Follow je lah..


Jumaat, 25 April 2008

فذکر ان الذکر تنفع المومنین ٣

Berapa banyak kematian telah berlaku sana-sini di sekeliling kita. Kematian itu adalah janji Tuhan yang benar dan tiada keraguaan padanya. Tiada manusia yang kekal hidup lama melainkan semuanya akan berakhir dengan sebuah kematian. Sedarlah bahawa kita sekarang sudah kesuntukan masa untuk mengumpul segala amalan sebagai bekalan bertemu ALLAH yang Maha Esa. ALLAH yang menghidupkan dan ALLAH jualah yang mematikan sesiapa sahaja. Bacalah firman ALLAH ini mudah-mudahan tersingkap seribu keegoan yang ada pada diri kita:

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
Ali 'Imran:27

Kita telah disibukkan dengan urusan kehidupan sehingga kerap terlupa bahawa kehidupan akan berakhir dan bahawa kehidupan kedua selepas kematian. Sedangkan kita ketahui, kehidupan selepas kematian adalah kehidupan yang kekal abadi berbanding di sini.

Persediaan kepada sebuah negara abadi adalah bermula dari sekarang. Apabila kita mendengar berita kematian dari kalangan orang yang terdekat daripada kita, kita akan mudah berasa sayu dan terus bersimpati. Kita rupa-rupanya juga adalah senasib dengan mereka yang telah pergi itu.

Lihatlah bagaimana orang menunggu di sepanjang barisan di sebuah kaunter contohnya. Barisan yang panjang sedikit demi sedikit menjadi pendek apabila seorang demi seorang yang menunggu giliran dipanggil namanya. Begitulah jua giliran kematian kita yang semakin pendek selepas seorang demi seorang menemui mati.

Kita memohon Tuhan agar dimatikan dalam keadaan khusnul-khatimah (sebaik-baik kesudahan) kerana panggilan kematian itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin ada yang dipanggil dengan kasar dan mungkin juga ada yang dipanggil dengan penuh penghormatan. Tiada manusia yang suka namanya dipanggil dengan kasar maka begitulah tiada manusia yang mahu nyawanya disentap kasar.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bacalah juga:

Lawan Tetap Lawan