Follow je lah..

Sabtu, 29 Mac 2008

Awas 240 Blog

Kemenangan pembangkang dalam PRU tidak dinafikan ia juga dibantu oleh saluran internet menerusi blog-blog yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Manakala Menteri Penerangan sekarang Sabery Chik dan yang terdahulu, Zam, mengiktiraf bahawa blog berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia amnya. Sekalipun BN mempunyai saluran media utama, tetapi media itu cukup ampuh dan kini diboikot.

Kesan ini dapat dirasai apabila saluran media perdana BN seperti RTM dan TV3 menyampaikan beberapa fakta yang tidak tepat dan tidak adil maka rakyat menolaknya. Keadaan RTM yang dahulu, kini, dan sekarang masih ditakuk lama tanpa ada reformasi kewartawanan telah memberi imej yang tidak baik kepada RTM. RTM haruslah memainkan peranan kewartawanan yang terbaik dan bukanlah menjadi media suruhan BN. Bilakah RTM ingin menjadi gah setanding dengan nama BBC, Al-Jazeera, dan banyak lagi jika tidak meledakkan reformasi kewartawanan.

Kesannya, serangan BN kepada pembangkang menerusi media ditepis keluar oleh kuasa dari internet. Alam internet yang luas seluas alam semesta menjadi medan bagi rakyat memperolehi maklumat yang seimbang. Orang yang waras sentiasa melihat baik dan buruk dan menilai manakah yang perlu diambil. Begitulah jua dalam dunia penyiaran, penonton akan mencari maklumat dan informasi dengan seimbang dari saluran media BN dan juga saluran jaringan internet seperti blog. Maka selepas itu penonton akan membuat penilaian yang manakah benar dan adil antara dua-dua sumber itu.

Blog yang terdapat dalam Malaysia ini yang kecenderungannya kepada politik terlalu banyak. Dari blog persendirian sehinggalah blog kumpulan ataupun rangkaian khas. Hasrat UMNO yang menubuhkan unit siber untuk memantau 240 blog 'pembangkang' pada waktu ini mencerminkan kegusaran mereka. Siapakah 240 blog itu? Jangan takut. Untuk mewujudkan politik sihat, blog-blog harus diberikan hak dan tidak disekat dalam era teknologi maklumat kini. Jika tujuan Unit Siber UMNO itu untuk menjawab blog yang tidak sehaluan mereka, ia dialu-alukan. Namun jika tujuannya adalah untuk meng'haram'kan blog-blog, maka UMNO harus berjaga-jaga.

Ambillah iktibar dari kekalahan. Mereka (BN) yang telah memanfaatkan media elektronik dan cetak untuk kepentingan diri sendiri telah kalah teruk. Jika mereka terus bertindak begini dan melampau lagi dengan pengharaman blog maka bertambah kalah lagi BN pada masa akan datang. Jika UMNO tidak membuat perkara keji, maka tidak mungkin di blog akan menceritakan kekejian mereka. Itulah konsepnya. Mustahil RTM akan menceritakan kekejian UMNO jika tidak tulisan di blog yang melakukannya demi memberitahu rakyat mana yang baik dan tidak baik.

'Barisan Blogger' tidak gentar dan tidak takut. Apabila datang kebenaran, maka lenyaplah kebatilan. Menyatakan kebenaran adalah tanggungjawab rakyat merdeka di sebuah negara demokrasi. Tetapi malangnya demokrasi sudah ditekan oleh UMNO dan kita tidak risau. Kerana sekarang adalah zaman kejatuhan UMNO. Keranda pun sudah siap untuk UMNO.

Jumaat, 28 Mac 2008

Keranda Siap, Kubur Disember Ini


Jika meludah ke langit pasti ludah itu akan terkena muka sendiri. Ludah beserta kahak dan darah itu terpaksa dijilat juga. Itulah perumpamaan kepada Dolah yang menerima perlantikan Ahmad Said sebagai MB Terengganu. Kononnya perlantikan MB itu tidak mengikut perlembagaan tetapi malang sekali Dolah lah yang tidak memahami perlembagaan dan masih tidak faham proses perlantikan MB bagi setiap negeri.

Setelah Yang Di-Pertuan Agong memanggil Dolah di Istana, Dolah tidak mampu untuk mempertahankan Deris menjadi MB Terengganu di hadapan Tuanku Sultan. Malah selepas sahaja Dolah mengadap Yang Di-Pertuan Agong, barulah Dolah membuat mesyuarat tergempar bersama MT UMNO yang mana dihadiri sama oleh Deris Penderhaka itu. Mesyuarat telah berjalan selama 4 jam, satu tempoh mesyuarat yang lama dan memenatkan. Perkara yang utama dibincangkan ialah penundaan tarikh pemilihan UMNO.

Seperti sudah dijangkakan, pemilihan UMNO pasti akan ditunda yang mana sepatutnya berlangsung pada pertengahan tahun ini. Inilah satu keputusan tidak waras dari orang yang tidak waras seperti mana Mat Taib yang memberitahu bahawa sekarang mereka berada dalam situasi tidak waras. Keputusan penundaan ini memberitahu kita bahawa UMNO telah memungkiri perjanjian tarikh, tidak menghormati ahlinya, dan yang paling besar ialah menanti bala lebih besar.

Apakah rasionalnya pemilihan UMNO itu ditunda? Benda baik seharusnya tidak boleh ditangguh-tangguh atau ditunda. Dalam keadaan yang parah dan berdarah, rombakan perlu dilakukan. Jika tidak, ini mungkin untuk UMNO mencari cangkul dan menggali kubur sendiri untuk dikebumikan pada bulan Disember. Sementara menantikan bulan Disember, UMNO akan menempuh lebih banyak polemik, huru-hara, dan ancaman. Ini kerana UMNO tidak dilihat mampu menyejukkan keadaan sebaliknya keadaan bertambah parah demi hari dan demi hari. Jelas, UMNO yang pada awalnya kehilangan beberapa buah negeri dalam PRU dan kalah teruk, sehinggalah sekarang menderhaka pula kepada Agong.

Mesyuarat MT UMNO selama 4 jam itu juga di dapati tidak membincangkan penderhakaan mereka kepada Agong. Tiada kenyataan selepas mesyuarat itu yang mana UMNO memohon ampun kepada Yang Di-Pertuan Agong atas penderhakaan dan perang terbuka mereka kepada institusi Istana. Inilah sejarah hitam UMNO paling besar yang tergamak menderhakai Istana kerana kepentingan mereka. Malah, Rosol(setiausaha Deris) mendedahkan bahawa mereka derhaka kerana arahan Dolah. "Kita tunggu arahan daripada Presiden. Apa saja yang presiden minta... apa yang dibuat sekarang pun adalah atas arahan Presiden".

UMNO sedang melalui waktu-waktu yang sukar. MT UMNO agak berat untuk mengungkapkan kepada Dolah agar melepaskan jawatan. Waktu yang sukar akan lebih sukar selepas ini. Serba serbi tidak kena termasuklah pemilihan kebinet, pemilhan MB, pilihanraya, pelaburan, dan sebagainya. Besi jika berkarat, dibiarkan lama akan bertambahlah karatnya. Ini adalah masa untuk ahli UMNO bersuara dan memberontak jika mahu selamatkan UMNO!

Rabu, 26 Mac 2008

Hilang Datuk

siasahdaily.

KUALA TERENGGANU, 26 Mac: Tiga pemimpin Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam telah ditarik balik gelaran mereka oleh istana Terengganu.

Menurut sumber yang rapat dengan istana, penarikan gelaran ketiga-tiga mereka itu berkuatkuasa serta merta.

Dalam pada itu, Datuk Muhamad Awang Tera (Chukai) telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Terengganu, satu jawatan yang tidak pernah wujud sebelum ini.

Sebuah NGO, Majlis Pemesyuaratan Rakyat Terengganu (Mampat) dan beberapa NGO lagi akan menganjurkan solat hajat di masjid Terapung, Kuala Ibai malam esok untuk memohon kepada Allah untuk keselamatan baginda Sultan Terengganu dan anakanda baginda yang menjadi Pemangku Raja.

Ia akan diadakan bermula sembahyang Isya secara berjamaah di masjid berkenaan dan bakal diimami oleh Iman Masjid Negara, Sheikh Ismail Al Hafiz.

Ulasan: Takutlah ALLAH, kerana ALLAH Maha Adil. ALLAH memberikan kemuliaan kepada sesiapa yang Ia ingini dan memberi kehinaan kepada sesiapa Ia ingini. Semoga pemimipin UMNO yang angkuh terutamanya akan mengambil pengajaran. Zaman kemegahan UMNO telah tamat.

Jakrakop Jusoh Tidak Tahu Salah

"Apakah dosa patik, Tuanku?" barangkali itulah katanya jika menghadap Sultan Terengganu kelak. Baling batu sorok tangan pula. Siapa yang mahu cerita aib diri jika diminta oleh kawan ataupun wartawan. Lebih baik berpura-pura tidak tahu apa salah diri dan mudah-mudahan dosa itu diampun.

Begitu berat kesalahannya. Blog di internet bagaikan sudah kekeringan 'air liur' untuk menyatakan kesalahan Deris, usahkan Deris membukanya. Ini kemungkinan Deris hanya membaca Utusan dan Berita Harian sahaja. Mana mungkin akhbar itu ingin memberitahu Deris apa salahnya. Daripada menceritakan kesalahan Deris, lebih baik menceritakan kesalahan parti barisan rakyat. Lebih baik Deris cerita salah PAS.

Jakrapob Penkair di Thailand dan Deris Jusoh di Terengganu. Jika lihat pada kesalahan mereka, kesalahan adalah hampir sama. Hina Raja. Bagi Jakrapob Penkair, undang-undang menghina Raja sudah tersedia untuknya dengan hukuman penjara 15 tahun . Tetapi bagi Deris pula dia tidak tahu salahnya kerana dia rasa dia tidak bersalah. Angkuh!

Rakyat sudah tahu yang Deris sudah bersalah. Bagi Deris jika ada keperluan untuknya meminta ampun, dia akan buat tetapi kalau tidak perlu tidak apalah kerana Deris hanya bersedia meminta ampun dan bukannya mahu meminta ampun.

Sukarnya dan kerasnya hati manusia apabila tidak dapat mencari kesalahan diri. Apakah Deris ingin Sultan yang ingin mendedahkan aibnya atau menemplaknya di dalam istana? Deris tidak suci dari dosa, cepat-cepatlah Deris bermuhasabah mencari salah diri, salah pada Sultan dan salah pada rakyat Terengganu. Acara muhasabah itu bolehlah diadakan di Masjid Kristal dengan diketuai Imam Rosol (setiausaha Deris).

Strategi Deris sudah dapat dilihat. Pada awalnya dia kata redha dengan semua keputusan Sultan tetapi apabila namanya tidak diwatikahkan, Idris menyorok di belakang 23 ADUN yang biadap itu dan memberi lampu hijau untuk 23 ADUN untuk memprotes Sultan. Maka '23 Sang biadap' inilah yang beriya-iya mahu Deris jadi MB sehingga sanggup menderhaka Sultan. Kunun-kununya Sang Biadap itulah mahu memilihnya menjadi MB dan bukan Deris yang hendak jawatan MB . Deris tidak bersalahlah kalau begitu, kerana Deris kununnya tidak menderhakai Sultan tetapi Sang Biadap itulah yang bersalah. Penyokong-nyokong Deris lah yang bersalah kerana memanggil Sultan dengan 'binatang'. Bukan Deris, sebab itu Deris tidak tahu salahnya.

Setelah Ahmad Said dilantik MB, mengapa baru kini Deris mahu minta ampun kepada Sultan, mengapa tidak awal-awal dahulu ketika Sultan sudah mula berat memilihnya sebagai MB. Deris boleh keluar dari Terengganu kalau tidak diampunkan Sultan. Jangan lupa, minta ampun juga pada rakyat dan pada Tuhan. Bukan Deris perlu minta ampun, tetapi UMNO juga perlu minta ampun secara terbuka.

Selasa, 25 Mac 2008

UMNO Lebih Biadap


MB sudahpun masuk pejabat MB atas titah baginda. Kini kita lihat apakah 23 'Sang Biadap' akan menjilat ludah mereka sendiri? Adakah Rosol and the gang akan letak jawatan? Kalau letak jawatan pun lagi bagus dan Sultan lagi senang hati. Tetapi kalau tidak letak jawatan, jilatlah air liur anda sendiri. Menjunjung Kasih Tuanku dan rakyat bersama Tuanku.Kami faham, UMNO lebih biadap, dari akar hingga ke pucuknya.Tak kan Melayu(kesultanan bukan UMNO) hilang di dunia. Insya ALLAH.

Hari Polis:Tabik Datuk

'Integriti Amalan Kita'
Demikianlah moto terbaru sekali gus memberi peransang dan meningkatkan lagi imej polis di negara kita. Polis Di Raja Malaysia seharusnya adalah satu pasukan yang disegani serta dihormati. Kecemerlangan, kecekapan , dan kemakmuran dibawa polis harus dihargai walaupun menghadapi seribu masalah setiap hari. Selamat Hari Polis yang ke 201 dan tabik 'datuk'!

Kepimpinan polis adalah kekuatan pasukan itu sendiri. Polis akan lebih cemerlang dan dihargai oleh masyarakat atas dedikasi mereka memikul amanah. Itulah integriti. Paling asas polis berupaya menolak sebarang bentuk rasuah dan salah laku. Jika keintegritian polis mampu dibeli oleh penyangak maka kucar-kacirlah negara dan imej akan tercalar. Tanpa mengira jawatan dan pangkat dalam kepolisan, mereka juga terikat dengan undang-undang negara sekalipun mereka adalah penguatkuasanya.

Rakyat menghormati polis dengan sebaiknya. Pasukan yang hebat adalah pasukan yang disegani oleh kawan dan lawan. Maka tidak wajar jika polis dicampuri urusannya oleh sesetengah pihak kerana ia umpama seakan nila setitik yang akan merosakkan susu sebelanga. Tindakan atau cubaan sebahagian 'orang politik' yang mencampuri urusan polis didapati digunakan untuk kepentingan politik mereka. Apabila perkara ini berlaku, maka perhimpunan rakyat umpamanya seperti BERSIH adalah seumpama perhimpunan haram yang cukup besar dosanya berbanding dosa merompak duit rakyat.

Polis adalah rakyat juga sepertimana kita tetapi mereka terikat dengan peraturan kepolisan. Sebagai sebuah badan Di-Raja, maka layak sebenarnya bagi polis untuk terus bebas menjaga keamanan dan tidak dibatasi dengan sempadan politik dan cengkaman orang politik. Sekarang sebaliknya pula yang berlaku apabila polis di Malaysia di kawal oleh 'menteri polis' . Natijahnya, segala gerak kerja polis akan berbau politik dan boleh menjerumus ke arah ketidak-adilan. Maka polis harus tegas dan lebih bijak sekiranya berhadapan akan situasi seperti ini.

Walaupun tenaga polis dikerahkan untuk kepentingan mereka, rakyat akan tetap menghormati polis sebagai badan yang elit selagi mana menjunjung kebenaran. Bagi rakyat, berani kerana benar dan takut kerana salah. Dengan itu, rakyat dan polis akan bersama menjaga keamanan dan kemakmuran.

Isnin, 24 Mac 2008

Apakah PM Mengikut Perlembagaan?

Bagaikan ketam mengajar anaknya berjalan apabila Dolah menyatakan Sultan tidak mengikut Perlembagaan jika memilih Ahmad Said sebagai MB. Sudahlah pilihannya Shahidan sebagai MB tidak berjaya, mungkin kali ini Dolah mahu betul-betul berjaya. Benarkah?

Siapakah yang telah banyak mengkhianati Perlembagaan Negara? Mengubah perlembagaan demi kepentingan parti mereka? Mengkhianati rakyat dan pilihanraya. Orang yang menegakkan kebenaran ditahan dan ditangkap serta di masukkan kedalam ISA. Menghalang untuk rakyat berhimpun. Inikah dikatakan mengikuti Perlembagaan?

Memusnahkan keadilan sistem kehakiman negara apakah itu mengikuti Perlembagaan? Membunuh Altantuya dan bersikap berkecuali dalam perbicaraan apakah mengikuti Perlembagaan? Mereka tidak layak untuk bercakap soal Perlembagaan Negara. Rukunegara berkata:
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN
Di dalam Rukunegara Keluhuran Perlembagaan adalah berada di tangga ketiga selepas Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Malah adik-adik yang bersekolah rendah pun telah menghafal Rukunegara ini dan dibaca setiap kali pada perhimpunan hari Isnin. Sebagai Memanda kepada Sultan, beliau sepatutunya lebih setia keapda Raja dan menjadi contoh kepada rakyat.

Sekiranya Istana menarik balik watikah, maka sesuatu yang tidak kena telah berlaku dalam Istana. Rakyat yakin Istana tetap bijak walaupun diberi tekanan yang hebat. Namun jika watikah terus diberikan kepada Ahmad Said, Dolah sekali lagi malu dan 23 ADUN akan letak jawatan. Benarkah mereka sanggup letak jawatan? Perkara ini adalah mustahil kerana dengan jawatan mereka mampu mengaut duit rakyat dan hidup kaya raya.

Ini juga adalah untuk survival KJ dan Patrick Lim jika Idris menjadi MB. Banyak sudah wang rakyat mahupun royalti rakyat yang telah mereka makan secara haram. Ingatlah, selama-lamanya harta itu tidak berkat dan akan musnah. Rakyat Terengganu haruslah menilai kepincangan hebat BN Terengganu ini. Agar kemudian hari kita tahu, betapa ruginya mengundi BN kerana kelak mereka akan berebut kuasa dan menderhaka kepada Sultan. Daulat Tuanku!

(kanan: Gambar Patrick Lim sedang di daulatkan)

Ahad, 23 Mac 2008

MB Terengganu?



Dia Kaki Gangster juga dan Kaki Emosi. Lebih jahat dari Yahudi. Tapi ini lah pemimpin produk BN. Jika BN ganti dengan BN, maka jahanam juga.

Kesetiaan Kepada Raja

Kalau tidak ada Sultan nescaya lenyaplah melayu di dunia ini (izin ALLAH). Apabila lenyap melayu barangkali tiadalah United Malay National Organization (UMNO) ini juga. Pelik tetapi benar, organisasi ini yang kununnya memperjuangkan melayu tetapi nama organisasi pun adalah dari singkatan Bahasa Inggeris bukan Bahasa Melayu. Ditambah pula UMNO ini lah yang membantah Sultan Melayu. Melayu jenis apakah UMNO ini?

23 'Sang Biadap' yang berhasrat memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar (MB) Terengganu yang dijangkakan pada waktu terdekat ini memalukan lagi kita sebagai orang melayu. Sang Biadap itu lupa kepada Rukunegara yang kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Inilah Sang Biadap yang barangkali harus dibuang negeri oleh Sultan sebagai pengajaran kepada yang lain.

Apa ada pada Idris Jusoh itu sehinggakan 'Sang Biadap' terlalu taksub kepada Jusoh? Kita perlu mengkaji dan menyiasat kenapa mereka benar-benar ter'gila-gila'kan Idris sehingga sanggup menkhianati Sultan. Rakyat Terengganu rata-ratanya bersatu hati mendaulatkan Sultan dan menyokong keputusan Sultan. Cuma segelintir Sang Biadap itu yang degil. Rakyat telah menaikkan kain rentang di sekitar Terengganu yang bertulis kata-kata sokongan kepada Sultan (tetapi beberapa jam selepas itu ditahan polis) sebagai sokongan. Kita yakin rakyat Terengganu waras dan bijak dalam menumpahkan taat setia mereka.

Sultan bukanlah betindak mencampur tangan melebehi batasan dalam politik terutamanya berhubung pemilihan MB. Sebenarnya, Sultan telah memainkan tanggungjawab mereka dengan adil dalam memastikan MB yang dilantik adalah benar-benar layak, amanah, dan wujud hubungan baik dengan Istana. Ini jelas dalam titah Raja Nazrin, MB adalah sebagai penghubung antara pihak Istana dan rakyat. Jika orang tengah ini tidak beberapa baik dengan Istana atau dengan rakyat, maka tidak mungkin seseorang itu dapat dilantik menjadi MB. Sultan adalah berkuasa penuh dan pantang dicabar!

Marilah kita bersama-sama bertepuk tangan melihat UMNO Terengganu sedang berkelahi sesama mereka. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah akibat jika bermain kotor dalam pilihanraya. Walaupun menang, tetapi tidak berkat. Lihat pada BN peringkat pusat, walaupun menang tetapi menghadapi kemelut parah dalam parti. Lihatlah BN Perlis, walaupun menang, tetapi berebut kuasa untuk menjadi MB. Sudah tiada keberkatan pada mereka dan tiada kesepekatan.

Mengapa pada saat ini Utusan Malaysia tidak mengeluarkan berita mengatakan 'BN biadap' seperti mana yang pernah dikatakan kepada DAP di Perak? Tiada perkara yang lain melainkan menambahkan kesakitan hati apabila membaca akhbar haprak cap BN ini. Wahai Sabrey Chik, Menteri Penerangan yang baru, tukarlah editor-editor akhbar ini segera. Hati mereka sudah penuh dengan penyakit-penyakit hati.

Sekali lagi, seluruh rakyat akan sentiasa setia kepada Raja dan Negara selari dengan Rukunegara Malaysia. Rakyat Terengganu adalah rakyat Malaysia . Susah-susah, lantik sahaja Haji Hadi Awang sebagai MB kerana lebih adil. Biar kedua-duanya Idris Jusoh dan Ahmad Said tidak dapat pun jawatan MB itu dan berputih mata. Jangan jadi 'Sang Biadap' sudahlah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan