Follow je lah..


Rabu, 12 Mac 2008

Tidak Perlu 'Senator' Samy Vellu


Apabila 30 NGO dikatakan ingin Samy dilantik menjadi Senator supaya dapat menyertai kabinet, tindakan NGO ini harus dicurigai dan dinilai lebih mendalam. Samy yang telah menjadi Menteri Kabinet lebih kurang 3 dekad atau 30 tahun seharusnya memberi laluan kepada muka baru. Andai sepanjang beliau memegang kerusi Parlimen itu tiada sebarang salah laku atau rasuah dan sangat berkhidmat untuk rakyat dengan jujur, beliau boleh meneruskan lagi 30 tahunnya itu. Namun perkara -perkara itu seakan samar pada saat-saat ini bagi Samy.

Apakah suara 30 NGO ini lebih besar daripada suara keramat rakyat yang ingin menyingkir beliau dari kabinet? Beliau ialah seorang yang kalah dalam PRU-12 dengan majoriti undi 1 821. Bagaikan kata Dolah, Perdana Menteri Malaysia "Dah kalah, kalah lah." Maka 30 NGO yang menyokong Samy itu perlu memahami dan menjiwai kata Dolah dengan hati terbuka terhadap mesej rakyat umumnya dan kaum India khasnya bahawa "Samy, sudah kalah , kalah lah, u boleh blah". Jika Dolah melayan permintaan NGO ini dengan memberi jawatan Senator kepada Samy, Dolah umpama meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri.

Samy kalah sedangkan peguam HINDRAF yang ditahan dalam ISA menang. Samy mengecam HINDRAF. Satu perbandingan yang mesti difikirkan. Kekalahan beliau bukanlah disebabkan akhbar yang memaparkan masalah JKR dua tahun lalu seperti mana menurut 30 NGO tersebut, sebaliknya adalah daripada kelemahan 30 tahun yang ditunjukkan beliau. Samy juga dikenali sebagai Menteri TOL yang mana isu TOL tidak pernah turun harganya malah sentiasa naik. Ini juga adalah antara sebab mengapa rakyat resah dan menolak kepimpinannya.

Jika diimbas, akhbar kerajaan lebih banyak mendedahkan kelemahan pembangkang setiap tahun bertalu-talu namun pembangkang telah menang dalam pilihanraya. Sivalingam tidak boleh mengatakan peranan media sebagai antara punca kekalahan Samy kerana Sivalingam mesti mengetahui bahawa akhbar kerajaan sentiasa menyokong kerajaan 100% dan pembangkang lebih teruk menerima hetaman media kerajaan.

Lebih baik Samy undur diri dengan cara terhormat. Walaupun mungkin sukar diterima oleh penyokongnya untuk menerima mungkin kerana Samy adalah periuk nasi mereka, tetapi beliau undur secara terhormat dan kita boleh berikan penghargaan kepadanya jika layak. Siapa tahu untung nasib barangkali menjadi Tun Samy seperti Tun Ling Liong Sik. Manalah tahu. Ingatlah kata Dolah, "Dah kalah, kalah lah" letaklah jawatan dan jangan angkuh seperti Dolah kerana Dolah terkecuali. Dolah adalah Perdana Menteri Malaysia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan