Follow je lah..


Ahad, 27 Januari 2008

Sang Ayam Jantan dan Anda

Luqmanul Hakim pernah menasihatkan anaknya :
"Wahai anakku yang tercinta, janganlah sampai ayam jantan itu lebih bijak daripada engaku. Ia berkokok di waktu sahur sedangkan engkau masih tidur lagi."

Sudah menjadi kebiasaan terutamanya bagi kebanyakan masyarakat zaman kini menjadikan malam untuk tidur nyenyak sehinggakan terlepas waktunya untuk bangkit lebih awal bagi membuat persiapan solat fardhu Subuh. Artikel lalu saya lalu yang bertajuk Indahnya Solat Subuh Jika Berjemaah adalah bertepatan dengan artikel ini.

Sebagai insan yang mempunyai akal, harta, dan saudara, janganlah kita dimalukan oleh seekor ayam jantan. Ayam jantan tidak mempunyai jam loceng yang boleh menyedarkan ia untuk bangkit lebih awal sebelum subuh sedangkan kita ada. Oleh itu, kita seharusnya menunjukkan kemuliaan sebagai insan dengan bangun awal untuk melakukan amalan-amalan yang diberkati.

Keheningan sebelum waktu subuh amatlah memberi makna. Tersirat rahsia dimustajabkan doa dan waktu terbaik untuk seseorang memuji ALLAH. Pada waktu ini, anda bangkitlah untuk menunaikan solat sunat witir, membaca al-Quran, dan berzikir kepadaNya. Inilah persediaan rohani kita untuk menghadapi hari muka yang terdapat seribu satu kisah kehidupan.

Di dalam Islam, azan akan berkumandang sebelum waktu subuh. Ini tidak lain bertujuan untuk menyedarkan muslimin yang masih tidur di ulik mimpi. Secara tidak langsung, menunjukkan betapa pentingnya dalam Islam untuk seseorang bangkit lebih awal sebelum waktu Subuh menjelma kerana seperti kita katakan tadi, kita memerlukan persiapan.

Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. mempunyai dua orang juru azan, iaitu Bilal dan Ummu Maktum, baginda bersabda: “Sesungguhnya Bilal bertugas untuk mengazankan sembahyang di waktu malam sebelum terbit fajar, oleh itu makan dan minumlah kamu semua (bersahur) sehinggalah Ummu Maktum azan yang menandakan masuknya waktu Subuh. Ibnu Umar r.a. berkata: “ Tidak ada jarak di antara kedua juru azan itu, melainkan jika Bilal telah selesai azan lalu disambung oleh Ummu Maktum pula, dalam jarak yang tidak terlalu lama”
(al-Bukhari dan Muslim)


Sedihnya, ada dikalangan muslimin yang tidak mempunyai kekuatan dalam melaksanakan tuntutan ini. Kita lebih kecewa sekiranya mereka yang gagal melaksanakan ini ialah mereka yang mendukung perjuangan da'wah. Seharusnya, perkara ini tidak berlaku kepada mereka malah kita haruslah menjadi tauladan. Malulah kita kepada Sang Ayam Jantan.

Pada permulaan mungkin sukar untuk kita melakukan perkara ini, tetapi berdikit-dikitlah mudah-mudahan menjadi amalan sepanjang zaman. Mohonlah kepada ALLAH, kerana Ia Maha Mendengar Lagi Maha Penyayang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan