaki meninggalkan rumah baru kita lalu mereka makin lama hilang dari pandangan. Suasana di atas kubur kembali menjadi sunyi dan sepi.

Bilakah kita akan bertemu lagi di saat ini? Kita sentiasa mengharapkan pertemuan untuk kita hidup kekal selamanya. Kita hendak bertemu dan bertanya khabar disamping menikmati hidangan yang tidak pernah kita dapati di alam kehidupan sebelum ini. Pastikan tiba saat itu pada masanya. Nantikanlah.

Khamis, 8 Mei 2008

Prihatin Tuan Guru


"Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh."
________________________________


8hb Mei 2008/ 2 Jamadil Awwal 1429

YM. Raja Petra Raja Kamarudin

Warkah Simpati dan Pengiktirafan

Saya menerima berita mengenai nasib tuan yang dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 dan kini ditahan reman dalam penjara Sg. Buloh sehingga kes disebut di mahkamah pada 6 Oktober 2008 dengan penuh kesedihan.

Bagaimanapun, jauh di hati saya, saya masih terasa kagum kerana di sana masih ada seorang sehebat tuan yang cekal mempertahankan apa yang difikirkan benar.

Prinsip ini cukup selaras dengan dasar anutan Agama Islam kita yang sentiasa bertunjangkan amar makruf nahi mungkar.

Ia kebetulan disebut juga oleh demokrasi dan turut diperuntukkan di dalam perlembagaan kita di bawah perkara kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Soal bersalah atau sebaliknya; maka terlanjur tuan telah dituduh di bawah Akta Hasutan, maka ia terpulanglah kepada proses keadilan di mahkamah yang selanjutnya.

Sewaktu Nabi Allah Yusuf 'alaihissalam dikurung oleh pihak berkuasa di zamannya kerana fitnah, Yusuf berkata, "wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh."

Lantaran istiqomah Nabi Yusuf itu, Allah maqbulkan doa baginda lalu "menghindar Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Petikan dari Surah Yusuf Ayat 33 dan 34).

Selaras dengan perkembangan ini, izinkan saya turut bersama mendoakan tuan agar sentiasa dipelihara kesihatan dan keselamatan oleh Allah SWT.

Semoga yang benar itu akan terserlah jua walaupun harganya adalah pengorbanan. Selagi tuan benar dan kita semua benar di sisi Allah SWT, tuan dan kita pada amnya tidak perlu merasa khuatir.

Mari kita terus tabah, bersama dengan perjuangan demi menegakkan yang hak dan menolak kebatilan.

Salam perjuangan. Wassalam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Mursyidul Am PAS

Formula Murtad Berjaya

Ujian semakin hebat ketika ini. Ujian ke atas aqidah yang merupakan tunjang kepada segala perkara. Berapa ramai lagi menanti giliran seperti Tan Ean Huang ini jika masih wujud kelompangan dalam menjayakan misi dakwah.

Sorotan berita dari suatu sumber, Tan Ean Huang (perempuan agama Budha) ini memeluk Islam kerana perkahwinan dengan rakyat Iran, Ferdoun Ashanian. Setelah perkahwinan ini terbina, lelaki ini meninggalkan isterinya itu. Selepas itu, Tan Ean Huang berhasrat untuk keluar dari Islam (murtad).

Kalimah syahadah yang disaksikan akhirnya terbatal dengan mengikut ajaran agama asalnya. Setelah melalui siri perbicaraan yang panjang, mahkamah membenarkan permohonan Tan Ean Huang yang ingin murtad.

Aduh, luka Lina Joy masih belum sembuh kita dihiris lagi dengan berita ini yang mengoyakkan hati dan perasaan umat Islam. Ketika kesan Taufan Nargis di Myanmar sedang dirasai lagi, terasa sahaja bala itu boleh bila-bila sahaja menjengah ke kawasan ini.

Binasanya hidup jika murtad dipilih. Tetapi itulah pilihan Tan Ean Huang dan dia memeperolehinya. Mahkamah dunia kemenangan untuknya, mahkamah akhirat belum pasti.

"Mereka bertanya engkau tentang berperang dalam bulan haram. Katakanlah (Muhammad) : "Berperang dalam bulan itu berdosa besar. Perbuatan menghalang orang dari jalan Allah dan kufur kepadaNya , (melarang orang masuk) ke masjidil haram serta mengusir penduduknya adalah lebih dosanya di sisi Allah. Fitnah lebih besar dosanya daripada pembunuhan. Jika mereka mampu, mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sehingga kamu berpaling daripada agama kamu. Sesiapa yang murtad daripada agamanya dan mati, dia adalah kafir. Amalan-amalan (baik) mereka musnah di dunia dan akhirat. Mereka menjadi penghuni neraka yang kekal didalamnya."
Al-Baqarah:217

Seindah nama sahaja, itulah Siti Fatimah...yang hanya indah pada namanya. Nama itu yang bukan lagi layak baginya. Baginya ialah Tan Ean Huang seorang penganut Budha. Ya ALLAH, ampuni dosa kami.

Rabu, 7 Mei 2008

Selamat Datang Ke Penjara

Berani kerana benar, takut kerana salah. Laluan ke penjara adalah antara simpang laluan bagi seorang pejuang. Mereka yang berjuang melawan musuh yang bacul. Kerana kuasa ditangannya, dia berhak membuat sesuka hati atas kehendaknya.

Takut menghadapi kebenaran bererti benar membuat kejahatan. Kebenaran musuhnya kejahatan, kekejaman, dan kezaliman. Inilah azam Raja Petra (Raja Blog) yang dapat dilihat. Jika ingin bertarung, mari kita bertarung!

Raja Petra bukan sebarangan orang. Langkahnya ke penjara adalah langkah kesumat. Mencari keadilan dan demi menjulang nama baik Malyasia di mata dunia. Kes Altantuya usah disembunyikan lagi. Malaysia hilang imej baik kerana ini.

Shaaribuu yang kecewa dengan kelancaran proses keadilan adalah petanda bahawa sesuatu sudah tidak kena. Raja Petra memberi momentumnya. Impaknya kes Altantuya kembali hangat dan sehingga membakar telinga beberapa orang.

Laluan ke penjara untuk sesiapa sahaja. Tetapi bukan untuk peraba berkolar biru. Mungkin untuk para blogger lagi. Universiti Jeriji Besi melahirkan pejuang yang kental dan berani. Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, M.Manoharan, Mat Sabu, dan ramai lagi adalah lepasan Universiti Jeriji Besi. Yang menggerunkan nakhoda BN sehingga keris Panca Warisan tidak lut menikam dada pejuang.

Bukan kita yang menghumbankan neraka. Kerana mereka pasti akan menghumbankan kita ke neraka dunia dahulu. Neraka yang kekal adalah untuknya. ALLAH pasti menghumbankan orang yang zalim ke neraka.

Sokongan untuk Raja Blog agar terus cekal menempuhi detik-detik gelap di dalam sel. Banyakkan berdoa kepada Tuhan kerana dirimu dizalimi. Doa orang yang dizalimi maqbul oleh Tuhan. Jangan ingat pembunuh itu boleh lepas!

Nargis Myanmar Nangis

Myanmar bergegar. Ketika itu semua orang berasa takut melihat ribut yang ganas dan menggila merempuh segala satu yang berada di sekitar delta Negeri Myanmar. Ini termasuklah Yangon, Ayeryarwady, Bago, Mao, dan Kayin iaitu tempat terjejas teruk. Manusia, haiwan, tumbuhan, dan harta semuanya berterbangan ditiup kuat oleh Taufan Nargis.

Begitu banyak nyawa yang hilang dalam sekelip mata. pada tahun 1991, Bangladesh pernah kehilangan 138 000 nyawa kerana taufan. Tiada siapa yang dapat menyangka kedahsyatannya begitu rupa sehingga membunuh puluhan dan ratusan ribu nyawa manusia. Insan yang muda atau tua, sihat atau sakit, bala Tuhan tidak bermata.

Hari ini, anak kehilangan ibu bapa, dan ibu bapa kehilangan anaknya. Bekalan air dan elektrik serta laluan jalan terputus. Keadaan di sana seumpama kawasan peperangan ataupun sebuah kawasan yang diserbu oleh gajah-gajah yang naik minyak. Tiang tumbang, atap tercabut, cermin pecah, dan akhirnya rumah runtuh.

Ketika taufan bertiup kencang, kami tidak dapat mendengar suara apa-apa melainkan deruan angin sama seperti deruan enjin sebuah kapal terbang. Mereka yang terselamat berdiri di tepi-tepi dinding sambil berpaut pada besi atau seumpamanya. Masa itu degupan jantung sekencang taufan meniup. Kelihatan waktu itu gugusan angin bergerak seperti 'tentera-tentera' Tuhan meluru masuk kejalan-jalan lebar dengan bengis dan garang . Barulah kini kami tahu hanya Tuhan sebaik-baik tempat untuk kami berpaut.

Jika puluh ribuan mausia mati seperti khabaran, lihatkan mana mayatnya. Marilah kita mengambil iktibar. Hanya dengan seketika bala, deritanya bakal sepanjang zaman.

Barat(Acheh) sudah dan utara(Myanmar) pun sudah. Laut Cina Selatan ada di timur terbuka luas menanti tetamu yang tidak diundang. Malaysia yang halus seperti lidi, jika disepak ombak, hilang lenyap dari peta.

Selasa, 6 Mei 2008

Amy Rockers Sanjung Ulama'

Ku Di Halaman Rindu

Di tengah kepekatan malam
Berdiri aku di halaman rindu
Dihembus kenangan lalu

Menjelma seraut wajah
Sekuntum bunga yang pernah ku puja
Tapi layu akhirnya

Ingin ku tembus tembok silam
Dan membaiki kesilapan kita
Yang tiada kita rasa

Dahulu maaf tak bererti
Darah muda menguasai diri
Gitu mudah membenci

Ku di halaman rindu
Hanya berteman bunga yang layu
Ku di halaman rindu
Tiada harum tiada madu

Oh kesalku membeku di kalbu
Oh sayangku penawar rindu
Oh kasih ku hanyalah untuk mu

“Saya meminati tok guru dengan imej dan personaliti beliau sebagai seorang tokoh agama serta pemimpin yang hebat, kenapa harus takut dengan label-label yang berbau politik."
-Amy Otai Rock

Kalau Salah Tolong Tunjukkan

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah adalah payung kepada Negeri Perak melindungi rakyat dibawahnya. Kebijaksanaan dan keperihatinan yang disembah oleh Tuanku membuktikan Istana sentiasa peka dengan masalah negara.

Krisis yang telah selesai iaitu kes petukaran Jamry Sury, Pengarah Jabatan Agama Perak (JAIP) membuktikan bagaiamana kerajaan Perak menyelesaikan isu dengan baik tanpa ada sebarang konflik ataupun penderhakaan kepada Istana.

Kerajaan di bawah kepimpinan Nizar bersungguh-sungguh memastikan semuanya memberi kerjasama kepada pentadbiran negeri demi rakyat. Sungguhpun tidak didedahkan perkara sebenar kenapa Jamry ditukar, yang kita maklumi Jamry gagal memberi kerjasama. Jamry ditukar!

Lantas setelah ditegur oleh pihak Istana, dengan rasa rendah diri tanpa bongkak, Nizar sedia menarik balik perintah petukaran yang dikeluarkan. Nizar menghormati kuasa Sultan dan telah mengadap memohon maaf kehadapan Raja Muda Perak. Seterusnya Istana memberi jaminan dan memberi penyelesaian yang adil bagi kedua-dua pihak.

Jauh sekali bagi Nizar untuk memberontak atas perintah Istana yang bertentangan dengan arahannya. Tidak memboikot dan mengaku kesilapan diri. Andai ini kesilapan bagi Nizar, maaf dipohon. Selaku MB baru, kalau ada salah tolong tunjukkan.

Cerita ini mesti dijadikan teladan. Toleransi yang ditunjukkan bahawa kita orang Melayu berbudaya sopan. Siapa yang bersalah harus memohon maaf dan jadi iktibar bagi masa akan datang. Teladan ini adalah cerita teladan bagi Dolah dan pemimpin UMNO Terengganu khususnya jika mereka mahu membacanya.

MMMM...UMNO

Semangat bangsa Melayu tidak boleh dinafikan dan dihalang. Bangsa Melayu mempunyai sejarah dan hak mereka sendiri. Kehadiran UMNO pada awalnya adalah dilihat seperti wajar berteraskan intipati perjuangan mereka ketika itu yang mahu membela orang Melayu. Bagaikan tema UMNO 'Dulu, Kini, dan Selamanya'. Tetapi kini, UMNO sendiri sudah goyah. Selamanya, adalah tidak lagi.

Gerangan apa pula Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) yang ditubuhkan di Johor, kubu 'terakhir' UMNO itu. Formula menyatukan Melayukah? Lupakan sahaja jika ingin menyatukan umat Melayu dan ketuanannya dengan formula jika bukan formula Islam.

Kaum Aus dan kaum Khazraj mereka dahulu bermusuhan sebelum kedatangan Islam. Selepas kehadiran Rasulullah dalam hijrahnya ke kota Yathrib (Madinah), baginda membawa wacana pembaharuan baru. Itulah wacana Islam. Akhirnya, Aus dan Khazraj bersatu membentuk satu persaudaraan baru yang dinamakan golongan Ansorin. Mereka hidup aman dan saling bergantung antara satu sama lain serta berkasih sayang.

MMMM ini nampaknya ingin membela nasib orang Melayu dan apa bezanya mereka dengan UMNO? Tidakkah melakukan satu kerja yang bertindih? Jika begitu keadaanya, janganlah buang masa dan duit buat kerja yang sama. Apakah MMMM dibawah UMNO? Mungkin jawapannya ya, tetapi bayang-bayang UMNO itu sahaja disembunyikan. Ini kerana UMNO barangkali pada pandangan MMMM telah gagal memainkan peranannya.

Jika gaya MMMM sama seperti UMNO, membela melayu dan tidak menjadikan Islam sebagai teras, penubuhan MMMM tetap tidak berjaya dan hanya menambahkan lagi kekusutan orang Melayu sepertimana Islam Hadhari. UMNO lah yang mengkhianati bangsa. Lihat anak melayu sekarang di bandar-bandar. Mengecewakan. MMMM mesti selar UMNO sebelum berangan-angan hendak memuafakatkan Melayu.

Ahad, 4 Mei 2008

Barang Senang Naik, Gaji Susah

Sekarang ini seumpamanya tidak tahu mahu makan apa lagi demi menjimatkan wang pendapatan yang tidak naik-naik lantaran kenaikan harga barang. Makan nasi, beras naik harga, makan mee, mee pun naik harga, makan roti? Tepung gandum memang dah lama naik dan mamak roti canai pun sudah kaya-raya.

"Saya juga merasa dukacita dgn kenaikan harga runcit beras untuk 10 kg. minggu lepas saya beli beras jati tempatan dgn harga RM23,90mmsenalam saya lihat harganya RM28.00...saya terpakasa menukar keberas yg kurang baik dgn harga 24.00/10kg. disinilah saya melhat BN telah gagal untuk melawan kenaikan harga bagi membela nasib rakyat yg sejumlah besarnya adalah berpendapatan rendah. olih itu saya berharap rakyat sedar perkara ini dan sama-sama kita nilai kembali peranan BN ini."- Mamat

"Saya ebagai pemborong beras bumiputra islam ingin menyatakan harga beras yang ada sekarang tak kekal di jangka akan naik lagi minggu depan atau 2 minggu lagi dalam 1kg 20-30 sen lagi,ini di sebab kan bernas tidak mengeluarkan lagi beras tempatan 15% kerana kerajaan tidak benarkan bernas naik harga untuk beras tempatan,pengilang -pengilang padi swasta sekarang tidak keluar beras kerana mereka merasai harga beras munkin bole naik lagi ....bila nak reda aku rasa selagi bernas tak main kan peranan utama dia supaya memberi beras sebanyak munkin oleh pemborong ,selagi tu harga beras masih naik"- Pencai

Dua keluhan di atas adalah keluhan rakyat yang mungkin tidak dirasai oleh golongan elit seperti golongan atasan BN. Mereka yang hidup selesa dan mewah mana mungkin merasai setiap keperitan hidup golongan bawahan. Namun bagi mereka (pemimpin BN) hanya mampu berdegar-degar kononnya memperjuang nasib rakyat.

Inilah hadiah dari BN atas kejahilan pengundi BN juga. Permintaan gaji minimum RM900 telah ditangguhkan atau dalam bahasa pasar kita katakan "nanti dulu lah". Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terus melahirkan kehampaan atas penangguhan tuntutan mereka itu. Tanggal 7 Mei 2008 nanti, Parlimen sekali lagi akan mecatat sejarah apabila mereka berhasrat untuk mengadakan bantahan di sana. Tahniah.

Kata Dolah sambil memerli, MTUC boleh buat demostarsi walaupun 100 kali, tapi gaji tidak akan naik juga. Inilah ketegasan seorang Perdana Menteri dengan harapan moga-moga Dolah tahulah apa padahnya berkata demikian.

Pada masa yang sama, projek yang berjuta hingga berbilion ringgit boleh diluluskan dengan serta merta. Projek kereta api di Terengganu mencecah RM 990 juta dan isteri Khir Toyo di dakwa mengambil RM 9.9 juta dengan mudah diperuntukkan dan dihabiskan. Tetapi permintaan gaji minimum RM 900 ini, agak sukar diluluskan dan banyak pula karenahnya.

Kehidupan di kota raya jika berpendapatan RM 900 umpama cukup-cukup makan sahaja. Tetapi itupun 'Alhamdulillah'. Maka demikian rakyat boleh bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan jika diluluskan kerana sekurang-kurangnya kos hidup diringankan sedikit. Permintaan MTUC itu adalah permintaan rakyat Malaysia tetapi bagi mereka ia tiada keutamaan. Nanti dulu lah!..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan