Follow je lah..


Sabtu, 13 Disember 2008

Bukit Antarabangsa Ada Harta Karun


Hidupnya bukan di dunia tetapi di angkasa. Mungkin itu satu gurauan yang cuba dikeluarkan bagi meredakan sedikit rasa stress penduduk Bukit Antarabangsa yang mana terpaksa mengosongkan rumah mereka kerana tanah runtuh.

Kejadian hitam ini pasti akan mengganggu ketenangan bagi semua mangsa tanah runtuh di situ. Empat orang yang telah dilaporkan mati menjadi pengajaran entah kali yang ke berapa untuk semua pihak yang bertanggungjawab samada pemaju, penguasa, dan sebagainya. Apapun, apabila berlaku satu masalah besar, kebiasaanya segelintir pihak cuba berlepas tangan.

Adapun begitu tempat bencana ini adalah bukan tempat sembarangan orang. Tempat golongan berdarjat dan berharta. Tidak kurang juga orang-orang yang profesional seperti doktor dan seumpamanya. Kerana Tuhan Maha Adil ujian yang diberikan adalah besar iaitu dengan meranapkan rumah dan harta mereka kerana Tuhan Maha Tahu mereka adalah golongan yang berharta.

Jika disingkap sejarah, ujian yang diberikan Tuhan adalah selayaknya bagi mereka. Golongan Arab Jahiliyah dahulu yang pandai bersyair diuji dengan bait Al-Quran. Ujian itu ingin menguji mereka adakah mereka akan mentaati segala perintah Al-Quran yang mana perkataan-perkataan di dalam Al-Quran itu lebih indah dari syair mereka. Qarun yang kaya, iaitu setiausaha kepada Firaun juga mendapat ujian terhadap kekayaan. Hartanya yang banyak dan tidak mahu disumbangkan kepada mereka yang memerlukan akhirnya ditelan bumi sebagai hidangan bumi. Sebagai tanda kebesaran Tuhan, hartanya yang tertimbus menimbuskan juga dirinya dan timbullah istilah harta karun.

Layanan bagi orang miskin dan orang kaya jika berbeza tidak dapat dinafikan. Ada pihak yang melihat layanan kerajaan kepada mangsa Bukit Antarabangsa lebih dari yang lebih. Sehinggakan beribu-ribu petugas terpaksa berkampung di tanah runtuhan itu demi menyelamat dan mencari dan media berkajang-kajang laporan menceritakan peristiwa ini disamping mamak-mamak sibuk membuat lebih 2000 roti canai untuk para petugas. Selain itu, setengah mangsa Bukit Antarabangsa ini juga masih boleh mengomel dengan perkhidmatan yang disalurkan oleh para petugas keselamatan setelah nyawa mereka diselamatkan.

Yang pergi dan yang hilang biarkanlah ia menyepi. Akhirnya ke surau juga mereka pergi setelah bala menjelang. Ambil iktibar dan mulakan kehidupan yang baru. Nasib mereka jauh lebih baik daripada keluarga yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”



Riwayat at-Tirmidzi

Jumaat, 5 Disember 2008

Hari Raya Aidil Adha

Tiada pengorbanan yang paling besar melainkan pengorbanan untuk Islam. Kita mampu berkorban masa untuk kerjaya dan pelajaran sebegitulah jua kita harus mencari ruang untuk berkorban demi agama.

Hari Raya Aidil Adha ini adalah sebuah hari yang mengingatkan semula kita kepada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim. Baginda membuktikan bahawa hubungan darah dalam kekeluargaan seperti isteri dan anak-anak tidak dapat mengatasi kepentingan suatu perintah ALLAH.

Selain itu, pada perayaan ini jugalah umat Islam berhimpun di kota Arafah, Mekah, dan Madinah. Lautan umat Nabi Muhammad bertemu di suatu tempat demi memenuhi perintah ALLAH jua. Sekiranya dilihat lautan umat manusia itu sekuat perpaduan umat Islam, kita dengan izinNya mampu menguasai dunia.

Pada masa yang sama, umat Islam di tempat lain menyembelih haiwan seperti unta, lembu, kambing dan sebagainya sebagai melaksanakan perintah ALLAH. Daging yang dilapah akan dibahagikan secara adil dan di infaq kepada golongan yang miskin. Natijahnya semua umat Islam samada miskin atau papa pasti dapat bergembira kerana menikmati rezqi ALLAH yang Maha Luas.

Sujudterakhir merakamkan terima kasih kepada semua pembaca dan salam Aidiladha. Blog ini akan bercuti selama seminggu dan sebarang kelemahan amat dikesali. Suburkan kasih sayang dan semaikan akhlak mulia. Wassalam.

Selasa, 2 Disember 2008

Berada Di Sabah

Sekian lama juga saya tidak menulis artikel dalam blog ini disebabkan jadual yang padat. Sebelum ini saya telah berada di Sabah selama empat hari untuk berehat. Di saat kekusutan melanda pemikiran kita, apalah salahnya jika kita keluar dari kepompong itu untuk berehat sebentar dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.

Antara isu menarik adalah isu fatwa. Jawatankuasa fatwa di Malaysia ini telah lama ditubuhkan dan sudah menjadi petunjuk dalam kehidupan umat Islam. Fatwa-fatwa ini juga mampu dibaca di laman web e-fatwa. Dalam laman itu, terlalu banyak perkara yang sebelum ini menjadi kemusykilan telah dirungkai satu persatu buat pemahaman umat Islam. Pendek kata, lebih banyak kita tidak tahu berbanding yang tahu.

Masyarakat Islam awam di negara ini, sebenarnya pun begitu juga. Masih banyak tidak tahu daripada yang tahu. Sebab itu kadang-kala kejahilan mereka tersembah apabila mereka bermula berhujah. Sebagai bukti, pengharaman yoga dan sebagainya, masih ada suara sumbang dari pihak tertentu resah dan gelisah serta membantah keputusan ini.

Menjadi kebiasaan juga ulama' sering kali tidak mendapat sokongan moral dari para umara'. Ada sahaja para pembesar memandang rendah keilmuwan ulama' dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Mereka memberi komen dan pandangan peribadi mereka yang sebenarnya mendedahkan lagi kebodohan mereka.

Hormatilah keputusan fatwa sebagaimana di negara ini mereka menghormati keputusan mahkamah. Keputusan fatwa bukan untuk dikomen andai jahil dalam ilmu agama. Mempelajari ilmu agama juga perlu bergurukan mursyid dan bukan mempelajari dengan otak dan buku semata-mata.

Inilah satu reformasi besar dalam kehidupan kita iaitu membuka hijab kejahilan masyarakat sekarang. Kerana ilmu itu adalah cahaya yang menyuluh kehidupan. Andai tiada cahaya maka tersesat dan terhantuklah kepala pada dinding yang tegak berdiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan