Follow je lah..


Sabtu, 20 Disember 2008

Berjumpa Di KT!

Kali ini nampaknya BN seperti sudah lebih bersedia apabila mengumumkan awal siapa calon yang akan bertanding di Kuala Terengganu (KT). Tempat ini menjadi kayu pengukur kekuatan BN Terengganu di bawah kepimpinan MB yang bukan dari pro-Abdullah inni. Inilah BN Terengganu yang punyai sedikit ketegasan dan sedikit berani apabila bercanggah pendapat dengan pucuk pimpinan.

Pun begitu, jentera PAS sentiasa mengintai-intai kelemahan BN. Barangkali Mat Sabu dan beberapa orang PAS lain sedang tekun menyusun masa dan langkah supaya sebuah kejutan boleh menerpa keasyikan BN diulik wang dan kuasa.

KT ini ialah ibu negeri Terengganu. Jika ibu negeri berjaya ditawan, bererti lumpuhlah kerajaan mentadbir di situ. Contohnya, jika Putrajaya sebuah kompleks kerajaan atau markas BN jatuh ke pembangkang, manakan hilangnya kekuatan dan maruah kerajaan itu. Atas semangat itulah, pilihanraya kecil di tempat ini menjadi sebuah pertempuran yang besar.

Pertempuran ini besar kesannya. Dengan kehadiran calon bebas juga memberi makna yang mendalam mengapa mereka bertanding lagi sedangkan mereka telah hilang duit deposit lalu. Apa pentingnya KT untuk mereka dan siapakah dalang mereka jika ada dan untuk apa mereka perlukan KT.

Terengganu kita kembali panas. Idris dan konconya adakah sudah tidak berminat lagi dengan politik Terengganu? Pertandingan ini bukan lagi satu lawan satu, tetapi seakan enau di dalam belukar, masing-masing melepaskan pucuknya. Hanya satu yang akan menang.

Rabu, 17 Disember 2008

Giliran SPRM Bermula

Sah lah memang BPR tidak berjaya mencegah rasuah sepenuhnya apabila SPRM telah ditubuhkan. Kemungkinan BPR masih terdapat banyak kecacatan dan kekurangan. Dengan itu, diharapkan SPRM bukan lah dua kali lima dengan BPR.

Kita sedar dalam pelbagai bentuk undang-undang, masalah jenayah masih berleluasa seolah penjenayah ini tiada hairan dengan sebarang penguatkuasaan. Pun begitu lebih teruk jika penguasa itu sendiri yang pecah amanah dan bermain rasuah. Ditambah pula kebal dari badan penyiasatan.

SPRM ini hanyalah satu penambahbaikan yang masih belum terbukti. Hanya yang ada adalah susun atur perancangan dan ketumbukan yang mungkin lebih telus dan adil. Kes rasuah di Malaysia sentiasa mencatat reputasi paling tinggi dan menjadi jelik bagi SPRM jika tidak berjaya menangani kes rasuah atau politik wang dalam UMNO.

Ilham Abdullah untuk melaksana dan menggagaskan SPRM akhirnya menjadi nyata tetapi ia lewat. Beliau yang hanya mempunyai baki kurang 4 bulan lagi sebagai Perdana Menteri mampu menyebabkan goyah SPRM ini kerana tiada penggagasnya. Kelak mungkin kabur lalu terkubur. Pastinya SPRM dalam tempoh 4 bulan masih lagi mentah tanpa dipimpin oleh Abdullah sebagai 'bapa anti-rasuah'.

SPRM adalah adik kepada SPR. Adik beradik ini sangat penting dalam menjalankan misi demokrasi dan integriti negara. Pengalaman kita bersama SPR cukup mengajar bahawa ketelusan sangat penting dan tidak boleh berlaku tidak adil. Apabila amanah menjadi lingkup, maka lingkuplah semua yang telah diamanahkan.

Sabtu, 13 Disember 2008

Bukit Antarabangsa Ada Harta Karun


Hidupnya bukan di dunia tetapi di angkasa. Mungkin itu satu gurauan yang cuba dikeluarkan bagi meredakan sedikit rasa stress penduduk Bukit Antarabangsa yang mana terpaksa mengosongkan rumah mereka kerana tanah runtuh.

Kejadian hitam ini pasti akan mengganggu ketenangan bagi semua mangsa tanah runtuh di situ. Empat orang yang telah dilaporkan mati menjadi pengajaran entah kali yang ke berapa untuk semua pihak yang bertanggungjawab samada pemaju, penguasa, dan sebagainya. Apapun, apabila berlaku satu masalah besar, kebiasaanya segelintir pihak cuba berlepas tangan.

Adapun begitu tempat bencana ini adalah bukan tempat sembarangan orang. Tempat golongan berdarjat dan berharta. Tidak kurang juga orang-orang yang profesional seperti doktor dan seumpamanya. Kerana Tuhan Maha Adil ujian yang diberikan adalah besar iaitu dengan meranapkan rumah dan harta mereka kerana Tuhan Maha Tahu mereka adalah golongan yang berharta.

Jika disingkap sejarah, ujian yang diberikan Tuhan adalah selayaknya bagi mereka. Golongan Arab Jahiliyah dahulu yang pandai bersyair diuji dengan bait Al-Quran. Ujian itu ingin menguji mereka adakah mereka akan mentaati segala perintah Al-Quran yang mana perkataan-perkataan di dalam Al-Quran itu lebih indah dari syair mereka. Qarun yang kaya, iaitu setiausaha kepada Firaun juga mendapat ujian terhadap kekayaan. Hartanya yang banyak dan tidak mahu disumbangkan kepada mereka yang memerlukan akhirnya ditelan bumi sebagai hidangan bumi. Sebagai tanda kebesaran Tuhan, hartanya yang tertimbus menimbuskan juga dirinya dan timbullah istilah harta karun.

Layanan bagi orang miskin dan orang kaya jika berbeza tidak dapat dinafikan. Ada pihak yang melihat layanan kerajaan kepada mangsa Bukit Antarabangsa lebih dari yang lebih. Sehinggakan beribu-ribu petugas terpaksa berkampung di tanah runtuhan itu demi menyelamat dan mencari dan media berkajang-kajang laporan menceritakan peristiwa ini disamping mamak-mamak sibuk membuat lebih 2000 roti canai untuk para petugas. Selain itu, setengah mangsa Bukit Antarabangsa ini juga masih boleh mengomel dengan perkhidmatan yang disalurkan oleh para petugas keselamatan setelah nyawa mereka diselamatkan.

Yang pergi dan yang hilang biarkanlah ia menyepi. Akhirnya ke surau juga mereka pergi setelah bala menjelang. Ambil iktibar dan mulakan kehidupan yang baru. Nasib mereka jauh lebih baik daripada keluarga yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”



Riwayat at-Tirmidzi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan